Isu Botak Kepala : Sharifah Amani Zip Mulut!

ENTAH apalah musibahnya, hasil karya Yasmin Ahmad sering kali mengundang kontroversi. Bermula dengan Sepet dan Gubra, kini filem Muallaf mencetuskan kontroversi gara-gara tindakan berani pelakon utamanya Sharifah Amani (gambar) yang bertindak nekad membotakkan kepalanya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Bagaimanapun, baik Yasmin atau Nani sendiri mereka bagaikan tidak langsung terkesan dek cemuhan orang keliling, malah mereka masih terus giat berkarya. Kalau ditanya soal isu botak kepala yang mengundang teguran mufti, si comel Nani lebih senang mengambil langkah berdiam diri.

“No comment,” itu saja jawapan ringkas yang terpacul dari mulutnya ketika pihak media mengasak dengan soalan berkaitan teguran mufti itu di sebuah majlis anjuran bersama Pesona Nona TV3 dan Rafflesia The Pearl Centre di Le Meridean, baru-baru ini.

Ketika majlis itu dia baru dua hari membotakkan kepala. Tanyalah apa saja dia sudi menjawabnya terutama mengenai filem terbarunya Muallaf tetapi tidak mengenai isu botak kepala. Bimbang andai terus memberi kenyataan, isu itu nanti tiada berpenghujung sudahnya dan dia pula yang dikecam seperti kisah Festival Filem Malaysia ke-19, tahun lalu.

Biarpun usianya baru melewati 21 tahun, jiwa gadis ini cukup kental. Dia tahu dirinya dikecam namun dia malas untuk ambil pusing. Baginya dia melakukan semua itu demi kerjaya dan cinta yang tidak ternilai terhadap seni.



Siapa kata botak membataskan dirinya untuk bergaya. Ketika menghadiri majlis itu dia kelihatan cukup eksotik dan unik dengan kepala botak sambil mengenakan gaun.

Katanya, sejak membotakkan kepala ada peminat yang tidak semena-mena menegur dan memuji keberaniannya membotakkan kepala.

“Banyak kata-kata sokongan yang saya terima terutama apabila saya berjalan di depan orang awam. Ada di antara mereka yang menjerit ‘Adik salutelah, bestlah, adik pelakon hebat’ dan bermacam-macam lagi.

“Saya buat semua ini demi kerjaya. Saya mewakili pelakon lain yang cintakan kerjaya mereka tetapi tidak diberi peluang untuk melakukan perkara ini. Saya berdiri di sini untuk senior saya dalam bidang lakonan, kami buat untuk seni serta cinta kami terhadap seni,” katanya yang berasa bebas dan segar selepas kepalanya di botakkan.

Mengakui dirinya lasak dan seorang yang ganas, namun dia tewas apabila pisau cukur menyentuh kulit kepalanya. Air mata pantas saja membasahi pipi gebunya dan apabila rambut yang dicukur jatuh sehelai demi sehelai ke tangannya dia terus membungkam.



“Saya seorang yang lasak, saya ganas. Walau macam mana pun, apabila pisau sampai di kepala saja, tiba-tiba hati saya berbisik apakah betul apa yang saya lakukan hingga terasa bodoh.

“Bila selesai saja, saya menangis semahu-mahunya seperti budak kecil. Semua krew yang ada di set turut menangis, mereka anggap saya sebagai bayi mereka kerana hubungan kami cukup akrab sejak filem Sepet.

“Saya tidak menyesal lakukan semua ini walaupun ia hanya akan muncul dua minit saja. Sebab hasil yang kita dapat cukup memuaskan. Kami dapat apa yang kami mahukan. Yang penting bagi saya adalah seni dan kerjaya,” katanya yang cukup teruja menceritakan pengalaman manis hidupnya itu.

Ning Baizura yang turut membintangi filem Muallaf juga memuji keberanian Amani. Dia tidak mahu menyentuh isu teguran mufti itu, tetapi baginya Amani adalah seorang pelakon hebat kerana dia adalah pelakon pertama di Malaysia yang berani membotakkan kepalanya.

“Ketika di set memang kami sudah jangkakan kontroversi bakal timbul. Nani masih ada jalan panjang yang perlu dilalui, dia beruntung kerana diberi tunjuk ajar guru yang mempunyai ilmu mendalam dalam dunia filem. Saya kagum dengan kesabaran Nani tetapi nasihat saya kepadanya supaya dia melihat sesuatu yang kontroversi itu pada sudut positif,” ujar Ning.



Ning yang memegang watak seorang Datin yang tidak menjaga penampilannya, isteri kepada watak Datuk yang dipegang Datuk Rahim Razali, berkata dia sudah lama menyimpan hasrat untuk berlakon di bawah pengarah sensasi Yasmin Ahmad. Keterujaan untuk berlakon di bawah Yasmin menyebabkan dia sanggup berlakon tanpa bayaran.

Walaupun wataknya kecil, namun Ning percaya kemunculannya walaupun sekejap mampu memberi kesan kepada penonton seperti kemunculan Chow Yuen Fatt menerusi filem Pirates Of The Carribean 3.

“Saya mengejar Yasmin sejak filem Sepet lagi. Saya kata padanya dapat watak orang gaji pun jadilah. Saya memang suka mendesak dan sanggup berlakon di bawah Yasmin secara percuma asalkan dia menerima saya dan tidak sangka saya berjaya juga berlakon di bawah pengarah sepertinya,” kata Ning akhiri bicara.

Kalau nak baca; Sharifah Amani Botak Kepala? & "Botak Bukan Gimik Saya"










No comments: