MH370 Hilang Tanpa Jejak

SETELAH 48 jam berlalu, kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China pada awal pagi Sabtu lalu (08-03-2014) masih terus menjadi tanda tanya.

 photo mh370hilanghari2_zps602a6d0b.jpg

Pasukan mencari dan menyelamat sehingga semalam belum menemui sebarang petunjuk mengenai lokasi pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru itu.

Walaupun pihak berkuasa dikatakan telah menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat yang besar dengan menggunakan 27 buah pesawat serta 40 buah kapal ke lokasi terakhir pesawat MH370 itu dilaporkan hilang, namum usaha menjejakinya masih menemui jalan buntu. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu polis tidak menolak kemungkinan berlakunya ancaman pengganas dalam insiden berkenaan dan sedang bekerjasama dengan agensi perisikan antarabangsa termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat untuk menyiasat kemungkinan itu. 



Pesawat Tak Sempat Hantar Isyarat Jika Dibom

KUALA LUMPUR - Kehilangan sesebuah pesawat daripada paparan radar semasa penerbangan tanpa dapat dikesan boleh berlaku sekiranya pesawat terbabit meletup di udara menyebabkan juruterbangnya tidak sempat menghantar apa-apa isyarat kecemasan. 

Sistem komunikasi canggih pesawat membolehkan juruterbang menghantar isyarat kecemasan termasuk melalui gelombang frekuensi tertentu namun jika pesawat tersebut meletup akibat bom, juruterbang atau pembantu juruterbang tidak sempat menghantar apa-apa isyarat. 

Penganalisis keselamatan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, ini merupakan kemungkinan yang boleh berlaku kepada pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang daripada radar.

 photo FuadPenganalisisKelamatan_zpse63de7a6.jpg

"Berdasarkan beberapa kemalangan di udara, juruterbang sempat menghantar isyarat kecemasan sebelum terhempas melainkan jika nahas itu berlaku akibat letupan bom," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam. 

Serpihan letupan yang jatuh ke laut pula sukar dikesan seperti di Laut China Selatan yang luas dan berarus deras boleh menghanyutkan serpihan sehingga beratus kilometer dari kedudukan pesawat dilaporkan terhempas akibat letupan sebaik ia terjatuh. 

Imej pesawat pada paparan radar dikesan oleh isyarat menerusi pancaran gelombang radio untuk mengetahui jarak, ketinggian, atau kelajuan sahaja tetapi radar tersebut tidak mempunyai isyarat seperti keadaan jika pesawat itu meletup. 

Mengulas lanjut, Muhammad Fuad yang juga pengarang majalah pertahanan Tempur, ada kemungkinan bahan letupan boleh disorokkan di dalam bagasi atau dibawa penumpang dalam bentuk tertentu. 

Beliau memberi contoh, bahan letupan seperti semtex iaitu sejenis palstik (PE) yang biasa digunakan oleh pihak tentera dan industri pembinaan turut popular digunakan kumpulan pengganas antarabangsa. 

"Pengganas yang mahir boleh boleh menghasilkan bom berasaskan bahan semtex ini, contoh bahan itu disembunyikan pada pakaian, pembalut kotak, kain atau bagasi. 

"Ciri-cirinya yang sukar dikesan menyebabkan semtex menjadi pilihan pengganas antarabangsa, misalnya dalam kejadia letupan Pan Am 103 di Lockerbie, Scotland pada tahun 1988," ujar beliau. 

Selain itu, Muhammad Fuad turut tidak menolak kemungkinan kemalangan boleh berlaku terhadap sesebuah pesawat sekiranya berlaku kerosakan pada sistem pemanduan automatik pesawat (Automatic Flight Control Systems, AFCS) tanpa disedari oleh juruterbang. 

"Kerosakan pada sistem pemanduan automatik antaranya boleh menyebabkan pesawat itu tersasar daripada laluan termasuk pesawat menjunam tetapi pada paparan skrin AFCS yang dilihat juruterbang menunjukkan penerbangan berlaku secara mendatar. 

Kejadian seperti itu berlaku pada tiga pesawat Sukhoi Su-27 Tentera Udara Rusia yang terhempas di sebuah kawasan pergunungan di Cam Ranh, Vietnam pada Disember 1995 dan mengorbankan ketiga-tiga juruterbangnya.



Guna Pasport Palsu 

KUALA LUMPUR -  Pasukan keselamatan tidak menolak kemungkinan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) sejak Sabtu lalu (08-03-2014) yang masih diselubungi misteri mempunyai kaitan dengan perbuatan pengganas. 

Rentetan itu, satu sumber keselamatan berkata, penyiasatan kini digerakkan dengan memberi fokus kepada identiti dua individu yang disahkan menggunakan pasport palsu ketika menaiki penerbangan itu. 

Kedua-dua individu lelaki itu menggunakan pasport lelaki Austria dan seorang lagi menggunakan pasport lelaki Itali. 

"Kami sedang meneliti rakaman televisyen tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengenal pasti dua penumpang menggunakan pasport palsu yang dicuri daripada pemilik sebenarnya."

Jelas sumber itu lagi, identiti dan kerakyatan  kedua-dua lelaki itu perlu diketahui dahulu sebelum siasatan lanjut boleh dilakukan. 

"Setakat ini, pihak keselamatan hanya curiga dengan tindakan dua lelaki itu menggunakan pasport curi," ujar sumber itu. 

Bagasi Tanpa Penumpang

Selain itu pihak keselamatan juga sedang meneliti lima bagasi milik lima penumpang pesawat yang tidak menaiki pesawat itu. 

"Kita sedang mengenal pasti kelima-lima penumpang itu bagi mengetahui apa punca mereka tidak menaiki penerbangan itu," kata sumber itu.

Kehilangan pesawat Boeing 777-200 tersebut bukan sahaja menjadi tajuk utama semua akhbar utama di negara ini malah akhbar-akhbar di luar negara turut memberi fokus kepada insiden itu dengan kebanyakannya memilih tajuk yang dikaitkan dengan dua lelaki yang menggunakan pasport palsu menaiki pesawat itu.



Pesawat Hilang Berpatah Balik

Penyiasat kaji kenapa juruterbang MH370 tidak maklumkan kepada menara kawalan. 

SEPANG - Pihak tentera semalam mengesahkan terdapat kemungkinan pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang terputus hubungan ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China telah berpatah balik.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Rodzali Daud ketika mengesahkan perkara itu berkata, tindakan juruterbang berpatah balik itu dikesan selepas pihak berkuasa meneliti semula rakaman yang diambil dari radar tentera. 

 photo panglimatudm_zps7ca72dbb.jpg

"Kita masih menyiasat mengapa juruterbang tersebut tidak memaklumkan kepada menara kawalan sebelum berpatah balik dan laluan mana yang diambil."

"Kami sedang bekerjasama dengan agensi perisikan dan penyiasatan antarabangsa untuk menyiasat kes ini dengan lebih mendalam," kata beliau pada sidang akhbar di pusat media di Hotel Sama-Sama di sini semalam. 

Menurut beliau, pasukan mencari dan menyelamat TUDM kini memperluaskan lagi kawasan pencarian meliputi Laut China Selatan dan Selat Melaka terutamanya di perairan Pulau Pinang. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, tindakan berpatah balik biasanya dilakukan jika juruterbang mendapati tidak boleh untuk meneruskan perjalanan atas sebab-sebab tertentu.

Katanya, juruterbang kebiasaanya akan memaklumkan kepada menara kawalan sebelum mengambil tindakan sedemikian.



FBI Turut Bantu Malaysia

SEPANG - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pasukan keselamatan negara sedang bekerjasama dengan agensi perisikan antarabangsa termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dari Amerika Syarikat mengenai kehilangan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS).

 photo datukserihishammuddin_zps4d2ce43d.jpg

Menurut beliau, pihaknya telah menyerahkan  nama dua penumpang yang menggunakan pasport palsu ketika menaiki pesawat itu kepada agensi perisikan dalam negara dan juga luar negara. 

"Nama kedua-dua penumpang yang didakwa menggunakan pasport palsu itu sedang diteliti," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Hishammuddin berkata agensi perisikan antarabangsa termasuk FBI telah bersetuju membantu negara dalam melakukan siasatan kes kehilangan MH370 ini. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, PDRM sedang mengumpul maklumat daripada pelbagai pihak selain meneliti semula rakaman televisyen litar tertutup di KLIA. 

"Polis tidak meletakkan ancaman pengganas sebagai faktor utama kehilangan MH370 tetapi tidak menolak kemungkinan itu," kata beliau pada sidang akhbar semalam. 

Media Amerika Syarikat (AS) melaporkan FBI menghantar satu pasukan terdiri daripada ejen dan pakar teknikal bagi membantu siasatan kehilangan MH370. 

Penglibatan FBI disebabkan tiga daripada penumpang MH370 adalah rakyat AS. - Bernama



Info Senarai Penumpang & Kru Pesawat MH370    

 photo penumpangdankrumh370-s_zps5fcecbf9.jpg

Klik di sini untuk paparan yang lebih besar & jelas 




Pakar Hairan Punca Pesawat Hilang

KUALA LUMPUR - Kehilangan mengejut pesawat Boeing 777-200ER milik Penerbangan Malaysia (MAS) bersama 239 penumpang dan anak kapal disifatkan sebagai kemalangan udara yang jarang berlaku dalam sejarah penerangan dunia. 

Menurut agensi berita Reuters semalam, pada kebiasaannya, kemalangan pesawat berlaku pada waktu mendarat dan berlepas yang merupakan prosedur paling berisiko dalam setiap penerbangan. 

Namun, insiden kelmarin jauh berbeza apabila pesawat komersial itu hilang ketika terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing, China. 

Lebih menghairankan, tiada isyarat kecemasan dihantar atau bangkai pesawat ditemui manakala kerosakan pesawat juga masih gagal dikesan. 

Berdasarkan komunikasi terakhir dengan kedua-dua juruterbang MH370 berkenaan, pesawat itu berkemungkinan terhempas di perairan Vietnam. 

"Pesawat tidak terhempas ketika berada dalam penerbangan seperti kapal terbang MAS," kata pengarah keselamatan firma perunding Flightglobal Ascend, Paul Hayes. 

"Perkara seperti itu amat jarang berlaku," tambahnya. 

Setakat ini hanya satu kemalangan udara terbaharu yang mirip kehilangan MH370 telah dikenal pasti. 

Ia melibatkan pesawat Air France milik Perancis yang terhempas di Lautan Atlantik  ketika dalam perjalanan dari Rio de Janeiro menuju ke Paris pada tahun 2009 yang meragut nyawa semua 228 penumpang dan anak kapal.  

Siasatan yang dilakukan gagal untuk mengenalpasti punca nahas pesawat Airbus A330 berkenaan sehinggalah kotak hitam kapal terbang berkenaan ditemui di dasar laut dua tahun kemudian. 

Setelah sisatan dilakukan, pesawat Air France itu terhempas kerana kesilapan juruterbang. 

Penemuan kotak hitam akan dapat membantu para penyiasat membongkar misteri insiden pesawat di Malaysia itu. 

Para penyiasat mungkin mengambil masa selama beberapa bulan atau tahun untuk mengetahui apa yang berlaku pada pesawat MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. 


Luahan anak ketua pramugari MH370, Maira Elizabeth di Twitter

 photo twittermh370_zpsfc4620c6.jpg   



Sumber : Kosmo! Edisi 10-03-2014 bersamaan 8 Jamadilawal 1435H



No comments: