Minum, Mandi Air Mayat

5 hari penduduk sebuah kondominium guna air dari tangki ada mayat

KUALA LUMPUR -  Misteri bau busuk air yang digunakan penghuni sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini sejak Khamis minggu lalu (07-05-2015) akhirnya terjawab selepas pihak berkuasa menjumpai mayat seorang lelaki terapung di dalam tangki simpanan air di salah satu blok perumahan itu pada Selasa lepas (12-05-2015).

 photo minum air mayat_zpsnrcjetv5.jpg
Muka depan Kosmo! Edisi 15-05-2015

Mayat lelaki itu ditemui oleh pekerja penyelenggara kondominium berkenaan pada pukul 9.25 malam selepas mereka menerima aduan penghuni berhubung air yang keluar dari paip rumah berbau pelik dan busuk.  

Seorang penghuni yang hanya ingin dikenali sebagai Abbas, 23, memberitahu dia terkejut apabila air rumah yang didiaminya selama setahun itu mengeluarkan bau busuk seakan-akan bau air limbah sejak Ahad lepas.

Katanya, bau dan rasa air itu sedikit meloyakan, namun dia dan rakan serumah tidak peduli kerana beranggapan mungkin paip rumah mereka berkarat.

"Sudah 5 hari kami minum dan mandi dengan air tersebut. Hanya kelmarin (Rabu) kami tahu bau pelik dan busuk itu akibat ada mayat dalam tangki berkenaan selepas mendapat notis gangguan air." 

"Saya dimaklumkan pihak pengurusan telah membersihkan tangki itu," kata pelajar Universiti Help itu ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

 photo kondominium Bukit Damansara_zpsjizxvvbz.jpg

Difahamkan, blok kondominium itu didiami hampir 1,000 orang penghuni. 

Menurut seorang lagi penghuni, Victoria Nelson, 45, dia kini trauma selepas air yang diminumnya sebelum ini datang dari tangki yang tercemar dengan mayat.

"Saya serik untuk minum air yang disalurkan ke paip rumah kami. Malah, saya dan suami sanggup membeli air mineral untuk dijadikan bekalan minuman," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, sepasukan polis dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu.

 photo Zainuddin Ahmad Senior Asisten Komisioner Ketua Jabatan Siasatan Jenayah PDRM_zpsqba1vq7p.jpg

Katanya, hasil pemeriksaan mangsa, Chuan Wan Chooi, 43, yang tidak tinggal di kondominium berkenaan ditemui mati di dalam tangki itu dipercayai hampir 5 hari. 

"Hasil pemeriksaan awal, pihak forensik gagal menemui sebarang kesan kecederaan pada badan mangsa."

"Siasatan lanjut turut mendapati mangsa telah hilang sejak 7 Mei dan satu laporan berhubung kehilangan mangsa hanya dibuat oleh abangnya pada 9 Mei lalu," katanya. 

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

Sumber : Kosmo! Edisi 15-05-2015 bersamaan 26 Rejab 1436H 
 

No comments: