Negarakuku: Kabinet Tidak Boleh Maafkan Wee

KUALA LUMPUR: Kabinet tidak menerima permohonan maaf Wee Meng Chee, penyanyi lagu 'Negarakuku' yang dianggap menghina, melalui klip videonya yang dimuatkan di laman web YouTube.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Kabinet semalam memutuskan bahawa ia tidak berada dalam kedudukan boleh memaafkannya, atau sebaliknya, dan "menyerahkan isu itu untuk ditentukan oleh undang-undang".

“Kesalahan itu tidak ditujukan kepada Perdana Menteri atau mana-mana menteri tertentu tetapi terhadap negara," kata Nazri kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Mengenai Media dan Perang Maklumat: Satu Cabaran Sejagat Pada Abad ke-21 di sini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Rakaman skrin video lagu "Negarakuku" yang diperolehi dari laman web YouTube.



"Jika dia berbuat salah, saya fikir ia memang satu kesalahan, jadi kita mesti menyerahkan kepada Peguam Negara untuk menyiasat dan menentukan sama ada perlu dia dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Wee memohon maaf kelmarin atas sindiran di dalam lagunya dan bersetuju membuang klip video itu dari blognya.



Nazri berkata permohonan maaf Wee boleh dijadikan sebahagian mitigasinya selepas dijatuhkan hukuman tetapi bukan sebagai sebab untuk tidak mendakwanya.

"Kita tidak boleh tidak mendakwanya kerana dia telah melakukan satu kesalahan terhadap negara dan tiada sesiapa, termasuk Kabinet atau parti-parti politik, berhak untuk memaafkannya," katanya.

Wee boleh didakwa menurut Akta Hasutan kerana dia menghina simbol negara, katanya.

"Kita tidak mahu jadi seperti di negara-negara Barat di mana seseorang boleh memakai seluar dalam dengan reka bentuk Union Jack.

"Di Britain, seseorang boleh menghina Permaisuri atau bendera, saya tidak peduli, tetapi di negara ini kita mempunyai undang-undang dan kita tidak membenarkan contoh awal seseorang berbuat salah, memohon maaf dan dibiarkan," katanya, sambil menambah Wee bukan seorang budak mentah tetapi seorang pemuda 24 tahun dan dia harus dipertanggungjawabkan atas tindakannya itu.



"Ia bukan isu etnik atau bersifat perkauman tetapi sesuatu yang bercanggah dengan kepentingan nasional," katanya.

Ditanya bagaimana Wee boleh dianggap menghina lagu Negaraku, Nazri berkata lagu kebangsaan seharusnya dinyanyikan seperti yang sepatutnya, jika tidak, ia boleh dianggap menghina, khususnya apabila liriknya telah diubah.

“Malaysia Negarakuku. 'Ku ku' boleh juga membawa makna ‘cuckoo’ (sejenis burung) jadi itu menghina. Saya tidak fikir lagu itu dicipta daripada kejahilan. Dia seorang pelajar universiti dan dia memang bermaksud menghina lagu kebangsaan," katanya.

Mengenai sama ada Wee akan dipanggil untuk diseret ke mahkamah, Nazri berkata Peguam Negara akan menyiasat dan jika beliau memutuskan untuk mendakwanya, apabila Wee pulang, dia akan dihadapkan ke mahkamah.

Nazri juga berkata beliau mahu tindakan dikenakan kepada laman web perkongsian video YouTube dan penulis-penulis blog yang telah menerbitkan video klip tersebut.



Sementara itu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim juga mendesak siasatan diteruskan terhadap Wee, lapor Bernama.

Rais dilaporkan tidak bersetuju kes itu ditutup walaupun setelah pelajar itu memohon maaf dan berkata siasatan harus diteruskan bagi mengelak perkara yang sama berulang.

"Negara ini mempunyai undang-undang dan peraturan, dan kita harus akur dengan prosesnya," beliau dipetik sebagai berkata.

"Sebagai orang biasa, walaupun ahli kabinet, kita tidak boleh memutuskan sama ada sesuatu perkara itu adalah kesalahan di bawah mana-mana undang-undang (kerana) kita mempunyai pihak pendakwa raya yang bertauliah bagi menentukan sama ada sebarang tindakan harus diambil berdasarkan hasil siasatan."

Kalau nak baca; "Negarakuku Kantoi!" dan Wee Mohon Maaf


Pakej Web Jualan







No comments: