Fauzi Nawawi, Lis Dawati Percepat Majlis Nikah

TIADA angin tiada ribut dan di kala pihak media memberikan tumpuan kepada majlis pertunangan pasangan kontroversi Erra Fazira dengan pasangannya Engku Emran Zainal Abidin, tiba-tiba pasangan pelakon Nisdawati Nazaruddin atau Lis Dawati, 28, dan Fauzi Nawawi, 34, membuat kejutan mengundang pihak media ke majlis pernikahan mereka Ahad lalu.

Sebelum ini, pasangan berkenaan merancang untuk disatukan selepas Aidilfitri pada 25 Oktober depan tetapi tiba-tiba saja mereka mempercepatkan tarikh pernikahan kepada 9 September. Keputusan itu pun dibuat agak mengejut Jumaat lalu setelah keluarga kedua-dua belah pihak berbincang.

Keinginan meraikan keindahan Ramadan dan Syawal bersama seorang wanita bergelar isteri setelah bertahun-tahun hidup bersendirian menyebabkan Fauzi tekad melamar Lis lebih awal.

“Tahun ini saya tidak mahu lagi bersendirian, saya mahu meraikan Ramadan dan Syawal bersama keluarga Lis kerana itu kami memilih untuk mempercepatkan tarikh pernikahan kami.

“Bulan Ramadan menuntut kesabaran setiap umatnya dari segala sudut. Mungkin hubungan kami akan mendapat lebih keberkatan apabila berpuasa dan berhari raya bersama,” kata Fauzi yang mengenakan persalinan baju Melayu berwarna putih gading.



Dengan sekali lafaz, pasangan yang berkenalan sejak setahun lalu sah bergelar suami isteri. Mereka dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Wilayah Persekutuan, Wan Ismail Wan Ahmad, di kediaman pengantin perempuan di Kondominium Setapak Ria. Majlis berlangsung dalam suasana sederhana yang dihadiri saudara mara dan sahabat rapat.

Pada majlis itu, Fauzi menyerahkan mas kahwin bernilai RM999 dan wang hantaran RM21,111. Menurut Fauzi, angka 999 mempunyai simbolik yang tersendiri untuk dirinya.

Katanya, sembilan adalah angka yang paling besar daripada semua nombor. Justeru, ia membawa maksud dia memikul tanggungjawab yang besar sebagai seorang suami.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Tiga kali sembilan bererti saya harus berpegang kepada tiga perkara yang mustahak iaitu pertama saya harus menjadi seorang lelaki dan suami yang bertanggungjawab, kedua penyabar dan yang ketiga penyayang,” katanya.

Pihak lelaki turut menyerahkan sembilan dulang hantaran yang terdiri daripada minyak wangi, rantai, barang kemas serba berdiri, al-Quran, sejadah, kasut, beg tangan, jam tangan, tepak sirih dan kek. Sementara itu, pihak perempuan pula membalas sebanyak 11 dulang antaranya kain sarung, baju Melayu, sejadah, minyak wangi, kek, sirih junjung, dompet, jam, kasut.



Menyingkap tabir perkenalan mereka, kedua-duanya bertemu ketika penggambaran drama bersiri Amir Aiman. Ketika itu Fauzi adalah pengarah dan Nisdawati pula sebagai pelakon. Dari bertegur sapa, hubungan mereka menjadi semakin akrab. Dari panggilan abang adik, kemudian saya dan awak dan berakhir dengan sayang.

“Saya tidak menjangka hubungan kami berakhir hingga ke jinjang pelamin. Fauzi yang saya kenali seorang yang sangat penyabar. Kematangannya dalam membuat keputusan juga adalah satu satu punca kenapa saya tertarik kepadanya.

“Saya juga tidak kisah dengan status suami seorang duda kepada empat anak. Malah hubungan saya dengan anak-anak abang Fauzi juga rapat. Mereka memanggil saya Ummi, kalau saya dan Abang Fauzi tidak sibuk kami selalu membawa anak-anaknya berjalan,” katanya yang akan tetap meneruskan kerjaya sebagai pelakon di atas keizinan suaminya.

Pasangan berkenaan yang bertunang pada 28 Oktober tahun lalu, akan mengadakan majlis resepsi pada 26 Oktober depan di Dewan Komuniti Ibu Kota, Setapak.



Fauzi yang berasal dari Pantai Remis, Perak pula berkata drama bersiri Cucu Opah Nak Kahwin Sekali Lagi seperti kena dengan dirinya. Ditanya apa yang membuatnya tertarik kepada isterinya, kata Fauzi sikap Lis yang penyabar dan lemah lembut menambat hatinya.

“Ketabahannya menghadapi segala dugaan yang datang dengan tenang menambat hati saya. Dengan dorongan wanita selembut Lis menyebabkan hidup saya tambah bermakna,” katanya.

Ditanya destinasi berbulan madu, kedua-duanya masih belum merancang untuk ke mana memandangkan sibuk dengan penggambaran. Lis kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Pasrah. Mengenai cahaya mata pula, mereka tidak kisah merancang dan bersedia menerima cahaya mata dengan hati yang terbuka.

Pencuci Mulut; Lis Belajar Ke Dapur & Lis Tak Pandang Belakang










No comments: