Nur Fazura; Tak Kering Kontroversi

SUSAHNYA untuk hidup tenang tanpa ada mata yang memandang atau telinga yang mencuri dengar apabila diri bergelar artis. Hakikat itu mungkin sudah dialami kebanyakan mereka yang memegang status sebagai selebriti, termasuk pelakon cantik Nur Fazura Sharifuddin.

Dia antara pelakon wanita yang sering dikaitkan dengan kontroversi. Tidak habis dengan kes pergaduhan di sebuah kelab, wanita cantik ini dihangatkan pula dengan isu penahanan ketika berparti bersama seorang lagi pelakon muda di premis yang melanggar waktu operasi dibenarkan.

Namun, dek bakat besar yang dianugerahkan Tuhan kepadanya, produser drama mahu pun filem tidak pernah melepas pandang Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 dari Pahang ini apabila ada projek bersesuaian. Kata orang, tidak hilang bisa ular yang menyusur akar. Begitu juga tidak pudar bakat si manis ini dengan cerita kontroversi sedemikian.

Terbaru, dia muncul dalam filem terbitan Raden Pictures, Kayangan, yang menyaksikan dirinya dipasangkan dengan pelakon dari seberang, Teuku Zacky Azwar. Turut membintangi filem arahan Raja Ahmad Alauddin itu ialah Dynaz Mokhtar, Opie Zami, Julia Ziegler, Bienda, Eja, Razali Hussain, Dee, Mastura dan Nazril Idrus.

Fazura juga baru menamatkan penggambaran siri popular, Gol & Gincu musim kedua yang kini saban minggu menemui peminat di 8TV.



Sebagaimana hangat dirinya dengan cerita kontroversi, begitu juga hebat gadis ini digosipkan bercinta dengan beberapa jejaka popular. Awal tahun ini, riuh media di Singapura mengaitkannya dengan juara Singapore Idol, Hady Mirza. Semuanya gara-gara pertemuan yang berlangsung di sebuah majlis anjuran MTV di Ministry of Sound, Singapura, 30 November tahun lalu.

Kerjaya Fazura bersama MTV Jus sering membawanya ke republik berkenaan. Lantaran, kisah yang memasangkan dirinya dengan anak jati Kota Singa itu tidak dapat dielakkan. Begitupun, lama kelamaan cerita berkenaan dengan sendirinya padam. Fazura sendiri mengatakan, antara dirinya dan penyanyi berbakat itu sudah tiada apa-apa.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Fazura; karier seninya penuh diwarnai dengan kontroversi.


Kemudian, tatkala dia sibuk menjalani sesi promosi filem Kayangan, timbul cerita kononnya dia dan pelakon lelaki utama filem itu pernah berkasih-kasihan. Ditemui baru-baru ini, Fazura tidak menepis persoalan berkenaan. Sebaliknya si jelita ini mengaku, dia dan Zacky agak rapat, lebih daripada sekadar sahabat, ketika masing-masing sering bertemu untuk menjayakan filem yang baru saja tamat tayangan.

"Dia banyak juga mengeluarkan kenyataan kepada pihak media Indonesia, berhubung perkara ini. Sedangkan di sini, tidak banyak yang mengambil pusing perhubungan kami.

"Memanglah dulu antara kami wujud perasaan yang lebih daripada kawan. Ketika itu, kami rapat berikutan sering kali berjumpa untuk menyiapkan filem Kayangan. Namun, apabila filem itu tamat penggambaran, Zacky pulang ke Jakarta. Lama-kelamaan hubungan kami pun semakin renggang. Kini, ya, kami memang hanya berkawan," jelas Fazura.



Lalu, apakah ruang kosong di hatinya itu sudah diisi seorang jejaka dari istana? Pada majlis tayangan gala filem itu di One Utama tidak lama dulu, Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim kelihatan mesra dengannya. Bagaimana pula penjelasan pelakon ini terhadap kemesraan yang disaksikan banyak pasang mata itu?

"Entahlah, sekarang ini macam-macam cerita boleh keluar. Dia hanyalah datang dari Johor untuk memenuhi undangan menghadiri majlis terbabit. Sekarang, dia sudah pun pulang ke India. Saya sendiri sudah mengenalinya selama beberapa bulan. Dia seorang lelaki yang baik. Biarpun berstatus anak raja, dia menghormati wanita.

"Sikapnya itu mungkin banyak dipengaruhi oleh hakikat dia berada dalam pasukan tentera. Saya sendiri tidak pernah menyangka, dia cukup berbudi bahasa. Contohnya, apabila berjalan, dia akan membiarkan saya yang berjalan di depan. Saya mengenali agak ramai golongan bangsawan, tetapi dia nyata berbeza," ujar Fazura yang berkeyakinan, niat anak raja berusia 22 tahun itu untuk bersahabat dengannya cukup ikhlas.

Meskipun pada satu ketika dia mengaku dirinya dan Tengku Ismail Ibrahim masih pada peringkat mengenali hati budi, wanita muda ini tidak mahu mencampur adukkan persahabatan itu dengan topik perkahwinan.



"Hey, saya masih muda! Saya tidak mahu berkenalan dan terus berkahwin. Bagi saya, perkahwinan itu untuk selama-lamanya. Biarlah saya mengenali dulu mana-mana jejaka yang mungkin menambat hati saya. Saya sendiri sentiasa berdoa kepada Tuhan agar menghadirkan jodoh yang baik untuk saya apabila tiba saatnya. Andainya saya ditemukan dengan jejaka yang baik budinya, saya tentu tidak menolak untuk berumah tangga.

"Jika peminat hendak tahu, saya wanita yang mementingkan kebahagiaan. Lalu, jika lelaki yang ditakdirkan mampu memberikan kebahagiaan kepada saya itu seorang penjual roti canai sekalipun, saya tidak kisah. Janji, dia perlu mempunyai wawasan. Kita perlu saling memberikan inspirasi dalam kehidupan.

"Justeru, jika ada lelaki yang hebat tetapi tidak menghormati saya, apa gunanya? Memang saya mengaku, saya punya ramai kawan lelaki. Orang ramai akan fikir, kami sedang bercinta apabila keluar bersama. Takkan saya hendak bercinta dengan semua orang? Hakikatnya, amat sukar untuk mencari lelaki yang baik budi dan ikhlas niatnya sedangkan saya memang mengimpikan lelaki sedemikian, yang amat menyintai dan cukup mengambil berat," katanya.

Pakej Web Jualan

Profil Fazura

Nama: Nur Fazura Sharifuddin

Tarikh Lahir: 27 September 1983

Asal: Pekan, Pahang

Adik-Beradik: Anak ketiga daripada empat beradik

Profesion: Pelakon, Pengacara

Filem: Bicara Hati, Qaisy & Laila, Gol & Gincu, Senario XX, Kayangan

Drama / Siri TV: Inspirion, Tikar Buruk, Gol & Gincu, Kasih Suci

Teater: Suzana@60

Anugerah: Pelakon Wanita Harapan FFM17








Sumber : Berita Harian Edisi 12-09-2007




Kata Izalsyah; "Maharani Kontroversi."




1 comment:

Anonymous said...

waaaa...xde ke gambar fazura yg baru2..??

suke bgt dgn dia laa..

fazura x carik kontroversi.. kontroversi yg carik dia..

hahaha..