Tindakan Kepada Pelajar Nyanyi 'Negarakuku'

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia di sebuah universiti di Taiwan yang dikatakan menghina lagu Negaraku dan menyindir kerajaan akan dipanggil balik, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Dr Adham Baba hari ini.

Katanya sekiranya siasatan yang akan dijalankan kementerian nanti mendapati pelajar itu ditaja oleh pihak kerajaan, pelajar terbabit akan dipanggil balik untuk tindakan selanjutnya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Rakaman skrin video lagu 'Negarakuku'.



"Biar kementerian siasat dahulu perkara ini untuk memastikan kebenarannya dan ulasan lanjut hanya boleh diberikan selepas itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Caring Hospital Enterprise System (Chest), Filmless Hospital dan program celik IT di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini.



Dr Adham berkata demikian ketika diminta mengulas aksi pelajar terbabit yang dikenali sebagai "Namewee" di dalam sebuah video klip dengan menggunakan bahasa kasar serta lucah semasa menyanyikan Negaraku.

Lebih teruk lagi lagu Negaraku turut diberikan dengan nama baru iaitu "Negarakuku" dalam video klip yang disiarkan selama 5 minit 32 saat di sebuah laman web sejak pertengahan bulan lepas.

Pelajar berusia 24 tahun itu, yang dikatakan sedang mengikuti jurusan komunikasi massa di Universiti Ming Chuan, Taiwan turut memperlekehkan umat Islam serta menyindir anggota polis serta kakitangan kerajaan.



Dalam perkembangan lain, Adham berkata sistem Chest HUKM merupakan sistem maklumat terkini dalam usaha hospital berkenaan untuk menambah baik sistem maklumat sedia ada.

Sistem yang dirancang sejak 2004 itu dilaksanakan melalui empat fasa iaitu Modul Rekod Perubatan, Modul Jabatan Kecemasan, Modul Dewan Bedah dan Modul Temujanji serta Perakaunan Pesakit.

Fasa pertama projek yang membabitkan kos RM37 juta itu mula beroperasi sejak enam bulan lepas, sementara keseluruhan fasa dijangka siap menjelang 2012.

Pada majlis itu, Adham turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara HUKM dengan Multimedia Development Corporation (MDeC) Sdn Bhd mengenai kerjasama membangunkan sistem Chest ke dalam projek Aplikasi Perdana Telekesihatan MSC Malaysia.









No comments: