Amerika (AS) Tembak MH370?

Nota : Ini bukan berita muka hadapan.

LONDON - Bekas Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) sebuah syarikat penerbangan Perancis, Marc Dugain mendakwa, pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu terhempas kerana ditembak oleh tentera Amerika Syarikat (AS) lapor MailOnline kelmarin.

Dugain berkata, tentera AS yang berpangkalan di pulau Diego Garcia, Lautan Hindi menembak pesawat berkenaan kerana menyangka pesawat tersebut telah dirampas dan bakal digunakan untuk satu serangan pengganas.

Beliau merupakan bekas CEO syarikat Proteus Airlines tetapi syarikat berkenaan sudah tidak lagi wujud.


Dugain memberitahu akhbar Paris Match, teori itu berdasarkan dakwaan beberapa penduduk di kepulauan Maldives yang terletak berhampiran Diego Garcia bahawa mereka melihat pesawat jenis Boeing 777 berkenaan terbang rendah.

"Beberapa nelayan di sebuah pulau kecil di Maldives memberitahu saya, mereka melihat pesawat besar yang mempunyai warna dan menyerupai pesawat MAS terbang rendah pada 8 Mac lalu,"
katanya.

Dia juga mendakwa, ada penduduk di Maldives menemui satu alat pemadam api yang kosong dipercayai milik pesawat MH370 di satu kawasan perairan berhampiran pulau Baarah.

Dalam satu wawancara dengan sebuah stesen radio Perancis baru-baru ini , Dugain yang kini penulis novel mendakwa, sumber perisikan memberi amaran kepadanya supaya tidak menyiasat kehilangan pesawat berkenaan.

"Sumber perisikan itu juga memberitahu bahawa saya kini berdepan risiko tinggi dan menasihati saya supaya tidak meneruskan siasatan," katanya. 



Sumber : KOSMO! Edisi 24-12-2014 bersamaan 2 Rabiulawal 1436H   



No comments: