Wali Sesat - Bomoh Boleh Panggil Malaikat Jibrail

Buterworth - Mendakwa dirinya ketua wali, seorang lelaki digelar ustaz ditahan pihak berkuasa kerana mengutip bayaran RM950 seorang sebagai upah pengijazahan al-Quran (sanad) kepada anak muridnya. 


 photo bomoh-boleh-panggil-malaikat-jibrail_zps90248f17.jpg

Malah lelaki berusia 46 tahun itu turut disiasat kerana berselindung di sebalik label perubatan tradisional untuk kegiatan rawatan terpesong daripada syariat Islam apabila mendakwa mampu menyeru roh Rasulullah SAW. 

Dia mendakwa memiliki kekuatan luar biasa untuk menyeru roh Khalifah Saidina Ali dan memanggil malaikat Jibrail dengan cara 'masuk' ke dalam pembantunya yang juga seorang wanita. 

Lelaki itu ditahan dalam serbuan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), polis dan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah rumah teres di Seberang Jaya di sini jam 11.30 malam kelmarin. 

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Khairul Azman Azizan berkata, isteri suspek, seorang pembantu wanita dan seorang pengikut lelaki berusia 32 dan 41 tahun turut ditahan. 

"Serbuan dilakukan hasil pemantauan dan penyamaran dilakukan pihak berkuasa sejak enam bulan lalu," katanya.

Beliau berkata, pengijazahan al-Quran sememangnya wujud, tetapi cara suspek terpesong daripada akidah kerana menetapkan bayaran RM950 seorang kepada mereka yang berminat. 

"Lebih mengelirukan apabila mereka yang tidak mampu membayar wang itu boleh memilih cara lain iaitu dengan berpuasa tanpa henti selama 15 tahun sebelum diijazahkan. 

Ia termasuk berpuasa pada hari yang diharamkan iaitu pada Aidilfitri dan hari tasyrik," katanya. 

Khairul Azman berkata, hasil pemeriksaan di lokasi serbuan pihaknya menemui pelbagai buku agama, termasuk yang bertentangan dengan akidah dan ada antaranya sudah diharamkan penerbitannya oleh KDN. 

"Kami juga merampas senjata seperti parang, topi, risalah mengiklankan perkhidmatan yang ditawarkan serta sebuah komputer riba mengandungi maklumat mengenai pelanggan dan pengikut ajaran suspek," katanya. 

Menurut siasatan awal juga mendapati pengikut suspek yang berusia 32 tahun ada cawangan pusat perubatan tradisional dengan kaedah yang sama di Seberang Jaya. 

"Antara perkhidmatan yang disediakan ialah rawatan membuang saka, sihir, santau, khadam, sukar hamil, pelaris dan pendinding perniagaan serta gangguan jin serta makhluk halus," katanya. 

Beliau berkata, suspek utama ditahan disiasat mengikut Seksyen 4, 6 dan 13, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 kerana mengajar doktrin palsu serta memiliki penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak. 

"Pengikut, pembantu dan isterinya disiasat mengikut Seksyen 43, enakmen sama kerana kerana bersubahat," kata Khairul Azman. 


Sumber : Harian Metro Edisi 15-05-2014 bersamaan 15 Rejab 1435H  

   

No comments: