Bukan Harta Karun Melaka, Cuma Azimat Majapahit

MELAKA -  Dua keping artifak berbentuk syiling yang ditemui di Pulau Nangka pada 30 April lepas merupakan azimat purba dipercayai berasal daripada kerajaan Majapahit, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

 photo harga-karun-melaka-syiling-majapahit_zps3f1c65f5.jpg

Kerajaan Majapahit wujud antara 1,293 hingga 1,500 dan berpusat di Pulau Jawa Timur manakala kerajaan Kesultanan Melayu Melaka wujud antara 1,402 hingga 1511. 

Kedua-dua kerajaan ini menjalin hubungan diplomatik dan perdagangan yang erat. 

Beliau berkata, berdasarkan kajian pihak bertanggungjawab, jampi serapah Jawa kuno yang tertulis di atas kepingan itu merupakan ciri utama yang menunjukkan artifak tersebut adalah azimat purba. 

Ia bukannya syiling perdagangan seperti andaian banyak pihak sebelum ini. 

Katanya ada kemungkinan azimat itu mempunyai kaitan dengan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan Pulau Nangka itu sendiri, bagaimanapun buat masa ini, kaitan itu masih belum mempunyai bukti yang nyata. 

"Azimat seperti ini juga didapati di kawasan sejarah lain seperti kota lama dan tebing sungai Melaka, maka sukar untuk kaitkan secara spesifik dengan Pulau Nangka," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

 photo harta-pulau-nangka_zps046a738b.jpg

Dua keping artifak tembaga berbentuk medal dipercayai dari zaman Kesultanan Melayu Melaka ditemui oleh syarikat Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd. yang mencari harta peninggalan zaman itu di Pulau Nangka dekat sini. 

Pengarah Urusan syarikat berkenaan ialah Muhammad Foad Khusairy Mohd. Said.  

Idris berkata, buat masa ini syarikat itu yang telah tamat perjanjian untuk mencari harta itu pada 31 April lepas, dibenarkan meneruskan kerja-kerja pencarian buat sementara waktu. 

Kewujudan Pulau Nangka mula menarik perhatian ramai apabila ia dikatakan menyimpan pelbagai khazanah zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan berbilion ringgit. 

Terdapat 20 buah bilik di dalam gua di pulau seluas 20 hektar itu yang dikatakan menyimpan jongkong-jongkong emas, takhta serta pelbagai jenis artifak berharga. - Bernama 


Sumber : Kosmo! Edisi 17-05-2014 bersamaan 17 Rejab 1435H


No comments: