Geng Plastik Hitam Curi Makan

Kuala Lumpur - Tidak malu pada Tuhan. Itu ungkapan tepat ditujukan kepada ratusan ahli 'geng plastik hitam' yang berkerumun membeli juadah makan tengah hari sekitar ibu kota di sini.

 photo Geng Plastik Hitam_zpsqelx3zlx.jpg
Muka depan Harian Metro Edisi 30-06-2015


Kumpulan lelaki beragama Islam ini didapati membeli juadah makanan terutama di Jalan Gurney, Jalan Semarak, Jalan Kampung Attap, Chow Kit, Pasar Keramat dan Jalan Medan Tunku di sini, seawal jam 11 pagi.

Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati kawasan itu menjadi 'syurga makanan' bagi individu yang mahu membeli juadah nasi bungkus tanpa rasa segan silu.

Keadaan meriah ini turut dilihat di sekitar kawasan Jalan Gurney di sini, apabila kumpulan kaki ponteng puasa berpusu-pusu membeli makanan yang diisi di dalam plastik hitam.

Lorong di kawasan itu yang mempunyai 10 gerai menjual pelbagai lauk-pauk mula dipenuhi pelanggan lelaki yang muncul menaiki motosikal dan kereta.

Lebih memalukan apabila pengusaha premis makanan tanpa rasa bersalah turut bersubahat dengan golongan kaki ponteng puasa ini. 

Tinjauan wartawan bermula jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang di lorong itu mendapati kebanyakan kaki ponteng puasa ini tidak segan silu memilih lauk pauk hingga menyebabkan suasana di kawasan itu menjadi meriah.


Malah turut kelihatan ramai kakitangan kerajaan yang memakai pakaian seragam muncul membeli makanan di kawasan itu. 

Wartawan yang turut berlakon membeli nasi bungkus mendapati golongan kaki ponteng puasa ini berebut-rebut di dalam gerai untuk membeli juadah. 

Salah seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Burhan berkata, dia sering membeli makanan di lorong itu kerana tidak dapat berpuasa atas alasan sakit. 

Dia turut menegur wartawan kerana dilihat kekok dan gusar ketika membeli makanan di gerai itu. 

"Tak payah takut abang. Ramai beli makanan di sini. Jika JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) datang, masih sempat lari," katanya. 

Burhan berkata, dia juga pernah ditangkap kerana tidak berpuasa namun mempunyai alasan kerana penyakit yang dihidapinya. 

"Kalau nak beli makanan di sini kena datang awal. Kalau tak lauk habis," katanya. 

Seorang pemilik gerai wanita ditemui berkata, dia mula menjual nasi dan lauk-pauk seawal jam 10 pagi sepanjang Ramadan. 

Dia memberi alasan bergantung sumber pendapatan hasil perniagaan itu sejak puluhan tahun lalu menyebabkan dia berniaga pada siang hari.

"Gerai saya kurang mendapat sambutan jika dibuka pada waktu petang. Ini kerana saya bersaing dengan beberapa bazar Ramadan di kawasan sekitar. 

"Soal mereka tidak berpuasa itu terserah kepada individu terbabit. Apa yang penting mereka tidak makan secara terbuka di kedai saya," katanya ketika ditemubual Harian Metro. 


Sumber : Harian Metro Edisi 30-06-2015 bersamaan 13 Ramadan 1436H  


No comments: