Malaysia Tewas Final Piala Thomas 2014

IMPIAN untuk menyaksikan Piala Thomas kembali ke Kuala Lumpur buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun tidak kesampaian apabila Malaysia tewas 2-3 kepada Jepun pada aksi final di New Delhi malam tadi.

Liew Daren yang turun di perlawanan penentuan gagal mengutip mata kemenangan selepas kecundang 12-21, 21-18 dan 17-21 kepada perseorangan ketiga Jepun, Takuma Ueda.

Kekalahan itu merupakan yang ketiga buat Daren sepanjang kejohanan berlangsung.

Sebelum ini pada peringkat kumpulan, Daren tewas kepada pemain India, R.M.V Gurusaidutt dan Lukas Schmidt dari Jerman.

Dengan kegagalan itu, Malaysia perlu menunggu dua tahun lagi untuk mengulangi pencapaian 1992.


 photo piala-Thomas2014_zps07ff2e3c.jpg

Kemarau Piala Thomas

KAPTEN Piala Thomas, Liew Daren gagal merealisasikan impian jutaan rakyat Malaysia untuk menamatkan kemarau 22 tahun menjulang trofi berprestij itu apabila gagal menyumbang mata kemenangan sekali gus menyaksikan skuad negara tewas 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan final di Stadium Siri Fort, New Delhi, India malam tadi.

Daren yang tewas dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini sekali lagi gagal untuk menebus kesilapan itu apabila ditundukkan Takuma Ueda 12-21, 21-18 dan 17-21 dalam pertarungan yang penuh mendebarkan.

Kekalahan ini sekali gus mengulangi perlawanan final di Guangzhou 2002 apabila skuad negara tewas 2-3 kepada Indonesia.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada kejohanan 1992 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, seperti biasa, Datuk Lee Chong Wei melunaskan janjinya apabila mengungguli mata pertama perlawanan itu menewaskan perseorangan pertama Jepun, Kenichi Tago 21-12 dan 21-16 dalam masa 45 minit.

Bagaimanapun, peluang skuad negara untuk menambah mata tidak kesampaian apabila Tan Boon Heong-Hoon Thien How tewas kepada Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo  21-12, 17-21 dan 19-21 pada aksi kedua pertemuan itu.

Situasi kem negara semakin mendebarkan setelah harapan yang diletakkan kepada perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng untuk menambah mata kedua tidak kesampaian apabila turut tumpas 15-21 dan 17-21 kepada Kento Momota sekali gus menyebabkan Malaysia ketinggalan 1-2.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga cemas seketika apabila tewas kepada Keigo Sonoda-Takeshi Kamura di set pembukaan, namun bangkit dengan persembahan lebih baik dalam dua set berikutnya untuk menang 19-21, 21-17 dan 21-12.

Kejayaan V Shem-Wee Kiong gagal menyuntik semangat Liew Daren selaku perseorangan ketiga apabila ditumbangkan Ueda.

Untuk rekod, Malaysia menjuarai Piala Thomas pada tahun 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992.


Senarai negara-negara yang pernah menjulang Piala Thomas dari tahun 1949 hingga tahun 2014;

 photo juara-juara-piala-thomas-champion_zps8b0a2101.jpg







Sejarah Piala Thomas

Sumber : wikipedia

Kejohanan Piala Thomas ialah sebuah kejohanan utama badminton peringkat antarabangsa bagi berpasukan lelaki yang berlangsung setiap 2 tahun sejak 1982

Kejohanan ini diberi nama Piala Thomas bersempena dengan nama bekas Presiden BWF, Sir George Alan Thomas yang menderma piala ini pada tahun 1939.

 photo piala-thomas-cup_zpsc6363dc3.jpg

Pertandingan pertama berlangsung pada 1948 hingga 1949 manakala acara bagi berpasukan wanita pula diadakan pada tahun 1956 dan dikenali Piala Uber. 

Pusingan kalah mati menentukan juara, lima perlawanan (3 perseorangan dan 2 beregu) pada setiap satu peringkat. Pasukan pertama yang berjaya memenangi 3 perlawanan pertama mara ke pusingan seterusnya. 

Pemegang gelaran terbanyak Piala Thomas sekarang ialah Indonesia dengan 13 gelaran. 




No comments: