Impak Maksima Ahmad Idham

KETIKA peminat filem sedang sibuk memperkatakan mengenai filem aksi membabitkan sukan permotoran yang masih dalam pembikinan ,Evolusi KL Drift, dalam diam pengarah Ahmad Idham sudah pun menyiapkan filem yang mempunyai genre serupa berjudul Impak Maksima.

Biarpun mengetengahkan fenomena lumba kereta sebagai inti pati filem namun menurut Idham, Impak Maksima bukanlah sebuah filem yang bulat-bulat memaparkan aktiviti lasak itu.

“Secara keseluruhan, filem ini mengisahkan hubungan antara abang dan adik dan juga membongkar realiti kehidupan. Ia bukanlah semata-mata sebuah filem mengenai perlumbaan kereta seperti yang disangkakan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket GANDINGAN MANTAP: Barisan pelakon yang membintangi filem aksi Impak Maksima.


“Aksi lumba kereta seperti drift dan drag race yang saya selitkan dalam filem ini hanyalah sebagai aksesori saja untuk mencantikkan lagi filem ini,” jelas Idham ketika ditemui selepas majlis pelancaran filem dan juga album runut bunyi Impak Maksima di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, petang Selasa lalu.

Hadir sama barisan pelakon filem berkenaan, Awal Ashaari, Eizlan Yusof, Riezman Khuzaimi, Dynaz, Cat Farish, Yatt dan Sari Yanti.



Mengulas lanjut buah tangan terbarunya itu, Idham berkata apa yang membanggakannya adalah, sewaktu trailer filem ini diputarkan di pawagam, ramai penonton bukan Melayu bertanyakan filem itu.

“Sebaik saja menyaksikan trailer Impak Maksima, ramai yang mula bertanyakan apakah benar filem itu sebuah filem Melayu. Reaksi itu sedikit sebanyak menggembirakan saya kerana sekurang-kurangnya mereka tahu orang Melayu juga berkemampuan untuk menghasilkan filem sedemikian,” jelas Idham.

Ditanya apakah filem ini sehebat filem Fast and The Furious: Tokyo Drift dan Initial D yang juga mempamerkan kehebatan lumba kereta secara drift, Idham berkata kalau dia mempunyai bajet yang mencukupi tidak mustahil dia boleh menghasilkan filem setara dengan kedua filem terbabit.

“Tapi kalau nak dibandingkan antara filem ini dengan filem Initial D, saya rasa filem Impak Maksima lebih hebat. Ialah, Initial D hanya memaparkan aksi drift di trek perlumbaan manakala filem saya aksinya dilakukan di jalan raya. Itu lebih mengagumkan,” kata Idham sambil tertawa.

Walaupun sebagai penyeri untuk filem ini namun aksi drift yang ditunjukkan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Menurut Idham, setiap aksi itu dibuat dengan penuh berseni oleh mereka yang profesional.



“Biarpun bukan menjadi adegan utama namun kami cuba memastikan setiap aksi yang membabitkan aksi drift dibuat dengan penuh sempurna. Maka sebab itulah kami mengundang pemandu profesional tanah air yang juga drifter nombor satu negara dari Proton R3 dan juga seorang pelakon cina yang juga drifter profesional membintangi filem ini,” jelas pengarah yang mendapat jolokan seven million dollar man ini gara-gara filem Jangan Pandang Belakang arahannya mendapat kutipan RM7 juta.

Mengenai filem Evolusi KL Drift yang didakwa mempunyai persamaan dengan filem Impak Maksima, Idham berkata dia tidak pernah menganggap filem arahan anak Datuk Yusof Haslam, Mohd Shamsul itu sebagai satu persaingan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Ahmad Idham mendapat jolokan seven million dollar man.


“Saya tidak rasa filem itu memberi cabaran buat kami. Pertama, filem saya akan ditayangkan dulu dan keduanya dari segi jalan cerita sendiri sudah menunjukkan filem ini tidak ada persamaan.

“Lagipun, saya anggap kemunculan filem ini sebagai sesuatu yang positif. Contohnya, kalau orang sebut pasal filem Evolusi KL Drift, orang akan mengaitkannya dengan Impak Maksima dan begitulah sebaliknya.

“Sedikit sebanyak kemunculan filem itu menerbitkan rasa bangga juga dalam diri kerana sekurang-kurangnya idea saya untuk menghasilkan filem ini menjadi ikutan,” kata Idham mengenai filem yang menelan belanja RM2 juta ini.



Mengulas mengapa wajah pelakon Yatt tidak kelihatan di dalam poster sedangkan difahamkan, dia memegang watak utama dalam filem itu, Idham mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.

“Untuk pengetahuan anda semua, buat pertama kalinya saya tidak menggunakan watak heroin sebagai tarikan utama. Sebenarnya tidak ada watak heroin dalam filem ini. Walaupun ada dua pelakon wanita di dalamnya namun fokus filem ini adalah mengenai dua subjek adik beradik iaitu Eizlan dan Awal. Konflik dua beradik inilah yang menjadi nadi untuk menggerakkan filem ini,” ujar Idham menjelaskan kekeliruan yang timbul.

Untuk filem ini juga Excellent Pictures turut mengadakan kerjasama dengan Metrowealth Movies Production (MMP) sebagai pengedar seperti yang pernah mereka lakukan menerusi filem Tipah Tertipu, tahun lalu.





Sediakan album runut bunyi


TIDAK lengkap rasanya sebuah filem aksi jika tidak disertakan dengan album runut bunyi. Justeru, cadangan komposer Iman Wan untuk menerbitkan album runut bunyi sebagai satu cara untuk mempromosikan filem ini diterima Idham tanpa banyak soal.

“Idea ini tercetus apabila Iman Wan bertanyakan tidakkah saya teringin untuk menghasilkan sebuah album runut bunyi untuk filem kedua syarikat saya ini. Memikirkan filem ini adalah sebuah filem aksi maka tanpa banyak soal, saya terima tawaran itu.

“Paling menggembirakan saya apabila mendapat tahu album ini mendapat khidmat penyanyi hebat seperti Amy Search, The Fabulous Cats, Ahli Fiqir, Pop Shuvit. Siapa yang tidak mahu bekerjasama dengan mereka.

“Saya harap album ini mampu memberi impak kepada filem ini kerana kebanyakan lagu amat bersesuaian dengan konsep cerita ini,”ujar Idham.

Artis lain yang turut menyumbang suara mereka untuk album ini ialah Bhumiband, Hujan, Maximus, Urban Method, Dragon Red, Gunkz, The Chungcutters, Phanatrix dan Mix. Album ini turut menampilkan Pija meneryusi lagu Luka.

Album terbitan Warner Music ini bakal berada di pasaran, 31 Julai.








3 comments:

Anonymous said...

Filem ni memang best... masa tgk kat preview hari tu semua orang tepuk tangan.. layan dari mula sampai habis.. 23 hb ogos nih nak tgk lagi :D

Anonymous said...

cerita nih pasti best...

Unknown said...

Iyea! Btol tu. Aku pun rase nak p tgk gak nih! :D :D