Datin Seri Tiara Jacquelina Cabar Diri

BELUM pun bermula pementasan, teater muzikal produksi terbaru Enfiniti Productions Sdn Bhd (EPSB), My Name Is Remy... The Life, The Love & The Inspiration sudah mula mencuri tumpuan.

Sebaik saja membuat pengumuman beberapa minggu lalu, Penerbit Eksekutifnya, Datin Seri Tiara Jacquelina (gambar) tidak henti-henti mendapat panggilan telefon bertanyakan perihal teater itu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Ternyata, selepas kejayaan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) tahun lalu, peminat seni teater begitu yakin bahawa apa saja produk yang dipentaskan EPSB hasilnya pasti tidak akan mengecewakan. Dan apabila Tiara berhasrat untuk mengangkat kisah hidup Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, sokongan padu terus diberikan.

“Saya sendiri teruja apabila hasrat kami untuk mementaskan teater muzikal Allahyarham Tan Sri P Ramlee ini mendapat sokongan ramai. Apabila saya mengumumkan untuk mementaskan teater ini, ramai yang berminat untuk menyaksikannya. Malah ada yang mula menelefon untuk mengetahui perkembangan selanjutnya.

“Sokongan seperti ini membuatkan kami semakin bersemangat untuk memberikan yang terbaik di dalam muzikal ini. Bagaimanapun, kami sedar ia tidak semudah yang disangka kerana banyak cabaran yang menanti di depan,” cerita Tiara ramah.



Biarpun bakal berdepan dengan cabaran, namun itulah keinginan sebenar Tiara kerana selepas PGLM mendapat sambutan hebat, wanita berjiwa kental ini sendiri mendambakan sebuah lagi hasil karya yang mampu menguji tahap kemampuan mereka.

“Melihat kepada sambutan yang diberikan terhadap PGLM, saya dan produksi sendiri tertanya-tanya apakah akan ada cabaran yang lebih hebat selepas ini. Sejujurnya, saya adalah seorang insan yang tidak pernah puas dengan apa yang saya lakukan.

“Walaupun ramai yang beranggapan bahawa PGLM adalah karya seni saya yang terbaik, namun untuk muzikal ini, saya perlu mencabar diri saya supaya ia akan menjadi lebih baik dari apa yang pernah saya hasilkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian rumah kebajikan The Lighthouse Children’s Home dan pelancaran buku Malaysian Moments di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sambil menjanjikan sesuatu yang menarik mengenai muzikal ini, Tiara berkata My Name Is Remy tidak lagi memperkatakan mengenai hasil karya yang sudah terlalu kerap dimasyhurkan, sebaliknya ia cuba membawa khalayak untuk mendekati sisi berbeza seniman istimewa ini.

“Dalam muzikal ini juga selain kita didedahkan dengan perjalanan hidup Seniman Agung ini, penonton juga akan dibawa untuk mengenali siapakah wanita bernama Azizah yang sering dipuja P Ramlee sehingga dijadikan lagu.



“Adlin akan cuba mencungkil kisah misteri ini untuk pengetahuan penonton yang begitu meminati seniman istimewa ini,”ujarnya.

Seperkara yang menarik mengenai My Name Is Remy adalah kebanyakan lagu yang melatari muzikal ini adalah ciptaan baru komposer kegemaran Tiara, Dick Lee.

“Seperti yang kita ketahui, P Ramlee menghasilkan lebih 300 filem dan kebanyakan filem itu mengandungi banyak lagu popular. Namun, untuk muzikal ini kami hanya menggunakan beberapa buah lagu popularnya saja sebagai pencerita manakala 20 buah lagu lagi adalah ciptaan baru.

Muzikal kedua terbitan EPSB ini akan mula bersemayam di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 19 Oktober hingga 3 November depan.





Anjur Kem Muzikal


SESUAI dengan minat orang ramai terhadap teater dan persembahan muzikal sejak akhir-akhir ini, serta peluang yang semakin banyak diberikan kepada pertunjukan bercorak begini, maka Tiara dan Ten On Ten Pictures (M) Sdn Bhd berasa terpanggil untuk menganjurkan sebuah bengkel bagi mereka yang ingin menceburi serta mendalami bidang teater muzikal, Starmaker the Musical Theatre Bootcamp.

Kata Tiara, kem berkenaan akan diadakan di pejabat syarikatnya itu di Lorong Mamanda 1, Ampang Point, Ampang, selama dua minggu - iaitu setiap Selasa hingga Ahad, dari 26 Jun hingga 8 Julai depan. Berikutan tempat yang terhad, hanya kira-kira 30 peserta akan berpeluang mengikuti bengkel terbabit.

Sepanjang kursus intensif dua minggu berkenaan, peserta akan didedahkan dengan tiga disiplin utama dalam mana-mana muzikal iaitu lakonan, tarian dan nyanyian/vokal.

“Kami menjemput beberapa nama besar lagi berpengalaman luas dalam bidang ini untuk memberikan ceramah, tunjuk ajar serta berkongsi pengalaman dengan peserta bengkel. Mereka ialah Pat Ibrahim (pereka tari PGL), Sean Ghazi (aktor, penyanyi) dan Zahim Albakri (pelakon, pengarah).

“Saya sendiri pasti akan hadir mendengar pengalaman daripada Sean yang sebelum ini pernah terbabit dalam pementasan West End, Miss Saigon dan King and I. Tentu banyak sekali petua berguna yang boleh diperoleh daripada bakat besar seperti mereka ini. Inilah juga pertama kalinya Sean akan mendedahkan pengalamannya berlakon dalam teater muzikal besar di luar negara,” kata Tiara.



Katanya juga, di samping mempelajari cara untuk menonjolkan diri supaya bakat dimiliki berjaya menarik perhatian ramai, peserta juga akan diasuh bagaimana untuk melengkapkan diri sebelum menghadiri sesuatu uji bakat.

“Takkan kita hendak lihat diri kita terkial-kial mencari lagu sesuai apabila diminta menunjukkan kebolehan? Benda-benda seperti inilah yang akan kita tekankan pada kursus berkenaan,” katanya memberikan perumpamaan.

Mereka yang berminat menyertai kem ini boleh menghubungi Harim atau Hana di talian 03-79587877 atau menghantar e-mel ke alamat hana@enfiniti.com.my.










No comments: