Jalaluddin Hassan Turut Ditawar Datuk

KUALA LUMPUR: Selepas memukau M Rajoli Mohamed Zin, 62, dan melarikan wang dan pelbagai barang berharga, lelaki sama dipercayai menghubungi beberapa artis popular berdasarkan nombor daripada telefon bimbit pelakon veteran itu yang dilarikannya untuk menawarkan gelaran ‘Datuk’ kononnya dikurniakan sebuah istana di utara Semenanjung.

Pelakon popular, Jalaluddin Hassan, ketika dihubungi Harian Metro semalam, mengakui dia dihubungi lelaki misteri yang menawarkan gelaran Datuk dan hadiah kepadanya.

“Lelaki itu menghubungi saya pagi semalam (kelmarin), tapi saya tak pasti sama ada lelaki sama menipu M Rajoli atau orang lain. Sewaktu dia menghubungi dan berbual untuk memberikan hadiah dan gelaran Datuk, saya mula curiga mendengarkan suaranya yang lain macam.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Tapi lelaki itu terus cuba memujuk, namun saya tak layan kerana sedar dia mempunyai hasrat tak baik. Selepas itu, dia tidak lagi menghubungi saya,” katanya.

Justeru, Jalaluddin menasihatkan rakan artis dan orang ramai supaya berhati-hati dengan panggilan telefon daripada orang tertentu yang menjanjikan ganjaran mudah tanpa melakukan apa-apa kerana mereka mungkin mempunyai agenda tersembunyi.



“Jika benar mereka ingin memberikan gelaran atau hadiah kepada saya, pastinya mereka akan menggunakan saluran rasmi dan mengikut prosedur betul,” katanya.

Pelakon dan penerbit, Rosyam Nor pula berkata, walaupun M Rajoli dipukau ketika berlakon dalam drama Dinasti Bilut terbitan produksinya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, lelaki misteri itu tidak pula menghubunginya.

“Saya minta rakan artis dan orang ramai jangan mudah percaya dengan benda sebegini (tawaran gelaran Datuk) yang membabitkan urusan rasmi dengan beberapa pihak, tapi dipermudahkan dengan syarat tertentu,” katanya ketika dihubungi.

Penyanyi muda yang popular dengan lagu berirama tradisional, Hazwan Haziq Rosebi atau lebih dikenali sebagai Haziq AF4, berkata setakat ini tiada individu menghubunginya untuk menawarkan anugerah ‘Datuk’.

Namun, dia mengakui ada di kalangan artis dan peminat memanggilnya dengan gelaran Datuk sekadar ‘suka-suka’ kerana perwatakannya seperti Datuk Ahmad Jais yang sering menyanyikan lagu tradisional.



“Jika orang yang kuat pegangan agama seperti M Rajoli boleh dipukau lelaki misteri itu, apatah lagi saya yang masih baru dalam dunia seni. Jadi saya mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati,” katanya.

Promoter artis yang hanya mahu dikenali sebagai Abu, berkata perbuatan pukau dan memberi pil yang menimpa M Rajoli bukan pertama kali membabitkan artis kerana sebelum ini, beberapa artis lain turut ditawarkan gelaran ‘Datuk’ oleh lelaki sama.

Katanya, kejadian yang menimpa pelakon veteran itu adalah kali kelima membabitkan golongan artis.

Menurutnya, lelaki terbabit sebelum ini menelefon beberapa artis untuk menawarkan gelaran Datuk yang akan dikurniakan beberapa istana, tetapi meminta berjumpa dengannya terlebih dulu di lokasi tertentu.

“Lelaki itu akan memilih lokasi yang ditentukan sendiri dan selalunya dia akan memilih hotel mewah kononnya untuk tujuan perbincangan.



“Dia kemudian akan memukau mangsanya selain turut memberikan pil yang akan melemahkan mangsa dan membuatkan mereka menurut segala arahan,” katanya ketika menghubungi Harian Metro, semalam.

Abu berkata, sebelum ini empat artis pernah mengadu dan bercerita kepadanya mengenai kes penipuan itu dan semua kes dipercayai membabitkan lelaki sama.

Katanya, ini berdasarkan nombor telefon bimbit yang digunakan untuk menghubungi artis terbabit didapati sama.

“Lelaki terbabit turut menyamar sebagai Datuk dan menghubungi artis yang dikenalinya.

“Setakat yang saya tahu, sehingga semalam (kelmarin), lelaki terbabit masih aktif menjalankan penipuannya itu kerana dia ada menghubungi beberapa artis dan menawarkan gelaran Datuk,” katanya.



Harian Metro semalam melaporkan, M Rajoli kerugian RM14,000 selepas dipukau dan diberi pil oleh seorang lelaki yang menawarkan gelaran Datuk kepadanya dalam kejadian kira-kira jam 10 malam di sebuah hotel di Seremban.

Sementara itu, di SEREMBAN, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Aibee Abdul Ghani mengesahkan aduan dibuat beberapa artis yang mendakwa dihubungi dan dijanjikan gelaran Datuk oleh lelaki terbabit.

“Polis sedang melakukan siasatan secara menyeluruh bagi mengesan suspek yang disyaki melakukan jenayah itu,” katanya.

Ahli Panel Modul Rakaman Penyebaran Pemikiran Islam (Morapis), Abdul Malik Lazim, pula berkata artis beragama Islam dinasihatkan mengamalkan beberapa amalan bagi mengelak dipukau individu yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, amalan seperti berwuduk, perbanyakkan zikir dan solat berupaya mencegah diri daripada dipukau.

“Membaca surah al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas dan berzikir, Subanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahuakhbar 34 kali. Kemudian berdoa kepada Allah memohon perlindungan-Nya daripada jin dan syaitan, hembus ke tapak tangan tiga kali dan disapu ke seluruh badan,” katanya.

Berita Semalam; M. Rajoli Dipukau






No comments: