W200i Siri Walkman

KEJAYAAN telefon selular Sony Ericsson, model Walkman mendorong Sony Ericsson menghasilkan pelbagai model berkenaan yang disasarkan kepada segmen pasaran tertentu. Terbaru, Sony Ericsson menghasilkan Walkman W200i, model yang dihasilkan berasaskan populariti telefon selular siri Walkman. Bagi penggemar muzik yang tidak mahu ketinggalan menikmati lagu kegemaran mereka pada bila-bila masa serta di mana saja, dan pada waktu yang sama masih perlu berhubung, W200i mungkin dapat memberikan pengalaman baru dan menarik kepada mereka.

Model ini disasarkan pada segmen tahap permulaan, golongan muda yang meminati muzik dan pada masa sama tidak mahu ketinggalan untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya atau menghubungi keluarga.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

W200i memiliki ciri standard yang ada ialah 1,000 nama bagi buku alamat nombor telefon, kemudahan pesanan menerusi pesanan ringkas (SMS), pesanan multimedia (MMS) dan mel elektronik. Ia menggunakan kamera VGA tetapi dengan kelebihan 4x zoom, walaupun tidak sebaik telefon selular yang memiliki kamera dua mega piksel namun foto yang dihasilkan masih boleh diterima kualitinya.

Seperti ciri yang ada pada mana-mana telefon Walkman keluaran Sony Ericsson, pada peringkat menghidupkan telefon, pengguna akan diberikan pilihan sama ada untuk memanfaatkan telefon bersama fungsi Walkman (hiburan) atau Walkman saja.

Fungsi ini penting kerana, katakan pengguna telefon menaiki kapal terbang, mereka tidak boleh menggunakan telefon (mengikut peraturan antarabangsa, penggunaan telefon selular dilarang sama sekali), pengguna masih boleh memanfaatkan telefon selular mereka untuk mendengar lagu kegemaran yang disimpan di dalam telefon berkenaan.



Perisian MusicDJ, yang dipasang di dalam telefon berkenaan boleh membantu pengguna untuk menghasilkan irama yang boleh digunakan sebagai nada dering. Apabila bosan mendengar lagu, mereka boleh mencuba kecekapan permainan, QuadraPop dan Treasure Towers.

Bosan mendengar lagu atau menghasilkan nada dering, mereka boleh menggunakan radio FM yang ada di telefon terbabit. Ia boleh menyimpan senarai 20 stesen radio dan radio FM berkenaan boleh dimanfaatkan sebagai jam loceng untuk mengejutkan pengguna bangun tidur di awal pagi.

Model W200 tersedia dalam dua warna iaitu Rhythm Black dan Pulse White juga memiliki ruang simpanan data bersaiz 27MB dan ia boleh ditingkatkan kepada 128MB menerusi kad Memory Stick Micro. Ia turut dilengkapi kemampuan GPRS dan browser web untuk melayari laman web.

Model ini boleh digunakan untuk menyalurkan data dari telefon selular kepada komputer peribadi, menggunakan kabel USB, namun ketiadaan Bluetooth memerlukan pengguna memanfaatkan infra merah atau kabel.

Kekurangan seperti ketiadaan sambungan Bluetooth serta ruang simpanan data yang sedikit tidak mencukupi untuk menyimpan banyak lagu, tidak menghalang kepada pengguna yang sedang tercari-cari telefon selular yang memiliki ciri yang standard bagi telefon selular, ditambah dengan fungsi hiburan pada harga berpatutan.





Spesifikasi Walkman W200i

Kamera: VGA kamera

Paparan: 1.8 in skrin TFT bersama 65,000 warna (128 x 160 piksel)

Sistem Pesanan: MMS, SMS dan e-mel

Sambungan: GPRS, infra-merah

Ingatan telefon: 27MB

Ruang pengembangan: Memory Stick Micro (M2)

Masa bercakap/masa menunggu: 7 jam/360 jam

Ciri dan fungsi: radio FM, pemain MP3 dan aplikasi Java

Berat: 85 gram

Harga: RM699

Pengeluar: Sony Ericsson







No comments: