Hajat Makbul

SEPANG: Hajat Mariam Johari, 86, untuk kembali ke tanah air selepas 61 tahun meninggalkannya termakbul malam tadi dan kini, ahli keluarganya berusaha memenuhi 11 permintaan wanita itu termasuk keinginan menikmati dua makanan kegemarannya iaitu durian dan mangga.

Mariam turut mengemukakan permintaan untuk mengunjungi tempat dia mencari kepah di kampung kelahirannya di Plentong, Johor Bahru, selain mahu cuba menoreh getah dan menziarahi pusara ahli keluarganya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Permintaan wanita berkenaan sepanjang berada di negara ini selama sembilan hari dimaklumkan seorang ahli keluarganya kepada Harian Metro ketika menunggu ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Mariam tiba di KLIA tepat jam 11.45 malam dengan pesawat Korean Air bersama anak tirinya, Ji Yong Un, 56; isteri Ji, Shin Sook Hyun, 56; anak mereka, Ji Dong Uk, serta dua wakil Korean Broadcasting System (KBS).

Turut menyambut kepulangan Mariam di Balai Ketibaan KLIA ialah anak sulungnya, Ramlah Sonni, 72; anak lelakinya, Jelani, 70, anak kepada Ramlah, Ahmad Onn, 41, dan seorang cucu lelaki Ramlah berusia 10 tahun.



Bagaimanapun, Harian Metro difahamkan, kepulangan Mariam ke negara tumpah darahnya mengalami sedikit masalah menyebabkan wanita itu terpaksa melalui proses di kaunter imigresen yang agak lama.

Difahamkan semua tetamu dari Korea Selatan itu bermalam di sebuah hotel di Putrajaya sebelum bertolak ke kampung halaman Mariam di Kampung Sungai Tengkorak, Plentong, Johor.

Sementara itu, Ahmad berkata semua penduduk kampung di Plentong sudah membuat persiapan menyambut kepulangan Mariam termasuk mengadakan kenduri kesyukuran.

“Kami bersyukur, doa kami supaya nenek (Mariam) kembali ke Malaysia dimakbulkan Allah.

“Malah, hajat nenek bertemu anaknya, Jamnah akan tercapai,” katanya sambil menahan sebak.



Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae terkandas di Korea sejak 61 tahun lalu selepas mengikut seorang lelaki Korea ke negaranya untuk berjumpa ibu bapa lelaki itu bagi meminta restu hubungan mereka.

Namun sejak memasuki negara itu pada 10 Mei 1946 iaitu kira-kira sembilan bulan selepas tamat Perang Dunia Kedua, janji itu gagal ditepati, menyebabkan Mariam terkandas kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Pada 18 Julai lalu iaitu selepas 64 tahun terpisah dengan keluarganya, Mariam akhirnya dipertemukan dengan keluarganya, termasuk dua anaknya iaitu Ramlah dan Jelani dalam pertemuan menyentuh perasaan di Studio KBS menerusi rakaman program `The Way Home’ untuk rancangan `Love In Asia’.

Cerita Yang Dulu; 'Bawa Ibu Pulang' & Air Mata Di Korea








No comments: