Melissa Saila Tak Hilang

KELIBATNYA di layar lebar, kaca televisyen, akhbar mahu pun majalah mungkin tidak sekerap beberapa artis wanita lain sejak akhir-akhir ini. Tetapi, itu tidak bermakna Melissa Saila memencilkan dirinya daripada dunia seni hiburan tanah air kerana wanita berusia 35 tahun ini sebenarnya masih aktif.

Cuma, cabang seni yang menyaksikan pembabitannya kini bukan semata-mata tertumpu kepada projek komersial. Malah akui pelakon ini, dia sudah pun melepasi peringkat berkenaan. Siapa yang tidak ingat wajah manisnya dalam drama bersiri PJ lebih dua dekad lalu serta komedi popular Cili Padi?

Dia juga muncul dalam beberapa judul filem Melayu seperti Ranjau Sepanjang Jalan (1983), Perempuan (1988), Penghujung Malam (1992), Fantasi (1994), Layar Lara (1997) dan Mimpi Moon (2000). Melissa turut muncul dalam filem Puteri Gunung Ledang pada 2004, dengan memegang watak pengasuh Raja Ahmad.

Bagaimanapun keadaan sudah berubah buat wanita ini. Dia kini sudah berkeluarga dan punya dua cahaya mata. Justeru, keluarga dan karier seninya harus diseimbangkan, biarpun dia mengaku, semestinya tumpuan lebih banyak diberikan kepada hal ehwal rumah tangga.

"Sekarang, saya melihat diri saya sebagai seorang karyawan, bukan pelakon semata-mata. Saya juga masih lagi bergerak cergas dalam bidang seni. Ia bagaikan sudah berdarah daging dalam hidup saya. Saya tidak dapat dipisahkan dengan darah seni yang mengalir dalam diri. Kerana itu, saya seboleh-bolehnya mahu mengimbangi antara tugas terhadap keluarga dan seni.



"Lagipun, sedari kecil saya sudah terbabit dalam lakonan. Lalu, saya tidak fikir banyak masalah timbul dalam bab membahagikan waktu antara kedua-duanya. Ada kala saya sibuk dengan kerja seni, ada masanya agak tenang. Apatah lagi kini saya bukannya aktif lagi berlakon drama seperti dulu. Sekarang saya sudah ada keluarga, jadi rasanya saya sudah melepasi peringkat itu." kata Melissa, ibu kepada Noor, 2 tahun 8 bulan dan Zain, 14 bulan.

Menurutnya, kini tiba masa untuk dia melihat hasil kerjanya sendiri seperti filem pendek dan teater. Lebih banyak kerja yang dilakukannya kini bukan bersifat komersial, sebaliknya projek yang memberikannya ruang untuk bersuara menerusi karya yang dibintangi, ditulis mahu pun diarahkannya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Tidak ramai yang tahu, tetapi Melissa pernah mengarahkan filem pendek berjudul Kongsi Malam Gelap, yang dihasilkannya tahun ini untuk penyertaan dalam sebuah pertandingan anjuran sebuah jenama kereta terkemuka. Pada 1998 dia menghasilkan sebuah lagi filem pendek, Putao vs Bakpao yang terpilih untuk ditayangkan pada Festival Filem Antarabangsa Singapura 1999.

Bersama suaminya, Megat Fauzi, dia memberitahu, masih ada beberapa judul lagi yang ingin mereka terbitkan, demi mencari kepuasan dalam berkarya.

Pakej Web Jualan

"Pulangan lumayan bagi saya ketika ini mungkin bukan lagi tumpuan utama. Hakikatnya, saya mahu apa yang ingin saya perkatakan dapat dilaksana menerusi karya yang diterbitkan," ujar wanita ini yang turut melahirkan impian untuk melihat industri filem pendek negara ini dapat berkembang pesat suatu masa nanti.

Ditanya tidakkah dia teringin untuk beralih ke pengarahan filem cereka pula, Melissa berkata, sudah tentu dia bersedia untuk berbuat demikian sekiranya ada kalangan produser yang sudi mendengar apa yang dia mahu perkatakan.

"Pada ketika yang sama, saya risau juga seandainya peluang sebegitu menyebabkan diri saya terkongkong. Daripada produser mengongkong kerja kita, baiklah saya lupakan saja. Maklumlah, sebagai pengarah baru, tentunya mereka tidak menaruh keyakinan tinggi terhadap keupayaan kita. Saya pula jenis pengarah yang tidak suka menghasilkan sesuatu yang sama dengan produk sedia ada, bimbang nanti tidak ada identitinya," kata Melissa.



Pegang Watak Isteri P. Ramlee

APABILA pihak Enfiniti Productions mengumumkan barisan pelakon yang bakal menjayakan teater muzikal kedua terbitan mereka, Remy... Kisah P Ramlee baru-baru ini, nama Melissa disenaraikan sebagai pemegang watak Junaidah. Begitupun, tidak lama selepas itu, watak Junaidah diberikan pula kepada Atilia, manakala Melissa kini akan berlakon sebagai isteri kedua Tan Sri P Ramlee, Norizan.

"Pada awal dulu, memanglah saya sudah membayangkan bagaimana saya membawakan watak Junaidah. Selama dua minggu juga rasanya saya sempat ‘menjadi’ Junaidah. Sekarang, kenalah saya ubah diri saya kepada watak Norizan pula. Begitupun, saya tidak mahu membayangkan dulu perwatakan itu.

"Apa yang ingin saya lakukan ialah hadir dulu pada sesi latihan dan daripada situ, saya dan pengarah mungkin dapat bekerjasama dalam membentuk watak wanita berkenaan. Biarlah saya mendapat mood untuk melakonkan watak itu sewaktu latihan. Lebih mudah rasanya jika saya mengambil pendekatan demikian," katanya.

Remy bukanlah teater muzikal pertama lakonannya kerana sebelum ini, pelakon ini pernah membintangi Bangsawan Tengku Anum, juga di Istana Budaya.

"Namun begitu, inilah teater muzikal penuh yang pertama saya pernah berlakon. Dan saya mengaku agak gentar untuk beraksi dalam pementasan ini. Apatah lagi saya perlu menyanyi dua lagu gubahan baru untuk teater ini. Saya pula sudah tidak menyanyi selama 13 tahun. Album terakhir saya diterbitkan pada 1994. Selepas itu, saya berhenti menyanyi," cerita Melissa.



Mendedahkan bagaimana dia boleh terbabit dalam projek berkenaan, pada awalnya dia menemui pengarah teater terbabit untuk membincangkan mengenai khidmatnya yang mungkin dapat digunakan di sebalik tabir. Lain pula jadinya apabila dia diberikan tawaran sebagai seorang daripada pelakon yang akan muncul di pentas utama, bukan sebagai pekerja.

"Itulah rezeki berlakon namanya dan itulah juga kebaikannya apabila seseorang anak seni bersifat fleksibel. Kita perlu dilengkapi kemahiran untuk berada di depan mahu pun di belakang tabir, supaya perjalanan karier kita lebih bermakna. Saya sendiri amat senang dengan fleksibiliti seperti itu. Ia nyata memudahkan kerjaya kita dalam bidang ini," katanya.

Sebagai Norizan, Melissa akui wataknya agak kuat memandangkan Norizan pernah hidup di istana sebagai isteri raja. Wanita itu dilihatnya penuh dengan disiplin dan dia juga wanita yang berada di belakang P Ramlee sewaktu tokoh seni itu berada di puncak.

"Babak yang membabitkan Norizan memang menarik. Lalu, saya menganggapnya sebagai rezeki yang tidak harus ditolak apabila pihak Enfiniti memberikan saya watak ini. Saya berharap, peranan itu dapat saya tunaikan dengan sebaik mungkin. Ia karakter yang kuat. Skrip Remy yang bagus juga sebenarnya pendorong untuk saya mencuba teater muzikal ini," sambung anak saudara kepada bintang legenda terbabit.

Remy... Kisah P Ramlee akan dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya pada 19 Oktober sehingga 3 November. Selain Melissa, ia juga mengetengahkan barisan penyanyi popular seperti Datuk Siti Nurhaliza, Sean Ghazi, Liza Hanim, Atilia dan kumpulan Infinatez.



Profil Melissa Saila

Nama: Melissa Mohd Alias

Tarikh Lahir: 3 April 1972

Tempat Lahir: Bangsar, Kuala Lumpur

Ibu: Mariani

Filem: Ranjau Sepanjang Jalan, Perempuan, Penghujung Malam, Bayangan Cinta, Fantasi, Layar Lara, Mimpi Moon, Puteri Gunung Ledang.

Teater: Bangsawan Tengku Anum, Importance of Being Earnest, Visits, 7 Ten, Saksi, Si Pemakan Hati, Dejavu, Anugerah, Mencari Juita, Akulah Perempuan Itu, Madu II.





No comments: