Pelukan Hangat K-Pop

Banyak pihak pertikai perlakuan panas ahli B1A4 bersama peminat wanita Islam

KUALA LUMPUR - Pelbagai pihak mengecam aksi panas ciuman dan pelukan erat antara ahli kumpulan K-Pop lelaki terkenal dari Korea Selatan, B1A4 dengan sekumpulan peminat wanita Islam pada konsert B1A4 Live In Kuala Lumpur - Malaysia yang berlangsung di Life Centre di sini malam kelmarin.

 photo pelukan hangat k-pop_zpsdmsmn0vq.jpg
Muka depan Kosmo! 12-01-2015

Tingkah laku yang dianggap mengaibkan kerana berlaku di hadapan khalayak dalam sebuah konsert besar itu mula kecoh selepas video rakaman persembahan tersebut dimuat naik menerusi YouTube dan tersebar melalui laman media sosial sejak semalam.

 photo B1A4-K-Pop-Korea-Selatan_zpsduzcw3gn.jpg

Video berdurasi 3 minit 21 saat itu menunjukkan 4 remaja perempuan memakai tudung bukan sahaja merelakan diri mereka dipeluk oleh ahli kumpulan B1A4, bahkan turut teruja membalas pelukan tersebut dengan dakapan erat.


Malah, dalam salah satu aksi ketika pengacara konsert meminta seorang peminat wanita bertudung itu membuat aksi kononnya sedang memvakum rumah, salah seorang ahli B1A4 datang dari arah belakang untuk memeluk gadis berkenaan.

Dalam satu lagi aksi lebih panas, ahli kumpulan B1A4 bertindak mencium dahi seorang gadis lain yang difahamkan turut menyambut hari lahirnya pada hari itu.

Pengerusi Persatuan Ulama Muslimin Sedunia Malaysia, Abdul Ghani Samsudin berkata, perbuatan peminat dengan ahli kumpulan K-Pop B1A4 itu bertentangan dengan ajaran Islam kerana melampaui batas antara seorang wanita dengan lelaki bukan muhrim.

 photo Abdul-Ghani-Samsudin-Pengerusi-Persatuan-Ulama-Muslimin-Sedunia_zpsv1saryh0.jpg

"Tingkah laku mereka menjatuhkan maruah dan martabat wanita Muslim di Malaysia kerana mereka bertudung, tetapi melakukan sesuatu yang ditegah oleh Islam di khalayak ramai," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 

Abdul Ghani berkata, gadis terbabit sepatutnya menolak permintaan artis K-Pop  itu daripada memeluk dan mencium dahi, dan bukan bertindak sebaliknya dengan membalas pelukan hanya kerana terlalu meminati ahli kumpulan berkenaan. 

Sementara itu Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Jas Laili Suzana berkata, tindakan remaja terbabit memang tidak bersesuaian dengan budaya orang Timur, tetapi masyarakat Malaysia tidak boleh menyalahkan mereka semata-mata. 

"Mereka ini muda remaja dan masih perlu dibimbing. Banyak faktor yang yang menyumbang kepada berlakunya kejadian ini dan kita tidak boleh meletakkan kesalahan itu atas bahu mereka sahaja," katanya.

Menurutnya, pihak penganjur perlu mengikut garis panduan dan memaklumkan kepada artis antarabangsa mengenai adat budaya sesebuah negara terutama sekali di Malaysia. 

Dalam pada itu, kontroversi pelukan hangat K-Pop itu turut mendapat maklum balas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang sempat menyarankan menerusi Twitternya agar memilih lelaki Malaysia yang berkulit gelap.

 photo Khairy-Jamaluddin-KPOP-tall-dark-handsome_zpsiapdqu2i.jpg

"Banyak dikatakan tentang K-Pop. Harap gadis Malaysia kembali kepada lelaki tall, dark dan handsome, bukan pale, skinny dan pretty. Itu bukan lelaki sejati," tulis Khairy dalam Twitternya.

Info K-Pop B1A4

 photo B1A4-K-Pop-Korea-Selatan-Info_zps2vvk6nqf.jpg

Sumber : Kosmo! Edisi 12-01-2015 bersamaan 21 Rabiulawal 1436H
    

No comments: