MH370 - Pesawat MAS Hilang

Sejarah penerbangan Malaysia pada abad ke-21 mencatatkan rekod terburuk apabila sebuah pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang membawa 239 penumpang, termasuk kru, hilang di Laut China Selatan berdekatan perairan Vietnam awal pagi semalam. 

 photo mh370-1a_zps785ac323.jpg


Sehingga berita ini ditulis pada pukul 11 malam tadi, usaha mencari dan menyelamat pesawat dan penumpang melibatkan pihak berkuasa lima negara iaitu Malaysia, Vietnam, Singapura, China dan Filipina selepas MH370 dilaporkan hilang 20 jam sebelum itu masih gagal menemui bangkai pesawat. 


Pelbagai teori tercetus berikutan kehilangan tersebut termasuk kemungkinan sabotaj dan khianat ke atas pesawat MH370 yang canggih dan mewah itu, dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya menjelaskan cuaca semasa penerbangan adalah baik. 

MAS Bimbang Nasib 239 Penumpang 


SEPANG - Seramai 239 penumpang hilang apabila pesawat Boeing 777-200 milik Penerangan Malaysia (MAS) yang mereka naiki dikhuatiri terhempas di Laut China Selatan berdekatan Vietnam setelah ia terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang di Selangor awal pagi semalam. 


Tragedi terburuk dalam sejarah penerbangan negara itu berlaku ketika pesawat mewah berkenaan berada di antara ruang angkasa Malaysia-Vietnam di Laut China Selatan kira-kira dua jam selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. 


Pesawat MH370 itu berlepas ke Beijing, China pada pukul 12.41 pagi semalam sebelum dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 2.40 pagi. 

Pesawat B777-200 itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi (waktu tempatan).


Pesawat yang dikendalikan oleh pegawai berpengalaman Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, bersama pegawai kanan Fariq Ab. Hamid, 27, itu turut membawa 12 kru dan dua bayi. 


Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, daripada jumlah tersebut, 38 penumpang adalah rakyat Malaysia manakala yang lain warganegara China (153 orang termasuk seorang bayi, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3) dan Amerika Syarikat (3 termasuk seorang bayi). 


"Selain New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1)," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. 

Pelbagai teori tercetus mengenai punca kemalangan itu yang tersebar di internet.


Bagaimanapun, teori yang boleh dipercayai ialah pesawat mengalami masalah teknikal menyebabkan ia cuba berpatah balik ke lapangan terbang berdekatan namun terhempas di lautan sebelum sempat berbuat demikian. 

Ahmad Jauhari menjelaskan, cuaca ketika insiden itu berlaku adalah baik.


"Tidak ada cuaca buruk ketika itu. Kami juga akan menubuhkan satu lagi pusat respons di Beijing selain di KLIA," katanya. 


Menurut beliau, kali terakhir isyarat daripada penerbangan MH370 itu dikesan ialah di 120 batu nautika di timur Kota Bahru di perairan Laut China Selatan, dan tiada petanda kecemasan daripada pesawat B777-200 dengan 239 orang dalam pesawat itu. 


"Kami telah menghubungi pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkuasa Malaysia juga telah menghubungi pihak berkuasa Vietnam kerana ia sebenarnya dalam kawasan bersempadan antara ruang udara Malaysia dan Vietnam," katanya. 

Sementara itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan bahawa kali terakhir pesawat malang MH370 berkomunikasi dengan menara kawalan adalah pada pukul 1.30 pagi semalam. 


Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, kali terakhir pesawat itu dikesan pada kedudukan longitud 0.65515 utara dan latitud 1033443 timur. 


Masalah Sistem Perhubungan Dalam Pesawat Tak Akan Berlaku 


KUALA LUMPUR - Masalah teknikal yang melibatkan perhubungan antara pesawat dan menara kawalan tidak akan berlaku kerana pesawat pada masa sekarang termasuk Boeing 777-200 memiliki sistem komunikasi canggih. 


Juruterbang West Star Aviation, Kamarul Ariffin Abdul Aziz berkata, sistem komunikasi dalam sistem penerbangan adalah yang terbaik berbanding sistem komunikasi dalam pengakutan jenis lain. 


"Sistem komunikasi dalam pesawat sangat canggih dan jika berlaku kerosakan pada kapal terbang, juruterbang akan mengetahuinya melalui sistem amaran dalam pesawat," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam. 


Beliau memberitahu, segala pergerakan pesawat, termasuk MH370, boleh dimaklumkan terus ke menara kawalan sepanjang penerbangan pesawat. 


Teori Kehilangan Pesawat MH370 

1. MASALAH TEKNIKAL


Pesawat MH370 mungkin mengalami masalah teknikal pada enjin yang kemudian melemahkan seluruh sistem pesawat sebelum menyebabkan terhempas. Kemungkinan besar pesawat itu menjunam ke laut dan sehingga kini belum dikesan pasukan penyelamat. Antara masalah teknikal pada enjin yang boleh mengundang malapetaka ialah pesawat kehabisan minyak atau kehilangan kuasa enjin dan tujahan semasa terbang. 

2. KEBAKARAN


Pesawat kemungkinan mengalami kebakaran yang boleh berpunca daripada enjin atau dari dalam kabin. Kebakaran dari dalam kabin mungkin boleh berpunca daripada litar pintas atau peralatan elektronik dalam pesawat. Pesawat juga boleh berdepan dengan gangguan telekomunikasi jika penumpang menggunakan gajet elektronik yang dibawa bersama semasa penerbangan. 

3. CUACA BURUK


Faktor ribut dan kilat boleh menjadi salah satu punca pesawat MH370 ditimpa kemalangan. Sistem pada pesawat boleh terganggu sekiranya berlaku bencana seperti ribut yang menyebabkan hilangnya imbangan sebelum pesawat kemudian terhempas. 

4. TERSASAR PENERBANGAN


Juruterbang mungkin tersasar daripada mengikuti radar semasa penerbangan hingga menyebabkan pesawat MH370 terputus hubungan dengan menara kawalan. Juruterbang berkemungkinan tidak kembali kepada panduan penerbangan yang diberi oleh menara kawalan atau tidak kembali kepada sistem pengesanan global (GPS) yang terdapat pada pesawat hingga memungkinkan ia terhempas. 

5. RAMPASAN


Pesawat mungkin dirampas oleh pihak pengganas yang kemudian telah meletupkannya. Pengganas biasanya akan membuat sesuatu tuntutan jika mereka merampas pesawat dan tidak melakukan perkara itu jika tiada tujuan.


Vietnam, Malaysia Gembleng Usaha Menyelamat MH370

HANOI - Malaysia dan Vietnam melancarkan operasi mencari sebuah pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang terputus hubungan dengan menara kawalan, ketika kebimbangan meningkat berhubung nasib 239 penumpang dan krunya. 

Pihak berkuasa Vietnam berkata, hubungan dengan pesawat MH370 terputus dekat ruang udara negara itu tetapi pesawat tersebut masih belum dapat dikesan lebih 19 jam selepas ia hilang.

Menurut MAS, ketika kejadian, penerbangan tersebut tidak menghantar sebarang isyarat kecemasan atau terdapat petanda ia sedang mengalami masalah. 

"Pesawat berkenaan terputus hubungan dekat ruang udara wilayah Ca Mau ketika ia bersedia untuk menghubungi menara kawalan Bandar Raya Ho Chi Minh," kata satu kenyataan yang disiarkan di laman web pemerintah Vietnam. 

Pesawat Hilang Pernah Kemalangan

KUALA LUMPUR - Hujung sebuah sayap Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang semalam pernah patah dalam satu insiden lebih setahun lalu. 

Kemalangan pada 9 Ogos 2012 itu berlaku ketika pesawat berkenaan berada di sebuah landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong dekat bandar raya Shanghai, China. 

Ketika kejadian tersebut, hujung sayap pesawat itu berlanggar dengan ekor pesawat jenis Airbus A340 milik syarikat penerbangan China Eastern Airlines. 

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden melibatkan pesawat berusia 11 tahun tersebut. - AP

Boeing 777 Pesawat Paling Selamat

LONDON - Pakar-pakar penerbangan melahirkan perasaan terkejut mengenai kehilangan pesawat penumpang Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS), lapor The Guardian semalam. 

Ia ekoran pesawat berkenaan memiliki rekod keselamatan yang hampir sempurna. 

Perunding keselamatan aviasi yang juga anggota Jawatankuasa Penasihat Keselamatan Penerbangan Awam India, Mohan Ranganathan berkata "amat jarang" untuk sebuah pesawat hilang hubungan komunikasi sepenuhnya tanpa sebarang masalah. 

"Boeing 777 adalah sebuah pesawat amat selamat, saya terkejut," katanya. 

Menurut Mohan, pesawat itu terbang setinggi 10,700 meter dengan data dalam penerbangan menunjukkan ia kehilangan alitud dengan cepat dan berubah haluan. 

Seorang lagi pakar penerbangan, Neil Hansford yang merupakan pengerusi firma perundingan Strategic Aviation Solution berkata: "Boeing 777 memiliki rekod keselamatan antara yang terbaik dalam sejarah." 

"Lebih 1,000 buah pesawat itu telah dibina manakala cuma 60 insiden telah direkodkan dengan kebanyakannya adalah kemalangan kecil," kata Hansford.

 photo boeing777-200_zpsfb452e2d.jpg


Info Pesawat Boeing 777-200


  • Dianggap sebagai 'pemaisuri di langit' apabila diperkenalkan pada tahun 1994.
  • Berbadan lebar, berjulat jauh dan berenjin kembar. Dibina oleh Boeing Commercial Airplanes dari Amerika Syarikat. 
  • Mampu menerbangkan 305 hingga 440 penumpang dan berjulat sehingga 9,700 kilometer (5,240 baru nautika). 
  • Enjin mendapat pengiktirafan ETOPS-180.
  • Enjin yang digunakan adalah Pratt & Whitney 4077, Rolls-Royce Trent 877 dan General Electric GE90-77B
  • Kargo pesawat boleh mengisi sebanyak 151 meter padu termasuk enam palet maksimum, 14 LD-3 kontena dan tambahan 17 meter padu kargo besar.
  • Mempunyai 6 tayar pada setiap gear pendaratan utama.
  • Rentang sayap adalah 60.9 meter, panjang keseluruhan 63.7 meter, lebar ekor 18.5 meter, lebar kabin dalaman 5.86 meter dan diameter 6.19 meter.
  • Kapasiti minyak maksimum adalah 117,340 liter dan kelajuan pada ketinggian 35,000 kaki adalah 0.84 Mach.


Sumber : Kosmo! Ahad Edisi 9 Mac 2014 bersamaan 7 Jamadilawal 1435H 






No comments: