Ina Dah Ada Pengganti

KUALA LUMPUR: “Walaupun pernah putus tunang, tak bermakna saya takut menerima kehadiran lelaki lain dalam hidup saya,” kata Nor Diana Mohd Naim, 23, atau Ina ketika memberi komen mengenai pertunangannya dengan bekas anggota kumpulan nasyid popular In-Team, Mohd Suhaimi Saad, 27.

Bekas tunang kepada Penyanyi Paling Popular Asmawi Ani atau Mawi itu sewaktu dihubungi mengakui majlis pertunangannya selamat dijalankan pada Rabu lalu di rumah ibu bapanya di Kampung Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.

Berita pertunangan ini pastinya mengejutkan peminat Ina mahupun Mawi sendiri kerana penyanyi yang popular dengan lagu ‘Duhai Hati’ itu bertemu pengganti dalam tempoh tidak sampai setahun.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Bukankah saya sendiri sering dikaitkan dengan pelbagai kejutan,” ujarnya cuba bergurau di samping menegaskan apa yang berlaku antara dia dan Suhaimi sudah ditakdirkan.

“Sebelum ini, selepas putus tunang saya tak pernah menetapkan akan menolak kehadiran mana-mana lelaki dalam hati saya. Sebaliknya, saya pernah menegaskan jodoh dan ajal ditentukan Tuhan. Saya terima apa saja yang datang, cuma sama ada ia cepat ataupun lambat,” katanya.



Bercerita lanjut mengenai tunangnya itu, kata Ina, dia mengenali Suhaimi sebelum mengikat kontrak sebagai penyanyi di syarikat rakaman Hijjaz Records.

“Saya banyak mengikuti perkembangannya menerusi majalah dan mendengar nyanyian kumpulan yang dianggotainya, In-Team di radio. Kebetulan apabila menjadi artis Hijjaz Records kami berada satu bumbung. Apabila bertemu kami seperti sudah lama kenal dan punya keserasian,” katanya

Sementara itu, Suhaimi yang kini tampil solo dengan album Kias Cinta sewaktu dihubungi berkata, status Ina yang pernah menjadi tunangan Mawi bukan satu masalah dan halangan.

“Apa yang berlaku antara saya dan Ina bukan dirancang. Sewaktu pertama kali bertemu di syarikat rakaman Hijjaz Records pun saya hanya anggap Ina seperti adik saya tapi ini yang dikatakan jodoh.

“Saya menerima Ina dan yakin mahu menyuntingnya menjadi suri hidup saya kerana dia nampak benar-benar ikhlas dengan hubungan ini,” katanya.



Apabila ditanya bagaimana dia meyakinkan Ina untuk bertunang dengannya, Suhaimi berkata dia percaya kepada keikhlasan kedua-dua pihak.

“Susah sebenarnya untuk saya menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara ini kerana kami baru saja mengikat tali pertunangan. Ia belum menjanjikan apa-apa yang kukuh, sedangkan ada pasangan berkahwin, bercerai.

“Sebagai hamba-Nya, apa yang boleh saya lakukan adalah berdoa supaya hubungan ini berlangsung seperti dirancang dan itu juga yang saya pinta daripada peminat di luar. Doakan perkara baik buat kami,” katanya lagi.

Ditanya lanjut mengenai majlis pertunangan dijalankan, kedua-dua pasangan ini tidak mahu memberi komen, sebaliknya menjelaskan satu sidang akhbar khas mengenainya akan dilakukan demi janji mereka kepada peminat yang tidak akan merahsiakan sebarang perkara berkaitan pertunangan mahupun perkahwinan.














No comments: