Bubur Kacang Opah (7/7)

Alhamdulilah. Akhirnya sampai juga Cerpen Bubur Kacang Opah ni ke part yang terakhir. Kepada yang sudi meluangkan masa membaca, jutaan terima kasih Aku ucapkan. Mudah-mudahan KORANG akan dapat mood Ramadan bila dah selesai membaca Cerpen Bubur Kacang Opah ni nanti.

Enjoy!

Lagi; Bubur Kacang Opah part 1, part 2, part 3, part 4, part 5, part 6





BUBUR KACANG OPAH (7/7)

Oleh : Izalsyah

“Opah tak sihat hari ni…. Pergi la tengokkan Opah… Ajak berbuka sekali” Arah Ayah yang baru melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

Tanpa berkata sepatah pun, Eddy melangkah ke kamar Opah yang berhampiran dengan ruang tamu.

“Opah! Opah! Jom la kita berbuka…” Panggil Eddy setelah daun pintu diketuknya beberapa kali.

“Opah! Opah!” Tiada respons. Laungan Eddy langsung tidak disahut oleh Opah.

Tombol pintu dipusing perlahan dan daun pintu dikuak sedikit. Opah berbaring di atas ranjang. Badannya yang semakin uzur itu dalam keaadaan terlentang. Sepasang tangan tuanya yang saling bertindih, letaknya di atas perut. Nyata sekali Opah sedang nyenyak tidur, melihatkan matanya yang berkatup rapat.

Eddy mendapatkan Opah lalu duduk di tubir katil. Mungkin daya pendengaran yang semakin lemah membuatkan Opah tidak sedar daripada nyenyaknya. Eddy menyentuh tangan Opah yang telah dimamah usia itu. Sedikit dingin dirasakannya.

“Opah…” Lengan tua itu digoyang perlahan.

“Opah…” Masih membatu.

“Ayah!!! Opah….”

Tiada Lagi Bubur Kacang Opah

Hajat Angah akhirnya dipenuhi. Hari itu Opah tidak lagi memasak bubur kacang kegilaan Eddy. Bukan sahaja esok, bahkan lusa juga, tiada lagi peluang untuk merasai air tangan Opah. Tidak ada lagi sungutan dan umpatan tentang bubur kacang Opah selepas ini.

Opah hanyalah seorang hamba-Nya yang kerdil. Sebagai hamba, Opah akur dengan qadak dan qadar Allah Yang Maha Besar. Bukankah hidup dan mati sudah ditentukan. Salah ke Opah sekadar memenuhi ketetapan itu? Menuju ke alam barzakh di bulan Ramadan, pasti ada hikmah yang tersembunyi.

“Rasanya…. Opah tak sempat nak beraya tahun ni….” Memang ada benarnya ungkapan Opah pada petang itu.

Ramadan Hari Ini

“Apa lagi yang kau menungkan tu? Jomlah ke surau… Kita jemaah solat isyak dan tarawih sekali.” Ajak Ipen. Dia sudah siap berbaju Melayu kuning air dan berkain pelekat. Ketayap disimpan buat sementara ke dalam saku baju Melayu.

“Apa menu moreh malam pertama ni?” Soal Eddy lalu bangkit menuju ke bilik air untuk berwuduk.

“Bubur kacang…” Sahutan pendek Ipen membuatkan Eddy mematikan langkah.

TAMAT


Lagi; Bubur Kacang Opah part 1, part 2, part 3, part 4, part 5, part 6





Omel Izalsyah; "Yea! Yea! Cerita dah habis! Yea! Yea! Esok puasa! Syukur alhamdulilah..."


p/s: Cerpen ni pernah tersiar kat Berita Minggu pada tanggal 9hb Oktober 2005.




No comments: