Jamal Abdillah Hamba Dadah!

KUALA LUMPUR: Raja Pop, Jamal Abdillah, yang menyertai semula program rawatan di Rumah Pengasih di Bukit Tunku di sini, mendedahkan segelintir kenalan rapatnya dalam industri hiburan menyogoknya dengan dadah menyebabkan dia sukar meninggalkan tabiat keji itu.

Menurut Jamal, mereka yang sentiasa berada di sekelilingnya sengaja mengumpan dengan dadah supaya dia mendapat tenaga dan semangat untuk membuat persembahan nyanyian pada sesuatu konsert atau pertunjukan pentas.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Bagi memastikan penganjur atau promoter konsert berpuas hati dengan nyanyian saya, sebahagian kenalan rapat sanggup mendapatkan dadah dan memberinya sebelum saya memulakan persembahan.

“Mereka beritahu, saya tak perlu risau bekalan dadah kerana saya hanya perlu melakukan persembahan dengan baik.

“Malah, mereka turut membantu saya menyediakan peralatan dan memanaskan dadah untuk kegunaan saya sebelum sesuatu persembahan bermula,” katanya yang pernah ketagih syabu atau ‘ice’ sebelum menyertai Pengasih, hampir dua bulan lalu.



Jamal berkata, perbuatan mereka seolah-olah menggalakkannya sentiasa menagih dadah dan menyukarkan hasratnya membebaskan diri daripada belenggu penagihan.

Bayangkan, apabila melihat pemetik api, juara Bintang RTM 1979 itu sering teringatkan dadah.

Malah, ketika melihat mikrofon pun, dia mudah teringatkan perasaan seronok dan tenang yang diperoleh ketika mengambil dadah.

“Saya juga selalu teringatkan bilik persalinan di belakang pentas yang sering menjadi tempat saya mengambil dadah sebelum melakukan persembahan.

“Itulah cabaran yang saya mahu atasi selepas menjalani proses pemulihan fasa kedua selama enam bulan di Pengasih,” katanya kepada Harian Metro.



Jamal turut menjadikan sikapnya yang suka menyendiri dan tidak bercampur dengan masyarakat sebagai antara penyebab dia kembali terjerumus ke kancah hina itu yang pernah merosakkan kehidupan dan rumah tangganya.

Di Pengasih, penyanyi yang popular dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir itu diajar mengawal perasaan, tekanan serta menangani cabaran supaya tidak lagi teringat perbuatan lampaunya menagih dadah.

“Kakitangan dan rakan di Pengasih cukup prihatin menyebabkan saya tidak berasa terasing dan buntu.

“Mereka sanggup menerima saya tanpa prasangka walaupun saya pernah kembali menagih selepas menjalani program pemulihan di pusat itu sebelum ini,” katanya.

Layanan dan sokongan padu peminat dan Pengasih menyebabkan Jamal bertekad berhenti menagih dadah dan cuba mengawal emosi supaya dapat menghentikan ketagihannya.



Jamal juga mahu menyerahkan wang hasil persembahan nyanyiannya kepada Pengasih sepanjang enam bulan bersama persatuan itu kerana terharu dengan sokongan dan bantuan diberikan.

Sementara itu, Presiden Pengasih, Mohd Yunus Pathi, berkata melihat sepanjang pembabitan Jamal di Pengasih pada fasa kedua ini, penyanyi itu memberikan komitmen tinggi untuk memulihkan dirinya.

Komitmen dan semangat itu ditunjukkan melalui penyertaan Jamal dalam beberapa program anjuran Pengasih.

Bagaimanapun, katanya, proses pemulihan terbabit masih dalam peringkat awal dan berharap Jamal dapat mengekalkan semangat supaya pulih sepenuhnya untuk meneruskan kehidupan bebas dadah.

Nasi Tambah; Kata Jamal, "Cinta dan dadah itu sama!"









No comments: