Panduan Bermunajat Mengikut Amalan Nabi

DOA adalah ibadat dan doa itu juga senjata orang mukmin. Allah memerintahkan hamba-Nya supaya berdoa dan memohon kepada-Nya. Di samping itu, Rasulullah SAW sendiri berpesan supaya kita berdoa bersungguh-sungguh.

Berdoa adalah pengakuan hamba terhadap kekuasaan Allah dan tanda keyakinan bahawa tiada tempat meminta tolong melainkan kepada Allah.

Sebagai senjata orang mukmin, doa mempunyai kelebihan dan fadilat yang besar kerana berdoa membolehkan hamba mendapat keampunan dan rahmat. Ia juga menghindari musibah atau kesusahan jika diperkenan Allah SWT.

Allah tidak mensia-siakan usaha hambanya berdoa dengan keikhlasan dan pengharapan tinggi, malah Allah menyuruh manusia sentiasa berdoa dan meminta daripada-Nya.

Allah berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang bersikap sombong untuk beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk ke dalam neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir, ayat 60)



Buku 101 Doa Daripada Hadis-Hadis Sahih tulisan Zahazan Mohamed mengumpulkan 101 doa bersandarkan hadis daripada Nabi SAW berpandukan kepada takhrij dan tashih ulama sebagai panduan kepada pembaca.

Buku yang mengandungi amalan nabi dalam berdoa dan bermunajat ini memiliki ciri istimewa yang berlainan daripada buku lain kerana setiap doa dinyatakan dalilnya daripada hadis sahih dan al-Quran.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Pembaca boleh mengamalkan doa yang terkandung dalam buku ini dengan bantuan ‘Keterangan dan Petua Beramal’ yang diselitkan di setiap doa. Sebagai bonus, sekeping cakera padat (CD) turut disertakan bersama buku ini untuk tujuan ulang kaji, ketika sibuk atau dalam perjalanan jauh.

Buku ini turut memberi penjelasan mengenai fungsi doa mengubah qada yang ditentukan Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Qada itu tidak dapat ditolak melainkan dengan doa.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibn Majah dan lain-lain)

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin turut menyatakan: “Bagaimana doa boleh mengubah qada sedangkan qada sudah ditetapkan dan tidak boleh ditolak lagi? Ketahuilah sesungguhnya antara qada Allah itu sendiri ialah menolak bala dengan berdoa.”



Bagaimanapun, kita tidak seharusnya gusar jika doa tidak dimakbulkan Allah kerana Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah menerima doa hambanya melalui tiga cara iaitu diperkenankan doanya ketika di dunia dengan diberikan apa saja hajatnya; doanya sudah diperkenankan tetapi hajatnya itu disimpan dan akan diberikan di akhirat kelak dan doanya sudah diperkenankan tetapi bukan dengan diberikan apa yang diminta, tetapi dengan cara diselamatkan dirinya daripada bala bencana.” (Hadis riwayat Abi Hurairah)

Selain menjadi senjata yang ampuh kepada umat Islam, doa juga adalah jalinan hebat menghubungkan hamba dengan Pencipta.








No comments: