Kahwin 13 Kali, Tunang 10 Kali

KUALA LUMPUR: Kecewa apabila pertunangannya kali pertama diputuskan, seorang lelaki nekad membalas dendam terhadap wanita.

Berbekalkan ilmu hitam yang diamalkannya, dia sudah berkahwin 13 kali dan bertunang 10 kali. Malah, lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri, 48, turut menjadikan pertunangannya sebagai cara mudah untuk mendapatkan wang.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Mengikut adat kita, setiap pertunangan ada perjanjian. Jika lelaki minta putus, hanya perlu pulangkan cincin dan wang yang diberi, tetapi jika wanita yang minta putus, pihak wanita perlu mengembalikannya dengan jumlah sekali ganda.

“Daripada perjanjian itu, saya mendapat untung ‘atas angin’. Saya bertunang dan menggunakan ilmu yang ada supaya tunang membenci saya dan akhirnya memutuskan hubungan,” katanya.

Zamri berkata, biasanya ketika majlis pertunangan, dia memberi wang RM500 dan sebentuk cincin emas. Apabila pertunangan diputuskan pihak wanita, dia mendapat semula dua cincin emas dan RM1,000.



“Jika mendapat pasangan yang ‘melangkah bendul’ saya dapat untung dua kali ganda kerana si kakak turut membayar ganti rugi,” katanya.

Zamri berkata, dengan menggunakan taktik kotor itu dalam tempoh tidak sampai dua tahun, dia bertunang 10 kali dan mampu hidup senang.

“Bukan sukar mencari cincin dan wang pertunangan. Saya hanya menggunakan cincin dan wang daripada tunang terdahulu,” katanya.

Zamri berkata, dia mula mempermainkan wanita selepas ditipu seorang wanita yang juga tunangnya, kira-kira 30 tahun lalu.

“Ketika berusia 18 tahun, saya hampir berkahwin dengan tunang yang dipilih atas dasar suka sama suka.



“Bagaimanapun, tiga hari sebelum majlis perkahwinan kami, dia melarikan diri untuk berkahwin dengan orang lain. Ketika itu saya dan keluarga menanggung malu,” katanya.

Zamri berkata, kerana terlampau malu, dia melarikan diri dari kampung dan mula mempelajari pelbagai ‘ilmu songsang’, terutama ilmu menundukkan wanita semata-mata mahu membalas dendam.

Katanya, selepas puas bertunang dan mendapat duit dengan cara mudah, dia mencuba pula alam perkahwinan yang membawa kepada episod semua 13 isteri yang dikahwininya diceraikan.

Dia berkata, semua perkahwinan itu mengikut saluran betul dan disempurnakan di negara ini.

“Perkahwinan kali ketujuh yang paling lama bertahan iaitu 22 tahun, tetapi kami tiada zuriat. Saya hanya mendapat zuriat hasil perkahwinan pertama yang bertahan hanya dua tahun,” katanya.



Zamri berkata, sepanjang 13 kali berkahwin, tempoh perkahwinan paling pendek pernah dilaluinya adalah dua bulan 21 hari.

“Saya juga pernah berkahwin tiga kali dalam tempoh setahun dan tiga isteri itu duduk sebumbung dengan saya selepas menggunakan ilmu dimiliki,” katanya.

Ditanya apa menyebabkan dia menceraikan semua isterinya, Zamri memberitahu: “Semua melanggar syarat yang saya tetapkan.”

Katanya, ketika berkahwin dia mengaku menjalin hubungan dengan wanita lain dan pelbagai ‘bahan bukti’ perbuatannya tersimpan di dalam dompet dan diarinya.

“Makan, minum, pakaian dan segala kehendak isteri saya penuhi. Bagaimanapun, saya meletakkan syarat jangan buka dompet dan diari saya.



“Saya juga tidak mahu isteri banyak bercakap atau istilah mudahnya ‘membebel’. Semua isteri saya melanggar syarat itu, menyebabkan saya menceraikan mereka,” katanya.

Zamri berkata, selepas sekian lama melakukan ‘kerja gila’ itu, kini dia mengakui ‘letih’ dengan perbuatannya.

“Saya mula sedar, sampai bila saya mampu berkahwin dan kemudian bercerai. Justeru, saya menyimpan hasrat untuk menamatkan ‘kerja gila’ itu.

“Saya mahu menjalani kehidupan berumahtangga seperti orang lain. Saya mahu berkahwin buat kali terakhir dan berharap ia kekal hingga ke akhir hayat,” katanya.

Yang Lagi Hebat; "30 Orang Isteri Saya!" - Pok Jeng









No comments: