MH370 Disorok?

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya Boeing dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dipersoalkan di atas kehilangan pesawat MH370. 

Memetik dari blognya di chedet.cc semalam, Dr Mahathir berkata Malaysia Airlines (MAS) dan Malaysia bukan pihak yang patut dipersalahkan ekoran kehilangan pesawat tersebut, tetapi dakwanya "seseorang sedang menyembunyikan sesuatu."

 photo sembunyi-mh370_zps5f7612bb.jpg

 "Mereka boleh mendarat dengan selamat atau mereka mungkin terhempas, tetapi kapal terbang tidak boleh hilang begitu sahaja. Lebih-lebih lagi pada hari ini sistem komunikasi berkuasa, radio dan satelit pengesanan yang beroperasi dalam tempoh yang lama dan mempunyai kapasiti simpanan yang besar," katanya. 

Beliau percaya sistem pengesanan pada pesawat itu sengaja dilumpuhkan dan mempersoalkan di mana data yang sepatutnya dirakam oleh satelit bagi menentukan kedudukan, jenis pesawat, nombor penerbangan dan destinasi. 

"MH370 adalah pesawat Boeing 777. Ia dibina dan dilengkapi komunikasi dan peralatan sistem penentu kedudukan global (GPS) telah dipasang oleh Boeing. 

Jika mereka gagal atau dilumpuhkan, Boeing perlu tahu bagaimana ia boleh berlaku dan sudah tentu Boeing akan memastikan mereka tidak boleh dilumpuhkan dengan mudah kerana melibatkan keselamatan dan operasi kapal terbang," katanya. 

Tambahnya, pada tahun 2006, Boeing didakwa menerima satu paten Amerika Syarikat (AS) bagi sistem kawalan pemanduan automatik di mana sistem ini apabila diaktifkan berupaya menghilangkan kawalan pemanduan juruterbang dan mendarat di lokasi yang ditentukan oleh sistem itu. 

"Memetik satu rencana oleh John Croft dalam Flightglobal.com pada 1 Disember 2006 menyatakan bahawa autopilot boleh diaktifkan - sama ada oleh juruterbang, pemerhati lembaga, atau melalui radio mahupun satelit yang berkaitan dengan agensi-agensi seperti CIA, jika pengganas cuba untuk mengawal penerbangan. 

Jelas sekali Boeing dan agensi-agensi tertentu mempunyai keupayaan untuk mengambil alih 'kawalan tanpa gangguan' daripada penerbangan komersial yang mana salah satunya adalah MH370," dakwa Tun Dr Mahathir. 

Mahathir berkata, percubaan untuk mengesan kapal terbang dengan mencari serpihan dan tumpahan minyak adalah satu pembaziran wang sambil menambah bahawa ini bukanlah satu kemalangan biasa. 

"Pesawat MH370 itu berada di sesuatu tempat, mungkin tanpa logo MAS," katanya. 



Segala Spekulasi Perlu Diambil Kira

SHAH ALAM - Kerajaan perlu meneliti maklumat lain, termasuk spekulasi yang pernah dibuat dalam misi pencarian MH370 yang memasuki bulan ketiga. 

Penganalisis Kejuruteraan Penerbangan, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam siasatan menyeluruh berkaitan kehilangan itu, semua perkara perlu diambil kira. 

"Walaupun semua spekulasi itu dinafikan kerajaan, maklumat lain itu perlu diambil kira dalam keadaan sekarang. 

Memang ada antara spekulasi difikirkan tidak munasabah, tetapi ia perlu dipertimbangkan. 

Maklumat itu penting dalam usaha ini. Jangan lepas tangan sahaja dalam hal ini dan membiarkan MAS serta Malaysia menanggung segala kesalahan," katanya. 


Sumber : Sinar Harian Edisi 19-05-2014 bersamaan 19 Rejab 1435H   
    

No comments: