Zikir Dangdut Ganti Tarawih

Seremban - Satu pertubuhan agama di negeri ini dikesan mengamalkan zikir sambil menyanyi atau lebih dikenali sebagai 'zikir dangdut' untuk menggantikan solat Tarawih, namun pengikut mereka berpuasa dan berbuka seperti mana umat Islam lain. 

Digelar 'zikir dangdut' kerana selepas solat Maghrib dan Isyak, pengikut akan menggoyangkan badan seolah-olah seperti menari sambil berzikir yang dilakukan mulai jam 9 malam hingga 5 pagi setiap Ahad dan Jumaat. 

Zikir itu kononnya mampu meningkatkan rasa khusyuk dan ibadat kepada Allah SWT terutama pada bulan Ramadan. 

 photo Zikir Dangdut Ganti Tarawih_zpslfc23iga.jpg
Muka depan Harian Metro Edisi 30-06-2015 

Kumpulan yang memiliki puluhan pengikut itu beroperasi di sebuah markas usang di sini dan dipercayai aktif sejak lebih 4 bulan lalu. 

Markas itu dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu ruang karaoke serta warung dan ruang surau yang turut digunakan untuk sesi berubat, malah juga digunakan pengikut mengamalkan 'zikir dangdut'. 

Ketua kumpulan terbabit adalah seorang lelaki berusia 60-an yang juga penyebar ajaran berkenaan. 

Beliau juga seorang pengamal perubatan tradisional dan mendakwa mampu mengubati pelbagai penyakit terutama yang berkaitan dengan sihir. 

Wartawan Harian Metro yang melakukan penyamaran di markas itu selepas berbuka puasa kelmarin bagi mengetahui lebih dekat mengenai ajaran kumpulan berkenaan. 

Tinjuan yang dibuat itu membuktikan kegiatan zikir berkenaan yang dijalankan selepas solat Isyak memang wujud. 

Kumpulan itu juga didapati mendirikan solat Isyak bersendirian sebelum masing-masing berzikir antara jemaah lelaki dan wanita. Tiada solat Tarawih didirikan. 

Melalui pemerhatian di markas itu juga, didapati kira-kira 50 individu berada di markas usang berhampiran tapak pembinaan itu, malah lelaki dan wanita bebas bergaul di ruang surau terbabit. 

Bukan itu saja, ruang yang dikatakan surau itu juga menjadi tempat orang ramai untuk berubat dengan lelaki itu, termasuk dalam kalangan mereka yang bukan Islam. Keadaan ini menyebabkan berlaku percampuran antara lelaki dan wanita. 

Pemerhatian turut mendapati, solat dilakukan secara bersendirian dan tidak secara berjemaah, malah sebaik selesai menunaikan solat, setiap ahli akan menggoyangkan sedikit badan sebelum berzikir dan menyanyi kononnya bagi menambah rasa khusyuk. 

Dalam pada itu, di ruang surau pengikut lelaki dan wanita boleh bersalaman, berbual serta ada didapati sedang makan dan minum. 

Sementara itu, sumber berkata, ajaran sesat terbabit diketuai seorang lelaki yang juga seorang penduduk tempatan. 

Beliau berkata, pengikut kumpulan itu percaya ajaran yang diamalkan bukan saja menambah rasa khusyuk dalam ibadah, malah kononnya dapat menjadikan mereka tenang. 

"Mereka mendakwa ajaran itu dianggap lebih mulia diamalkan di bulan Ramadan selain boleh menggantikan solat Tarawih," katanya kepada Harian Metro. 

Malah, katanya pemilik karaoke yang juga ketua ajaran mengenakan bayaran RM2 bagi setiap lagu dinyanyikan di ruang karaoke. 

"Bagi bayaran itu, RM1 akan dimasukkan ke tabung markas bagi menggerakkan ajaran itu," katanya yang mengakui premis karaoke itu tidak beroperasi di bulan Ramadan. 

Kata sumber itu, selain berzikir, surau terbabit menyaksikan orang bukan Islam keluar dan masuk ke markas untuk bertemu ketua kumpulan itu yang dikatakan menawarkan khidmat mengubati pelbagai jenis penyakit. 


Sumber : Harian Metro Edisi 30-06-2015 bersamaan 13 Ramadan 1436H         


No comments: