Anak Zina Berhak Terima Pusaka Ibu

Kemusykilan;

JIKA seorang lelaki dan wanita berzina, kemudian wanita itu mengandung dan mereka berkahwin, adakah sah nikah mereka ketika wanita itu mengandung anak zina? Adakah bayi itu menjadi anak susuan jika ibu menyusukannya dengan cukup syarat? Kemudian pasangan itu mendapat beberapa orang anak lagi, apakah mereka anak sah? Bagaimana hukum penamaan anak, pewarisan harta kepada semua anak itu.

Pakej Web Jualan

Jawapan;

Sebelum menjawab persoalan, wajar jika dijelaskan terlebih dulu maksud anak tak sah taraf. Menurut Islam, anak tak sah taraf adalah anak yang lahir daripada hasil persetubuhan sebelum pernikahan dan bukan anak daripada persetubuhan salah sangka (wati’ syubhah).

Peruntukkan berkaitan anak tak sah taraf ini ada dalam undang-undang, contohnya Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 di bawah Seksyen 110 yang menetapkan: “Jika seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan itu atau dalam tempoh empat tahun qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh dengan cara lisan atau kutukan menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah.”

Perzinaan adalah antara dosa besar yang dijanjikan Allah dengan balasan azab seksa pada hari kiamat melainkan bagi mereka yang benar-benar bertaubat.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain daripada Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan jalan yang hak, dan tidak berzina; dan sesiapa yang melakukannya akan mendapat balasan dosanya; akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan; kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal baik maka orang itu akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (Surah Al-Fuqan, ayat 68-70)

Oleh demikian, mereka yang melakukan zina adalah tidak layak mendapat nikmat nasab hasil daripada perzinaan yang dilakukan kerana Islam tidak memperakui perbuatan zina yang diharamkan.



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Anak yang lahir daripada hamparan (yang sah) berhak disabitkan nasab keturunan dan penzina berhak dilontar batu.”

Justeru, anak yang terhasil daripada perhubungan sebelum nikah adalah tergolong dalam anak yang tidak sah taraf walaupun ibu anak itu berkahwin dengan bapa anak itu dan anak berkenaan tidak boleh dibin atau dibinti dengan bapanya.

Nafkah bagi anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ibu kepada anak itu. Begitu juga dengan nasab keturunan bagi anak tak sah taraf adalah di sebelah ibu. Hak penjagaan anak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.

Ini juga sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 80 Akta Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 yang memperuntukkan Kewajipan menanggung nafkah anak-anak tak sah taraf, “Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah anaknya yang tak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, mahkamah boleh apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.”

Dan selanjutnya dalam peruntukkan Seksyen 85, akta yang sama memperuntukkan mengenai penjagaan anak tidak sah taraf adalah kepada ibu dan saudara mara ibu seperti berikut, “Penjagaan anak tidak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu .”



Oleh demikian, isu berkaitan dengan anak susuan tidak wujud kerana anak tak sah taraf sememangnya nasab keturunan hanya di sebelah ibu. Anak tadi berhak kepada harta pusaka ibunya.

Justeru, amatlah dituntut supaya kita menjauhkan zina kerana ia akan membawa keruntuhan institusi kekeluargaan Islam sebagaimana ayat Al-Quran yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya perzinaan itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang jelek.”


Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Marlina Amir Hamzah. Sebarang soalan atau komentar sila kemukakan ke exco_pgsm@yahoo.com







No comments: