"Dia boleh Jaga Saya", - Pak Lah

KUALA LUMPUR: “Dia boleh jaga saya, boleh jadi teman saya,” kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ceria menjawab pertanyaan mengenai perkahwinannya dengan Jeanne Abdullah, Sabtu ini.

Perdana Menteri berkata, beliau bersyukur dan gembira kerana orang pilihannya mendapat restu daripada anak dan adik-beradiknya lain.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Mudah-mudahan segala yang dirancang akan berjalan lancar pada hari yang ditetapkan itu,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Pameran Perusahaan Kecil dan Sederhana 2007 (SMIDEX 2007) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Lebih 80 wartawan tempatan dan luar negara menunggu kedatangan Perdana Menteri pada sidang media itu selepas Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan pada sebelah pagi mengumumkan Abdullah akan melangsungkan perkahwinan dengan Jeanne, 53.

Majlis akad nikah akan dilangsungkan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya dan akan dihadiri keluarga terdekat saja.



Sidang media yang sekali-sekala disertai dengan gelak ketawa jelas menggambarkan Perdana Menteri selesa untuk berkongsi kegembiraannya.

Apa yang pasti 40 daripada 41 soalan yang dikemukakan wartawan berkaitan hubungan dan perkahwinannya dengan Jeanne.

Jeanne yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada 29 Julai 1953 adalah anak sulung daripada empat beradik dan mempunyai dua anak perempuan, Nadiah dan Nadene.

Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Assunta dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan perhotelan, serta pernah bertugas sebagai pengelola kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dan pengurus Kompleks Seri Perdana.

Kata Perdana Menteri, beliau sudah memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan semua anggota Jemaah Menteri pagi semalam sebelum Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan kepada media untuk menghebahkan berita perkahwinan itu.



Ketika ditanya bila perkenalannya dengan Jeanne bermula, Abdullah berkata: “Dah lama...adalah 20 tahun...”.

Bagaimanapun, apabila diaju soalan bila berkasih, Perdana Menteri memberitahu kurang dari setahun sambil ketawa.

Perdana Menteri tidak menghadapi masalah menceritakan kepada wartawan mengenai permulaan perkenalan mereka dan menjelaskan beliau memilih Jeanne sebagai pasangan hidupnya kerana wujud keserasian antara mereka berdua.

“Apa yang membuatkan saya memilih dia adalah dia seorang yang cukup sederhana dan mempunyai hubungan yang baik dengan semua ahli keluarga dan adik-beradik.

“Ketika Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood masih hidup, dialah (Jeanne) yang menguruskan segala urusan untuk menyambut tetamu yang datang ke rumah, termasuk pelawat dan kawan saya dari luar negara dan hubungan mereka berdua sangat rapat.



“Dia juga terbabit dalam urusan melayan tetamu, mencari katerer, menyediakan menu hidangan, menyusun kelengkapan meja dan menghias dewan makan,” katanya.

Kata Abdullah, sifat yang baik dan pandai bergaul ditunjukkan Jeanne itu turut disenangi Allahyarham Endon.

Mengenai rancangan bulan madu, beliau berkata, semua itu belum dirancang kerana selepas perkahwinan, beliau akan mengikuti lawatan rasmi kerajaan ke luar negara.

Ketika lawatan itu nanti, Perdana Menteri akan membawa Jeanne bersama.

Beliau juga berharap seluruh rakyat mendoakan kesejahteraan perkahwinannya.

“Bagi meraikan kegembiraan ini, saya akan membawanya ke seluruh negara menerusi lawatan rasmi selepas perkahwinan kelak,” katanya.



Abdullah berkata, majlis perkahwinan itu akan hanya dihadiri keluarga terdekat termasuk anak serta menantu, adik-beradik, adik-beradik Allahyarham Endon seramai 9 orang, ibu mentua dan ahli keluarga bakal isteri.

“Cukuplah ahli keluarga saja yang akan menghadiri majlis itu dengan sambutan yang sederhana,” katanya.

Apabila ditanya kasihnya terhadap Allahyarham Endon selepas berkahwin kelak, Abdullah yang kelihatan sebak, berkata: “Kasih dan sayang saya, cinta saya pada Endon tetap teguh. Saya percaya Tuhan menciptakan banyak ruang dalam hati sanubari kita bagi berlainan orang untuk disayangi.

“Bila kita bercakap mengenai wanita, kita boleh sayangi ibu, anak, isteri kita, tetapi kita tidak dapat bandingkan kasih kita kepada ibu dengan kasih kepada isteri dan Jeanne adalah satu daripadanya...itu kelebihan Allah.

“Gambar Endon yang ada itu adalah ingatan memori yang abadi...kalau nak tambah yang dia (Jeanne) punya tak palah.”




Berikut sebahagian jawapan Perdana Menteri kepada pelbagai soalan wartawan pada sidang media itu.

SOALAN (S) : Pagi tadi kita mendapat khabar gembira daripada Datuk Seri, boleh Datuk Seri berikan kenyataan lanjut berhubung perkahwinan yang akan diadakan, Sabtu ini?

PERDANA MENTERI (PM) : Alhamdulillah saya rasa gembira dan syukur ke hadrat Allah kerana orang pilihan saya sudah mendapat restu daripada anak-anak saya dan adik-adik saya. Mudah-mudahan hari yang ditetapkan itu akan diadakan nanti, Insya-Allah...

S: Bila kali pertama Pak Lah jumpa bakal isteri?

PM: Kenal dah lama, sebab adik ipar Endon.


S: Datuk Seri cerita sikit tentang bakal isteri.

PM: Dia boleh jaga saya, boleh jadi teman sayalah...

S: Kenapa ambil masa yang lama untuk mengumumkannya kerana sebelum ini Datuk Seri kata ia hanya khabar angin?

PM: Semua tarikh itu tak betul...itu sebabnya khabar angin...ia mengambil sedikit masa, saya perlu berunding dengan anak, cari masa pulak, terlalu sibuk ke sana-sini.

S: Boleh ceritakan tentang karektor bakal isteri?

PM: Yang pertama dia orang yang cukup sederhana, peramah, kalau ambil kira hubungan dia dengan orang yang datang ke rumah saya semasa Kak Endon ada, dialah yang sambut kawan dan tetamu yang datang nak jumpa saya kerana ada mesyuarat di rumah saya ataupun pelawat atau kawan-kawan dari luar negara yang datang, pegawai kerajaan datang, apabila semua datang, dia yang sambut dan layan.

Ada masanya perlu adakan jamuan kecil atau besar, itupun Jeanne yang uruskan, cari katerer, menu dan susun meja, kerusi, beliau dapat laksanakan dengan baik dan elok. Sifat itu adalah baik dan senang bergaul dengan orang.



S: Berapa tahun dah kenal?

PM: Dah lama...adalah 20 tahun...

S: Berkasih pula Datuk Seri?

PM: (Ketawa) baru-barulah...kurang dari setahun...

S: Jadi keluarga Datuk Seri kenal sangat dengan Jeanne?

PM: Memang pun...sebenarnya keluarga...dia adalah adik ipar Kak Endon, berkahwin dengan adik Kak Endon, tetapi dah berpisah lebih 15 tahun...dah lama dah...



S: Kak Endon memang sayang pada Jeanne?

PM: Sayang...kalau tidak Endon tak ajak bekerja di rumah...serah tanggungjawab pada beliau...

S: Datuk Seri, rakyat bagaimana...takkan tak ada majlis untuk rakyat?

PM: Lepas ini seperti biasalah akan pergi buat lawatan merata tempat...Sabah, Sarawak... Masa pergi boleh la bawa, boleh jumpa. Bukan saya nak suruh rakyat buat kenduri besar bila pergi bolehlah jumpa, yang mana sesuai (program) boleh bawa dia...

S: Apa harapan Datuk Seri daripada rakyat?

PM: Mudah-mudahan mereka doakan kesejahteraan kami berdua dan seorang perdana menteri yang gembira boleh melakukan banyak kerja yang baik (disambut ketawa dan tepukan daripada mereka yang hadir).

Nasi Tambah; Pak Lah Nafi Berkahwin & Bakal isteri PM tepati konsep Islam Hadhari?










No comments: