Kasanova Air Mata

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki kasanova dikatakan sanggup berlutut dan menangis di hadapan wanita semata-mata untuk meraih simpati bagi mendapatkan wang atau tubuh mangsa.

Lelaki berusia lingkungan 30-an yang memperkenalkan diri sebagai ‘Micheal’ itu dikatakan bijak berlakon dan pandai berkata-kata menyebabkan mangsa mudah ‘cair’ sehingga sanggup menuruti segala kehendaknya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Biasanya lelaki terbabit tidak menunjukkan belangnya kepada wanita yang baru dikenali, sebaliknya mendampingi mangsa secara perlahan-lahan bagi mengelak niat sebenarnya terbongkar.

Selepas wanita berkenaan benar-benar ghairah untuk ‘berkawan’ dengannya, lelaki terbabit mula menunjukkan sifatnya yang suka mengikis wang dan memujuk mangsa menyerahkan tubuh sebagai ‘korban cinta’.

Malah, sekiranya dia mendapati wanita berkenaan sukar menyerahkan tubuh untuk memuaskan nafsu, kasanova terbabit akan menggunakan alternatif kedua iaitu mengikis wang wanita berkenaan.



Seorang wanita yang pernah menjadi mangsa, Suzana, lingkungan 30-an, berkata dia mengenali lelaki terbabit melalui ruang sembang Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), Julai 2005.

“Selepas beberapa lama bersembang, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Micheal dan mendakwa sebagai seorang pereka fesyen itu mula menunjukkan kesungguhan sebelum meminta untuk bersua muka dengan saya.

“Kerana menyangka dia iklhas, saya bersetuju berjumpa dengannya di sebuah restoran makanan segera ibu kota beberapa hari selepas berkenalan,” katanya kepada Harian Metro, di sini.

Beliau berkata, pada pertemuan pertama Micheal seolah-olah seorang yang baik dan tidak menunjukkan dia lelaki Kasanova yang memperalatkan wanita.

Menurutnya, selang beberapa hari berkawan dan saling menelefon serta berbalas SMS, Micheal akhirnya menunjukkan perangainya yang sebenar dengan menceritakan masalah kewangan dihadapi dan meminta diserahkan tubuh.



“Saya bukan jenis wanita seperti yang disangka dan dia gagal menodai saya walaupun beberapa kali mencuba dengan menggunakan pelbagai helah dan pujuk rayu.

“Michael turut menceritakan masalah kewangan yang dihadapi dan kesempitan wang untuk membayar sewa rumah,” katanya.

Suzana berkata, Micheal kemudian meminta untuk meminjam wang dan berjanji untuk membayarnya tidak lama kemudian. Dia pandai memujuk rayu dan sanggup menangis semata-mata untuk mendapatkan wang yang diminta.

Katanya, kerana menyangka Micheal benar-benar kesempitan wang, dia menyerahkan sejumlah RM3,000 kepada lelaki itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

“Tembelangnya terbongkar selepas dia mula menjauhkan diri daripada saya apabila tiba waktu dijanjikan untuk membayar hutang yang dipinjam.



“Saya cuba mencarinya dan beberapa kali menghubunginya melalui telefon. Saya kemudian pergi ke rumahnya di Sentul selepas dia memberitahu tidak dapat memasukkan duit ke dalam akaun kerana tidak sihat,” katanya.

Menurut Suzana, bagaimanapun dia terkejut apabila menemui seorang wanita di sana dan menimbulkan tanda tanya kepadanya kerana lelaki itu seolah-olah cuba menyorokkan sesuatu.

Katanya, dia pernah membuat laporan polis selepas diugut lelaki terbabit yang marah dengan tindakannya sering meminta wang yang dipinjam. Bagaimanapun sikap Micheal yang pandai berpura-pura dan berlakon menyebabkan dia mudah memaafkan lelaki itu.

“Dipendekkan cerita, selepas dua tahun berkenalan dengan lelaki itu, wang tunai dan pelbagai barang berharga saya bernilai kira-kira RM20,000 dikebas Micheal.

“Selepas beberapa kali dan pelbagai usaha dilakukan, saya akhirnya berjaya mendapatkan semula wang kira-kira RM12,000, manakala bakinya gagal apabila dia membuat pelbagai alasan apabila diminta membayar wang berkenaan.



“Saya juga dimaklumkan beberapa kenalan dan sepupu mengenai sikap sebenar Micheal yang memperdayakan perempuan untuk dijadikan pemuas nafsu selain dikikis wang mereka,” katanya.

Dia turut menasihatkan remaja agar lebih berhati-hati dengan lelaki terbabit bagi mengelak menjadi mangsa kasanova itu.

Suzana membuat laporan terhadap kasanova terbabit di Balai Polis Sentul 3 April lalu kerana tindakannya yang tidak menjelaskan hutang dipinjam.



No comments: