KL Tenggelam - Ribuan Terkandas

KUALA LUMPUR: Ribuan warga kota kelam-kabut dan terperangkap apabila banjir kilat sekali lagi melanda ibu kota selepas hujan lebat hampir empat jam, lewat petang semalam.

Banyak jalan utama dinaiki air hingga satu meter hingga mengakibatkan ratusan kereta tersadai, manakala 220 penduduk daripada 59 keluarga di Kampung Baru terpaksa dipindahkan kerana rumah mereka ditenggelami air.

Ini banjir kilat ketiga dalam tempoh sembilan hari. Kali pertama berlaku pada Sabtu minggu lalu, diikuti Ahad dan semalam. Ia berikutan perubahan monsun yang menyebabkan hujan dan ribut petir melanda beberapa negeri di pantai barat Semenanjung, terutama Lembah Klang pada lewat petang.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Hujan lebat diikuti angin kencang itu turut menyebabkan banyak pokok tumbang, malah tiga beranak terperangkap di bawahnya di Kelab Diraja Selangor, Jalan Raja.

Tinjauan mendapati ada warga kota terpaksa membatalkan rancangan malam tadi kerana kejadian tidak disangka itu.



Ada juga memberanikan diri meredah banjir untuk ke destinasi tertentu.

Dalam kejadian di Kelab Diraja Selangor, Kamala Devi, 46, anak perempuannya S Thanaletchumi, 20, dan adik lelakinya yang berusia lima tahun terperangkap di celah dahan hampir setengah jam sebelum diselamatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah.

Kamala patah kaki, manakala kedua-dua anaknya hanya cedera ringan.

Empat lagi cedera ringan apabila terkena serpihan cermin sebuah restoran makanan segera yang pecah akibat rempuhan air apabila sebuah bas ekspres meredah banjir di Jalan Tun Perak.

Bagaimanapun, keadaan lalu lintas di beberapa jalan yang dinaiki air di sekitar bandar raya terkawal walaupun pergerakan perlahan kerana jalan berkenaan masih ditakungi air.

Jurucakap polis berkata, hingga jam 12 tengah malam tadi, jalan raya terutama di Jalan Ampang dan Jalan Parlimen masih digenangi air.



Keadaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di jalan terbabit serta beberapa jalan lain di ibu kota.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, berkata kawasan yang dilanda banjir kilat ialah sekitar Masjid Jamek, Jalan Masjid India, Kampung Baru, Kampung Chubadak, Sentul dan Kampung Pandan serta Dataran Merdeka.

Antara jalan yang dinaiki air pula Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Raja, Jalan Parlimen dan Jalan Kampung Pandan.

Banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur Ahad minggu lalu turut menyebabkan tanah runtuh di Jalan Duta dan beberapa hari lalu di Setapak yang memusnahkan empat rumah membabitkan 22 keluarga.

Walaupun banyak yang keliru dengan kejadian banjir terbabit selepas Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (Smart) siap dan dibuka kepada umum pada 14 Mei lalu, tetapi Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Keizrul Abdullah, berkata banjir itu tidak dapat dielakkan berikutan terowong Smart masih belum beroperasi sepenuhnya.



Beliau berkata, ramai yang beranggapan selepas Smart siap, Kuala Lumpur tidak akan banjir lagi.

“Ini kesilapan kami kerana tidak memaklumkan keadaan sebenar kerana fungsinya sebagai terowong pencegahan banjir belum lagi beroperasi, hanya pada Julai ini baru dibuka,” katanya.

Keizrul juga menjelaskan projek Smart tidak menyelesaikan masalah banjir bagi seluruh Kuala Lumpur sebaliknya hanya dapat mengatasi masalah banjir di pusat bandar dan sepanjang Sungai Klang dari Ampang.





KL Tenggelam - Terburuk Sejak 2003


KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda ibu kota semalam adalah yang terburuk selepas bencana sama pada 2003 apabila lebih 30 kawasan termasuk pusat bandar raya ditenggelami air.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata hujan lebat yang melepasi tahap maksimum berbanding jumlah biasa mengakibatkan air sungai naik begitu cepat.

“Jumlah hujan dicatatkan adalah 720 milimeter (mm) melepasi tahap maksimum berbanding jumlah biasa antara 500 mm dan 550 mm.

“Dalam tempoh sejam pertama, jumlah hujan dicatatkan 500 mm, namun ia meningkat secara mendadak sejam kemudian hingga mencapai 720 mm,” katanya ketika ditemui sewaktu meninjau keadaan banjir di Dataran Merdeka, malam tadi.

Katanya, hujan terlalu lebat mengakibatkan sistem perparitan dan sungai sekitar bandar raya tidak dapat menampung aliran air berlebihan.



Banjir turut mengakibatkan laluan lalu lintas di sekitar ibu kota lumpuh apabila beberapa laluan utama ditenggelami hampir dua meter dan menyebabkan berpuluh kenderaan terperangkap.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Wilayah Persekutuan, Sharul Kamar ketika dihubungi berkata, sehingga jam 2 pagi tadi seramai 59 keluarga membabitkan 220 orang di Kampung Baru terpaksa dipindahkan ke Dewan Sultan Sulaiman.










No comments: