Tun Mahathir Tak Sokong Najib

IPOH -  Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan tidak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana didakwa lemah dalam mentadbir negara.

 photo Tun Mahathir Tak Sokong Najib_zpsijaffz5b.jpg
Muka depan Sinar Harian 17-05-2015

Beliau berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi menasihati Najib namun perkara itu dilihat tidak memberi kesan positif terutama membabitkan soal kepimpinan dan pentadbirannya.

"Saya sudah berunding, nasihat dan beri pandangan kepada beliau namun ia semacam tak memberi kesan."

"Oleh itu saya telah tulis surat.....minta maaf saya tidak boleh lagi sokong beliau dan buat pengetahuan semua (hadirin) Najib tidak (pernah) maklumkannya (mengenai surat) kepada sesiapa," katanya pada program Bicara Negara Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah hotel di sini semalam.

Mahathir berkata, tindakannya menolak kepimpinan Najib itu juga berpunca daripada kegagalan Perdana Menteri Malaysia itu mendengar keluhan akar umbi dan rakyat jelata.

"Saya tahu ada pihak marah bila saya katakan perkara ini namun ingin saya tegaskan kepimpinan Najib tidak sama sepertimana arwah bapanya, Tun (Abdul) Razak (Hussein) yang sanggup menyelusur segenap kampung bertanyakan hal rakyat", katanya.

Beliau berkata, ahli Umno terutamanya pemimpin tertinggi perlu berani menegakkan kebenaran sekali gus menggugurkan Najib daripada mengetuai Kabinet dan parti."

"Umno perlu gugurkan Najib demi tanggungjawab bangsa, agama dan negara selain tidak sesekali boleh membiarkan sokongan kepada seseorang individu menidakkan sokongan kepada agama, bangsa dan negara."

Selain itu katanya, beliau tidak menolak Umno dan BN akan tumpas dalam PRU14 sekiranya pakatan itu mengekalkan Najib selaku Perdana Menteri Malaysia. 

"Mungkin, dan saya fikir Umno itu akan lenyap terus ditelan zaman." katanya. 

Jangan calonkan ketua bahagian sokong Najib

Dr Mahathir turut mencadangkan semua Ketua Umno Bahagian yang menyokong Najib tidak dicalonkan pada pilihan raya akan datang. 

Katanya, perkara berkenaan perlu dibuat bagi memastikan tiada sokongan untuk Najib kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia. 

"Kita kena beritahu ketua bahagian kalau sokong Najib, kita akan tolak mereka. Mereka tak akan jadi calon pilihan raya. 

"Mereka sokong Najib, tapi Najib bukan sokong  mereka. Janganlah bising sangat," katanya. 

Dr Mahathir berkata, pembangkang mahu Najib terus memimpin negara bagi memudahkan mereka menang PRU14 nanti. 

"Kalau Najib terus jadi Perdana Menteri, mereka (pembangkang) akan menang. Sebab itulah mereka nak dia (Najib) kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya. 




Respons Najib : Dr Mahathir perlu ingat peristiwa 1987 

KLANG - "Saya ikut jejak langkah Tun Mahathir." demikian kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu pendirian untuk kekal sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.        

Berucap di hadapan kira-kira 1,500 orang ahli Umno, Najib berkata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut berhadapan cabaran sewaktu memimpin negara. 

"Masih ingatkah pada 1987 di mana Dr Mahathir dicabar bagi jawatan Presiden Umno? Pada masa itu beliau menang tipis, tetapi masih terus memimpin." 

"Hampir 50% tolak kepimpinan beliau. Jadi apa maknanya itu? Saya juga amalkan perkara yang sama," katanya pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri di Kelab Eksekutif Klang, semalam. 

Dr. Mahathir mampu menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun disebabkan oleh pelembagaan parti yang meletakkan syarat bagi mencabar jawatan presiden. 

"Perlembagaan parti meminta sebanyak 63 percalonan dari bahagian untuk bertanding presiden parti. Harus diingatkan bahawa jika jadi Presiden Umno secara automatik akan jadi Perdana Menteri Malaysia." 

"Tetapi saya cuba mengubah Umno supaya menjadi lebih demokratik dan telus. Kita telah pinda perlembagaan bagi jawatan Presiden Umno. Saya ambil risiko besar, tetapi saya menang tanpa bertanding dalam pemilihan," katanya. 

"Kenapa saya perlu turun sedangkan saya menerima sokongan padu. Tidak ada mana-mana pihak boleh menentukan kepimpinan negara melainkan rakyat dan parti," katanya.

Sepanjang ucapan, Najib menerima tepukan gemuruh serta sorakan semangat 'hidup Najib, hidup Umno.'

Menurutnya, kewujudan media sosial merupakan satu cabaran besar bagi kepimpinannya. 

"Kalau zaman Dr Mahathir ada media sosial, saya rasa keadaan bertambah teruk," katanya. 

Sumber : Sinar Harian Edisi 17-05-2015 bersamaan 28 Rejab 1436H   
 

No comments: