PM Bersenam Bersama Sultan Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN: Hari kedua lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Brunei hari ini dimulakan dengan gaya hidup sihat menerusi kegiatan senaman berjalan kaki mengelilingi Taman Peranginan Tasek Lama bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Abdullah yang memakai pakaian sukan berwarna kelabu tiba di taman peranginan itu pada pukul 7.20 pagi dan disambut oleh Sultan Hassanal Bolkiah dan Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Al Muhtadee Billah.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Pak Lah dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serasi bersenam bersama.


Turut serta ialah Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar serta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.



Setelah berjalan selama setengah jam sambil menghirup udara segar di taman peranginan itu, Abdullah kemudian menanam sebatang pokok palma sebagai tanda lawatannya itu.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Jeanne Abdullah dalam satu acara berasingan melawat Kampung Ayer dengan diiringi oleh isteri Syed Hamid, Datin Seri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin.

Ketibaan Jeanne dan Sharifah Aziah di jeti kastam yang menghadap Kampung Ayer disambut mesra dengan paluan kompang dan kemudiannya menaiki sebuah bot pelayaran mengelilingi perkampungan itu sebelum singgah untuk bermesra dengan penduduk di kampung itu.



Sementara itu lawatan Abdullah menjadi tajuk utama muka depan akhbar utama di Brunei iaitu akhbar berbahasa Melayu Media Permata dan dua akhbar berbahasa Inggeris, Borneo Bulletin dan Brunei Times.

Perdana Menteri dan isteri akan menghadiri majlis perjumpaan dengan rakyat Malaysia di Brunei sebelum berlepas pulang ke tanah air petang ini. BERNAMA










No comments: