Fu Wa & Feng Yi - Selamat Datang Ke Malaysia

SEPANG - Pasangan beruang panda gergasi, Fu Wa (jantan) dang Feng Yi (betina) yang menjadi simbol kepada hubungan diplomatik antara Malaysia-China sejak 40 tahun lalu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi semalam.

 photo fuwa-fengyi-panda-China-Malaysia_zps1f25754e.jpg

Panda berusia 7 tahun dan mempunyai berat 116kg (Fu Wa) serta 102kg (Feng Yi) itu tiba di Kompleks MASkargo pada pukul 7.53 pagi dengan menaiki pesawat khas MASkargo jenis Airbus 330-200f MH6462 dari Chengdu, China. 

Haiwan yang diletakkan di dalam peti tersebut hanya dipertontonkan kira-kira 3 minit kepada petugas media. 

Kedua-dua ekor beruang panda itu berada di KLIA hanya kira-kira 20 minit sebelum dibawa ke Zoo Negara dengan kenderaan khas ekoran cuaca panas melebihi 25 darjah celsius. 

Pasangan panda yang dibawa dari pangkalan panda gergasi di Dujiangyang, Chengdu itu tidak boleh terdedah kepada cuaca panas dan hanya boleh hidup dengan suhu 25 darjah celsius ke bawah. Ia akan dikuarantin di tempat khas di Zoo Negara selama 30 hari. 

Seramai empat pegawai veterinar terlatih dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan dibantu seorang pakar dari China ditugaskan untuk menjaga pasangan panda tersebut. 

Beruang tersebut hanya makan rebung buluh dan pihak Zoo Negara memperuntukkan sebanyak 12kg rebung sehari sebagai makanan kedua-dua ekor panda itu. 

Kedua-dua ekor beruang itu akan dipamerkan kepada orang ramai akhir Jun ini selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kemudiannya akan memberi nama baharu kepada pasangan panda tersebut.

 photo Kompleks-Panda-FuWa-FengYi_zps46ef9221.jpg

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, panda yang dipinjam selama 10 tahun menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi itu menelan belanja sebanyak RM60 juta. 

Melalui program perjanjian yang ditandatangani pada 2012 itu, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi selain dapat membangun dan melatih pakar tempatan. 

"Sebelum Malaysia, China telah memberikan 24 ekor panda kepada 12 buah negara lain dan ada yang telah mati. Kita kalau boleh tidak mahu ia berlaku di sini dan sebab itu kita mengawalnya sebaik mungkin," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir pada pada majlis itu ialah Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri James Dawos Mamit. 

Menurut Palanivel, jumlah pengunjung Zoo Negara bakal mencecah sebanyak 1.3 setahun dengan kehadiran panda tersebut dan pendapatan yang diperoleh sudah tentu memberi pulangan semula kepada negara. 

Sementara itu, Huikang percaya pasangan beruang panda gergasi itu yang diberi sambutan hangat sebaik tiba di rumah kedua mereka di Malaysia akan gembira sepanjang berada di negara ini untuk tempoh 10 tahun. 

Beliau menjelaskan, pasangan beruang panda gergasi Feng Yi dan Fu Wa sepatutnya tiba sebelum hari ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China pada 31 Mei lalu. 

Bagaimanapun, kata beliau, banyak persiapan perlu dilakukan terutama dari aspek teknikal dan logistik kerana panda itu memerlukan persekitaran yang selesa. 




Fu Wa & Feng Yi Simbol Hubungan Akrab

KUALA LUMPUR - Pakar Sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyifatkan kehadiran pasangan panda dari China iaitu Fu Wa dan Feng Yi akan menjadi simbol penting kepada jalinan erat antara Malaysia dan negara itu. 

Menurut beliau, walaupun hubungan antara Malaysia dan China sebenarnya telah kukuh sejak tahun 1974 ketika lawatan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein ke negara itu, namun kehadiran beruang panda tersebut akan mengeratkan lagi hubungan antara kdua-dua negara. 

"Sejak dahulu lagi China sangat bergantung kepada Malaysia dari segi bekalan bahan mentah untuk industri-industri di sana. 

Kehadiran pasangan panda itu menggambarkan hubungan semakin erat antara Malaysia dan China," katanya ketika dihubungi semalam.

 photo KhooKayKim-FikriUIAM_zps3a40fcc2.jpg

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Fikri Ahmad, 23, berkata kehadiran 2 ekor panda itu menunjukkan kedua-dua negara komited untuk terus mengekalkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin sejak 40 tahun lalu. 

"Ini usaha yang baik dan diharap kerajaan kita akan cuba pendekatan lain seperti bidang teknologi dan pendidikan yang lebih menarik untuk terus mencipta hubungan mesra dengan negara-negara luar," ujarnya. 

Menurutnya, cadangan membawa masuk panda itu boleh dijadikan satu aktiviti pembelajaran baharu kepada golongan pelajar untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kelangsungan hidup haiwan tersebut selain tarikan untuk mewarnai Tahun Melawat Malaysia 2014. 


Sumber : Kosmo! Edisi 22-05-2014 bersamaan 22 Rejab 1435H 

          

No comments: