HUDUD - Sedia atau Tidak?

 photo bincanghudud_zpsefd121cb.jpg


Hudud Berjaya Jika Semua Kena 

SHAH ALAM - Hukum hudud hanya akan berjaya sepenuhnya jika hukuman dikenakan kepada semua manusia termasuk mereka yang mempunyai pangkat yang tinggi. 

Selagi ada pihak yang kebal dengan tindakan undang-undang adalah sukar untuk melaksanakan hukum hudud secara adil seperti mana yang dituntut Islam.

Bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, hudud hanya dapat dilaksanakan dengan baik apabila semua manusia itu sama di hadapan undang-undang. 

"Rasulullah SAW ketika melaksanakan  hudud langsung tidak meletakkan sebarang kepentingan sehingga baginda dalam hadisnya menyebut, 'binasalah seluruh dari kamu, apabila ada orang ternama mencuri ditinggalkan apabila orang kebanyakan mencuri ditegakkan hukum, kalau anak aku Fatimah mencuri, akan aku potong tangannya.'

"Sehingga ada situasi sebegitu apabila yang berada di istana sama dengan di rumah buruk boleh dibawa ke mahkamah, maka barulah hudud boleh berfungsi dengan baik," katanya. 

Menurut Asri, persoalan yang timbul hari ini adalah, apakah dengan perlaksanaan hudud itu mampu memberi kedamaian dan menjaga ketenteraman awam.

Tambah beliau, ketika zaman Rasulullah, baginda telah melakukan pelbagai usaha untuk menyukarkan hudud dilaksanakan dengan memudahkan perkara yang terhalang sehingga tidak ada alasan lagi untuk orang mencuri dan berzina. 

"Jika masih ada situasi apabila ada pasangan yang merancang untuk berkahwin tahun ini dan tertunda hingga ke tahun hadapan maka, mungkin kita berdepan dengan sedikit masalah. 

Sehubungan itu, apa yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan itu harus di sokong, bagaimana pun ia perlu diteliti dengan baik sama ada mampu mencapai matlamat keadilan itu," katanya.



Amar : Tolak Tanggapan Belum Kondusif

SHAH ALAM - Kerajaan Kelantan menolak tanggapan negara ini masih belum mencapai persekitaran kondusif untuk melaksanakan hudud di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, persekitaran kondusif bagi negara ini tidak akan tercapai dan jika mahu terus menunggu, hudud pasti tidak boleh dilaksanakan. 

"Adakah perlu untuk terus menunggu (laksana hudud) jika masih belum ada kesamarataan taraf hidup seperti tiada lagi orang susah di kalangan masyarakat. Miskin dan kaya adalah ketentuan ALLH SWT. Ia sengaja dibuat supaya berlakunya sistem zakat. Jika semua dah kaya, tidak ada lagi zakat.

Keduanya, hudud ini bukanlah untuk menghukum sebaliknya untuk mengawal masyarakat daripada melakukan jenayah. Jika ada yang mencuri kerana desakan hidup, mereka tidak akan didakwa," katanya pada siri Wacana ke-27 Sinar Harian bertajuk Hudud; Bersediakah Kita.

Selain Mohd Amar, ahli panel lain terdiri bekas mufti Perlis, Prof. Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Timbalan Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Dr Mushaddad Hasbullah dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong. 

"Di Kelantan, kita tidak menunggu (kesamarataan), sebaliknya kerajaan negeri mewujudkan suasana yang kondusif dengan cara menutup pusat-pusat hiburan, tempat berjudi, menghentikan penjualan arak dan banyak lagi

Tujuannya supaya masyarakat tidak terdorong melakukan jenayah. Kerana itu di Kelantan ada enakmen untuk hiburan dan wanita supaya ruang untuk melakukan kesalahan menjadi sempit," tambah Datuk Mohd Amar Nik Abdullah lagi.



Pelaksanaan Perlu Lebih Jelas 

SHAH ALAH - Mereka yang mengkritik bukan bererti mereka menolak hudud dan Islam kata Timbalan Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Perdana Mentari, Dr Mushaddad Hasbullah. 

Oleh itu beliau meminta Kerajaan Negeri Kelantan memberi penjelasan kepada rakyat agar perlaksanaan lebih jelas.

"Ini kerana mereka mahukan rotan yang baik dan sesuai untuk menghukum anak-anak mereka mengaji al-Ouran," katanya. 

Menurut Mushadda, orang bukan Islam boleh dikenakan hudud jika sesuatu kes jenayah itu boleh menjejaskan keamanan sejagat serta mencabul keadilan semua pihak.

Katanya isu meminum arak dan zina tidak berkaitan dengan keamanan sejagat dan hanya terpakai kepada umat Islam. 

"Hudud bukan untuk tujuan sembahyang dan ibadat, ia untuk menjaga keamanan dan bagaimana mewujudkan keamanan. 

"Jika hanya Islam dikenakan potong tangan dan bukan Islam boleh memilih hukuman penjara dua bulan, saya rasa kalau diberi pilihan, orang Islam akan mengaku dirinya orang Siam," katanya.  



MCA Sedia Bincang 

SHAH ALAM - MCA bersedia untuk membincangkan semula kedudukan parti itu dalam BN jika Umno menyokong rang undang-undang pelaksanaan hudud di Kelantan. 

Timbalan Presidennya Datuk Ir Dr Wee Ka Siong berkata, undang-undang itu tidak pernah menjadi agenda BN selama ini. 

"Kalau berlaku perkara itu, sudah sampai masanya kita kena berbincang kedudukan kita bersama Umno.

"Kalau kita sudah berada dalam kes seperti ini, tidak ada perkongsian yang sama. Takkan kita boleh berada di platform yang sama," katanya. 

Mengenai keterbukaan ahli Parlimen Umno berhubung isu hudud, beliau menyifatkan perkara itu bukan dasar BN. 

"Suara Menteri di Jabatan Perdana Mentari, (Datuk Seri) Jamil Khir (Baharom) tidak mewakili BN. Beliau Ahli Parlimen Umno.

"Ini bukan pendirian yang persetujui BN. Saya sendiri nampak lebih separuh parti komponen BN tidak setuju kerana melihatkan kemajmukan rakyat di negara ini," kata beliau. 

Ka Siong berkata undang-undang sedia ada sudah mencukupi kerana diterima semua pihak sejak berpuluh tahun lalu. 

"Kita perlu ada satu set undang-undang sahaja. Jadi saya melihat perspektif undang-undang sekarang sudah merangkumi ada. Mahkamah syariah dengan hukuman kepada pesalah meminum arak dan khalwat dengan tindakan yang diambil.

Tapi bagi orang bukan Islam, kita melihat perundangan yang ada sekarang walaupun saya tidak boleh kata ia sempurna 100%, ia sudah melalui proses hampir 60 tahun. Itu sudah lama," katanya.    



Sumber : Sinar Harian Edisi 08-05-2014 bersamaan 8 Rejab 1435H




No comments: