Silver Surfer Bangkitkan Mood Fantastic 4

SEJAK kemunculannya buat pertama kali dalam buku komik Fantastic Four nombor 48 pada tahun 1966, Silver Surfer dilihat meluncur di sekeliling ruang cakerawala Marvel di atas papan luncur berkuasa kosmik. Dan, buat pertama kali juga dia dihidupkan di layar lebar menerusi episod kedua versi filem Fantastic Four, yang turut menggunakan namanya sebagai judul.

Boleh dikatakan, kehadiran Silver Surfer menghebatkan lagi filem kedua kumpulan empat wira beruniform biru ini. Bahkan, mood dan suasana menjadi lebih tertekan setiap kali kelibatnya kelihatan. Kecanggihan teknologi perkomputeran benar-benar menjelmakan watak Silver Surfer dengan baik dan meyakinkan.

Biarpun kelihatan seperti sekadar refleksi berwarna perak, tetapi watak ini sebenarnya lebih daripada objek berkilau semata-mata. Pergerakannya disokong otot-otot yang turut kelihatan, manakala ekspresi di wajahnya juga diperlihatkan. Terima kasih kepada Doug Jones yang meminjamkan aksinya untuk dilukis oleh pakar kesan khas serta suara bintang Matrix, Laurence Fishburne yang memberikan suara kepada watak istimewa ini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Kehebatan imejan grafik komputer (CGI) memang menjadi taruhan besar ke atas keberkesanan filem aksi komedi ini. Babak kejar mengejar antara Human Torch (Chris Evans) dan Silver Surfer, adegan akhir ketika Galactus cuba memusnahkan bumi serta pertarungan antara kumpulan Fantastic Four dengan Dr Doom (Julian McMahon) menjadi bukti kecemerlangan CGI terkini.

Sayang sekali, pada ketika kesan khas ke atas Silver Surfer, Human Torch dan Galactus dilihat cukup menghiburkan, Mr Fantastic (Ioan Gruffudd) pula kadang kala dilihat melucukan. Bukan saja kerana wataknya dijadikan sedikit kelakar, malah kesan khas yang digunakan ke atas watak ini macam murahan. Impak Mr Fantastic yang mempunyai keupayaan untuk melenturkan tubuh juga kurang meyakinkan dalam siri kali ini.



Jika watak The Thing (Michael Chiklis) mampu menjadi tarikan utama untuk kanak-kanak, kejelitaan Invisible Woman (Jessica Alba) pula boleh mencairkan kalangan penonton lelaki. Biarpun seteruk mana wanita ini bertarung, wajahnya tetap cantik dan berdandan rapi. Memang ajaib!

Secara keseluruhan, dirasakan Rise of the Silver Surfer lebih baik daripada episod pertama, walaupun kehadiran semula Dr Doom tidaklah banyak membantu. Apatah lagi McMahon bukan pelakon yang baik untuk membuatkan penonton membenci dirinya. Wajahnya langsung tidak menunjukkan apa-apa rasa.

Filem kedua ini juga mempunyai sedikit elemen cerita Hindustan. Bayangkan, pada satu babak, Invisible Woman bertanya pada Silver Surfer, mengapa makhluk asing yang mampu menyerap dan memanipulasi tenaga kosmik cakerawala ini tidak membunuhnya apabila berkesempatan. Jawab di peluncur perak itu, kerana wajah wanita berkenaan mengingatkan dirinya pada orang yang pernah disayangi. Apakah dalam siri akan datang, Invisible Woman dan Mr Fantastic akan menyanyi sambil berguling di tepi bukit?

Sedikit kelainannya filem ini apabila penulis Mark Frost dan John Turman memasukkan persoalan apakah superhero mampu membina keluarga bahagia sama dengan anggota masyarakat biasa? Seandainya topik itu diberikan lebih kupasan, mungkin elemen drama filem ini lebih meninggalkan kesan.





Sinposis


FILEM Fantastic Four: Rise of the Silver Surfer menyaksikan kepulangan Mr Fantastic, Invisible Woman, Human Torch dan The Thing untuk merungkai rahsia kewujudan makhluk misteri dipanggil Silver Surfer.

Ketika Reed dan Sue bersiap sedia untuk berkahwin, kemunculan Silver Surfer di serata pelusuk dunia sambil menimbulkan kekacauan, meresahkan masyarakat antarabangsa. Lalu, mereka dan dua lagi rakan, Johnny dan Ben harus menghentikan kemaraan makhluk itu yang membawa bersama-samanya bencana terbesar untuk dunia.

Ketika itu juga, musuh lama Fantastic Four, Dr Doom, kembali sekali lagi. Begitupun, kali ini Dr Doom menawarkan bantuannya untuk menangkap Silver Surfer.










No comments: