MH370 Hilang Angkara Briged Berani Mati?

DAKWAAN yang menyatakan bahawa pesawat Boeing 777-200 milik penerbangan Malaysia (MAS) yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China angkara kumpulan Briged Berani Mati China (Chinese Martyrs Brigade) kini menambah lagi kekusutan kehilangan pesawat MH370 itu. 

Kumpulan yang tidak dikenali itu diakatakan telah menghantar e-mel kepada sekumpulan wartawan China dan mengatakan mereka bertanggungjawab di atas kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru itu. 


 photo mh370-hari3-brigedberanimati_zps4a0f2280.jpg

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagaimanapun menegaskan sehingga kini tiada bukti kukuh kehilangan pesawat itu mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis sedang menyiasat berita yang disebarkan oleh media antarabangsa bahawa sebuah kumpulan yang didakwa mewakili etnik Uyghur mengaku bertanggungjawab atas kehilangan pesawat tersebut. 




Buat Pengakuan Dalam Bahasa Mandarin

SEPANG - Teori kehilangan pesawat MAS, MH370 yang dikaitkan dengan perbuatan pengganas mendapat asas baharu semalam apabila sebuah kumpulan bergelar Briged Berani Mati China (Chinese Martyrs Brigade) tampil mendakwa mereka bertanggungjawab dalam kejadian itu. 

Spekulasi tersebut tersebar luas apabila sekumpulan wartawan di negara China menerima e-mel dalam bahasa Mandarin daripada kumpulan tersebut. 


 photo email-briged-berani-mati_zps48cddad6.jpg

Bagaimanapun Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, siasatan setakat ini menunjukkan tiada bukti kukuh bahawa kehilangan pesawat MH370 mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut.

Hishammuddin memberitahu perbincangan dengan pasukan khas China yang tiba di Malaysia semalam juga tidak mengesahkan  sebarang kumpulan yang bertanggungjawab ke atas kejadian itu. 




Spekulasi & Teori Pelik Kehilangan MH370 Yang Tersebar Di Laman Sosial 


1. Pesawat MH370 telah dirampas dan dibawa balik ke Rusia oleh pihak tertentu kerana mahu menculik 4 orang kenamaan China yang didakwa bilionair yang turut berada di dalam pesawat itu. 

2. MH320 didakwa sudah meletup di udara tetapi masih disorok daripada pengetahuan umum untuk melindungi kepentingan pihak tertentu. 

3. Beberapa pihak menyatakan terdapat laluan Segi Tiga Bermuda baru di perairan Vietnam. MH370 telah disedut medan magnet yang menyerupai Segi Tiga Bermuda masuk ke laut. 

4. Tarikh kejadian bersamaan bilangan surah Yassin (83) yang didakwa bersamaan dengan tarikh 8 Mac. Selain itu, pesawat MH370 yang berlepas pukul 00.41 (12.41pagi) ada persamaan dalam terjemahan ayat 41 surah Yassin;

"Dan suatu tanda (kebesaran ALLAH) bagi mereka adalah bahawa Kami angkut keturunan mereka dalam kapal yang penuh muatan." - Tafsir ayat 41 surah Yassin. 

5. Dakwaan konspirasi kuasa-kuasa besar dunia.

6. Pesawat tersebut didakwa sudah ditemui pasukan penyelamat Filipina pada petang 10 Mac. Semasa ditemui hanya ekor belum tenggelam dengan ada penumpang terselamat di perairan berhampiran. 

7. Ada penumpang pesawat lain dari China mendakwa mengambil gambar pada ketinggian 11,000 meter (36,000 kaki) setelah nampak serpihan di permukaan laut namun perkara itu dikritik banyak pihak kerana pada ketinggian tersebut sepatutnya laut tidak dapat dilihat. 

8. Terbaru semalam banyak pihak mengaitkan kehilangan MH370 dengan pihak pengganas selepas wartawan China mendakwa menerima e-mel daripada sebuah kumpulan dinamakan sebagai Briged Berani Mati China.



Penumpang Guna Pasport Curi

KAJANG - Dua penumpang lelaki yang menaiki pesawat MH370 menggunakan pasport curi disahkan bukan rakyat Malaysia atau rakyat China. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) berkata, salah seorang daripada penumpang itu sudah dikenal pasti namun beliau enggan mendedahkan dengan alasan belum masa untuk berbuat demikian. 


 photo ketuapolisnegara-tansrikhalidabubakar_zps2bd29494.jpg

"Semakan terhadap kedua-dua lelaki itu mendapati mereka bukan rakyat Malaysia dan kita juga percaya mereka juga bukan etnik Uyghur dari Xinjiang, China," kata beliau. 

Mengikut semakan, kedua-dua penumpang yang masing-masing menggunakan pasport Itali dengan nama Maraldi Luigi, 37, dan pasport Austria dengan nama Kozel Christian, 30, tiada rekod pernah masuk ke Malaysia menggunakan pasport curi itu. 

Kosmo! difahamkan lelaki yang disahkan identitinya dikatakan rakyat sebuah negara di Asia Barat manakala seorang lagi lelaki juga dipercayai dari sebuah negara di rantau yang sama. 

Bagaimanapun, lelaki yang sudah dikenal pasti itu didapati tiada dalam senarai nama orang yang menyertai mana-mana kumpulan pengganas. 

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pasukan keselamatan belum dapat mengesahkan kehilangan pesawat MH370 dengan kumpulan militan. 

Polis sedang menyiasat berita yang disebarkan oleh media antarabangsa sejak semalam bahawa sebuah kumpulan yang mendakwa mewakili etnik Uyghur mengaku bertanggungjawab atas kehilangan pesawat tersebut. 

Etnik Uyghur adalah etnik minoriti yang menetap di daerah Xinjiang, China. Sejak daerah itu diambil alih oleh kerajaan China pada 1949, etnik itu didakwa telah melakukan siri pemberontakan bagi mendapatkan kemerdekaan.




Tun Mahathir Minta Jangan Salahkan Mana-Mana Pihak

PUTRAJAYA - Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru orang ramai supaya tidak menunding jari kepada mana-mana pihak mengenai kehilangan pesawat MAS MH370. 

"Saya rasa pihak berkuasa telah melakukan yang terbaik dan menunding jari kepada sesiapa tidak akan membantu apa-apa. 


 photo tunmahathir-lawatkeluargamangsa-mh370_zpse65e185c.jpg

Setiap kejadian mempunyai pengajaran dan ia terserah kepada mereka (untuk menyelesaikan masalah)," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga penumpang pesawat MH370.




Dua Bomoh Tawar Khidmat Cari MH370      

BUTTERWORTH - Misteri kehilangan pesawat MH370 milik MAS yang belum terjawab selepas dilaporkan hilang sejak awal pagi Sabtu lalu menarik minat dua bomoh dari Pulau Pinang untuk menghulurkan bantuan. 

Tawaran itu dibuat oleh Mohd Rodhi Ahmad, 74, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Tok Janggut Bomoh Tauhid' dan rakannya Zainal Hamid, 54, yang dikenali sebagai 'Bomoh Warisan'. Mereka tidak mengenakan sebarang syarat. 


 photo bomohcarimh370_zps6f30f5c2.jpg

"Jika diizin oleh kerajaan Malaysia, pada hari ini juga kita nak kembalikan semula pesawat MH370 itu ke tempat mula-mula dia berlepas. 

Perkara ini perlu dilakukan secara batin dan untuk itu kami perlu melakukannya di lokasi pesawat itu mula-mula berlepas iaitu di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA)," kata Mohd Rodhi.

Sepang

Sementara itu di Sepang, Balai Ketibaan KLIA di sini semalam gamat dengan kehadiran seorang lelaki yang mendakwa sebagai 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' yang mampu mengesan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang itu.

 photo mahaguru-ibrahim-mat-zain_zps82c9c060.jpg

Lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai 'Mahaguru Ibrahim Mat Zin' mendakwa pesawat MH370 itu tidak terhempas tetapi berada di alam misteri kerana disembunyikan oleh makhluk halus digelar bunian. 

"Kedudukan tepat pesawat (MH370) belum dapat saya pastikan lagi tetapi saya akan berusaha mencarinya dengan melakukan solat hajat dan berdoa," katanya. 




Sumber : Kosmo! Edisi 11-03-2014 bersamaan 9 Jamadilawal 1435H 





No comments: