Lis Tak Pandang Belakang

KONTROVERSI lalu membuatkan Lis Dawati Nazaruddin (Lis), 28, serik dan enggan terbabit lagi dalam perkara yang mengaibkannya. Lantaran itu tahun ini, Lis nekad melupakan peristiwa lalu dan memandang ke depan dengan penuh optimis.

Tumpuannya kini hanya pada kerja dan rumah tangga yang bakal dibina dengan tunangnya, Fauzi Nawawi, 34. Katanya, sudah sampai pada satu peringkat, dia perlu menjadi seorang yang sedikit pemilih dan berhati-hati dengan semua keadaan.

“Jika dulu saya tidak kisah sangat tetapi sejak banyak perkara terjadi kebelakangan ini, saya perlu ambil tahu dan tidak lagi memberi sebarang kenyataan menurut nafsu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Ada juga wartawan yang menghubungi saya bertanya perkara sensitif. Tapi saya ambil keputusan tidak perlu lagi membangkitkan semula cerita lama. Pada saya, sekarang masa untuk bekerja dan pilih jalan hidup yang sempurna pada masa akan datang.

“Sekarang ini jika kita berniat atau berbuat jahat terhadap sesiapa saja, balasan Tuhan datang segera. Jadi, lebih baik jaga tepi kain masing-masing dan jangan hiraukan hal orang lain.



“Lagipun kita tidak mampu memuaskan hati semua pihak. Saya berharap selepas ini jangan ada lagi yang bertanya hal mengarut dengan saya. Saya pasti apa yang berlaku ada rahmatnya. Ternyata telahan saya benar kerana sekarang saya terima banyak tawaran berlakon dan peminat masih memberi sokongan,” katanya.

Lis baru saja selesai penggambaran drama Dewi Cinta yang diterbitkan Bright Network Sdn Bhd. Apa yang menggembirakan Lis apabila produsernya, Raja Alawiyah Raja Idris menggandingkannya dengan Fauzi. Bagi Lis, selama berlakon itulah watak yang paling berat dan mencabar kerana berlakon dengan tunang sendiri.

Dalam Dewi Cinta, mereka dipertemukan sebagai suami isteri. Lis memegang watak Dewi yang kesunyian selepas ibunya meninggal dunia dan bapanya berkahwin lagi. Dewi juga berperangai pelik, mementingkan diri dan menganggap kehadiran orang lain dalam hidupnya hanya menyusahkan.

Nizam (Fauzi) adalah rakan sekolejnya dan daripada perkenalan biasa, mereka kemudian berkahwin. Nizam tahu sikap sebenar Dewi dan dia berusaha mengubahnya dengan cara tersendiri sehingga memberi tekanan kepada Dewi. Tindakan Nizam membuatkan Dewi menjadi serba salah.

“Sebelum ini pun saya dan Fauzi pernah berlakon bersama tetapi inilah julung kali kami berlakon membabitkan perasaan. Mujurlah Fauzi sudah lama berkecimpung dalam bidang ini. Jadi dia boleh meletakkan dirinya sebagai suami dalam drama itu dan habis penggambaran, dia adalah tunangan saya.



“Dalam drama itu, ada juga babak Nizam berlaku kasar dengan Dewi yang membuatkan hati saya bimbang janganlah selepas berkahwin nanti ia terjadi kepada saya.

“Walaupun saya tahu ia hanya lakonan, ada ketika saya terasa hati dengan perlakuan ‘Nizam’. Tapi Fauzi selalu mengingatkan saya jangan terlalu terbawa-bawa perasaan itu di luar lokasi.

“Saya juga mesti profesional sepertinya. Apabila sudah biasa, tiada lagi perasaan marah atau sakit hati dengannya. Kelebihan berlakon dengan Fauzi, saya mampu memberi lebih penghayatan kerana saya membayangkan perkara itu benar-benar terjadi pada saya selepas kami berkahwin nanti. Cemas juga rasanya,” katanya.

Tambah Lis, Dewi Cinta juga memberikan dia pengalaman baru apabila babak melahirkan anak kerana ia tidak pernah dialaminya.

“Bukan senang seorang wanita yang belum berpengalaman bersalin terpaksa melakukannya tetapi itulah yang Raja Alawiyah mahu saya buat. Sebelum adegan itu ‘menjadi’, puas jugalah saya berhempas pulas mendapatkan perasaan wanita yang sedang bertarung dengan kesakitan hendak bersalin,” katanya.


Walaupun Lis berpuas hati dengan watak Dewi, dia berharap jangan ada lagi penerbit dan pengarah yang menggandingkannya dengan Fauzi terutama untuk membintangi drama konflik rumah tangga.

“Waktu belum berkahwin okeylah, kalau sudah menjadi suami isteri nanti trauma dibuatnya. Jika diberi watak ‘manis’ bolehlah saya pertimbangkan,” katanya.

Tambah Lis, dia kini mula membuat persiapan perkahwinan yang bakal berlangsung selepas Aidilfitri ini dengan membeli barangan dan kelengkapan perkahwinan sedikit demi sedikit supaya tidak kelam kabut.

“Kami bercadang mengadakan majlis perkahwinan sederhana saja kerana yang penting kami menjadi suami isteri yang sah. kami juga membeli barang keperluan perkahwinan bersama,” katanya.

Walaupun sudah bertunang, kata Lis, masih ada kata-kata sumbang mengenai hubungannya dengan Fauzi. Ada menuduh Fauzi menumpang tuah Lis sedangkan jelas Lis, Fauzi tidak berhenti berlakon dan dia tidak perlu mengharapkan sesiapa untuk memajukan kariernya.



“Cuma dalam kesibukan itu, Fauzi kurang publisiti. Apabila cerita mengenainya jarang terpampang dalam akhbar, barangkali ada yang menganggap Fauzi duduk goyang kaki.

“Dulu memang saya sensitif bila terdengar cerita yang tidak benar seperti itu tetapi sekarang tidak lagi. Paling mustahak saya dan Fauzi tahu kedudukan perkara sebenar,” katanya.

Dalam pada sibuk bekerja, Lis juga membantu abangnya, Mulyadi ‘menghidupkan’ semula syarikat penerbitannya, Perfect Illusions. Syarikat itu kini dalam usaha mempromosikan artis sulung mereka, The Nation Head. Perfect Illusions juga menerbitkan VCD Kau...Aku lakonan Lis, Fauzi, Fizz Fairus, Yobut, Abu Bakar Elah dan Clarins (penyanyi Sabah).

“Kami mengambil pelakon dari Sabah kerana sasaran utama Kau...Aku untuk pasaran di sana. Penduduk di sana memberi sambutan baik terhadap VCD yang dibintangi pelakon yang berasal dari daerah mereka,” katanya.





Profil


NAMA SEBENAR: Nisdawati Nazaruddin

TARIKH LAHIR: 15 Disember 1978

TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik

STATUS: Bujang

PENDIDIKAN: SPM

PROFESION: Model, Pengacara dan Pelakon

FILEM: KL Menjerit, Black Maria, Mistik, Bisikan Remaja, Syaitan

DRAMA: Haryati 2, Miftahul Jamilah, Tak Tercapai Akalmu, Dewi Cinta, Seharum Zehra, Kau Yang Ku Sayang

PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita FFM16-KL 2003, Pelakon Drama Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005



No comments: