Mangsa Bukan Sasaran

KUALA TERENGGANU: Keluarga pelajar jurusan Usuludin di Universiti Al-Azhar cawangan Mansourah, Mesir, Mohamad Ishak, 22, yang mati ditikam di rumah sewanya, malam kelmarin, percaya mangsa bukan sasaran penyerangnya.

Menurut Hussin, adiknya parah di kepala, muka, mata dan badan selepas ditetak oleh rakan sekuliahnya juga dari Malaysia.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Berikutan kecederaan itu, katanya, Mohamad disahkan meninggal dunia di Hospital Antarabangsa As-Sallam, kira-kira jam 8.30 malam waktu tempatan (1.30 pagi waktu Malaysia) yang terletak tiga kilometer dari rumah sewa itu.

Katanya, dia dan keluarga menerima berita kematian Allahyarham selepas diberitahu abang kembarnya, Hassan, yang mendapati maklumat itu daripada rakan di universiti berkenaan, pada jam 8 pagi semalam.

“Sebaik menerima berita itu, saya menghubungi Kedutaan Malaysia di Mesir dan pegawai terbabit mengesahkan kematian itu kira-kira jam 11 pagi tadi (semalam),” katanya.



Selepas itu, kata Hussin, dia menghubungi Yang Dipertua Dewan Perwakilan Mahasiswa-Mahasiswi Mansourah dikenali sebagai Ali Zulfakar yang kemudian memberitahu punca kejadian berkenaan.

Menurutnya, dia difahamkan, penyerang yang juga dikenalinya ketika menuntut di universiti sama dua tahun lalu pergi ke rumah sewa Allahyarham yang tinggal bersama dua lagi pelajar Malaysia. Seorang berusia 24 tahun dari Kedah dan seorang lagi dari Terengganu.

“Saya difahamkan penyerang dan pelajar dari Kedah itu berselisih pendapat. Dia kemudian pergi ke rumah berkenaan untuk mencari pelajar dari Kedah itu yang kebetulan tiada di situ.

“Penyerang yang mungkin geram kerana gagal mencari sasarannya dikatakan terus menyerang adik saya dan menikamnya dengan pisau yang diambil dari dapur rumah itu.

“Ketika itu, hanya adik saya berseorangan sedang bermain komputer,” katanya.



Hussin berkata, dalam keadaan berlumuran darah, Mohamad cuba mempertahankan diri dan berlari masuk ke dalam bilik sambil merayu supaya tidak terus dicederakan, tetapi tidak diendahkan.

Katanya, Mohamad yang terus ditikam menjerit hingga didengari seorang lelaki Arab yang kebetulan melalui tempat kejadian sebelum cuba membantu menyelamatkan mangsa.

Adiknya kemudian dihantar beberapa penuntut ke Hospital Mansourah.

Dengan kejadian menyayatkan hati itu, hasrat keluarga melihat Mohamad mengikut jejak dua abangnya menamatkan pengajian di universiti itu tidak kesampaian.

Allahyarham baru selesai menduduki peperiksaan selama hampir sebulan yang berakhir Ahad lalu.



Dia belajar di universiti itu dengan perbelanjaan sendiri kerana gagal menerima tajaan dan keluarganya terpaksa menghantar wang RM200 sebulan.

Hussin yang pernah belajar jurusan sama di universiti itu selama empat tahun sebelum kembali ke tanah air pada 2005, berkata berdasarkan kenyataan rakannya, suspek dipercayai mengalami tekanan akibat peperiksaan.

“Saya juga mengenali suspek ketika menuntut di universiti itu dan dia seorang pendiam,” katanya yang menyifatkan Allahyarham seorang insan yang baik dan bijak bergaul.

Walaupun Hussin dan keluarganya merasai kehilangan Allahyarham, mereka reda jenazahnya dikebumikan di Kaherah, kira-kira dua jam perjalanan dari Mansourah.

“Kami tidak mampu mengeluarkan perbelanjaan lebih RM10,000 untuk urusan membawa pulang jenazah,” katanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Sajulia Ahmad dalam SMS kepada media memberitahu, Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh bersetuju kerajaan negeri membiayai kos membawa pulang jenazah Allahyarham dari Mesir.

Menurutnya, urusan itu akan dilaksanakan melalui Yayasan Terengganu.





Tikam 10 Kali


KUALA LUMPUR: Mohamad Ishak, 22, penuntut Universiti Al-Azhar cawangan Mansourah, Mesir, mati dipercayai diserang dan ditikam lebih 10 kali oleh rakan sekuliah di rumah sewanya, kira-kira jam 12.30 tengah malam (waktu tempatan), kelmarin.

Jurucakap Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Kaherah berkata, mangsa kehilangan banyak darah menyebabkannya meninggal dunia.

“Mangsa cedera dipukul di kepala selain ditikam bertubi-tubi di leher menyebabkannya gagal diselamatkan.

“Suspek yang disyaki terbabit membunuh mangsa sudah ditahan polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di Kaherah, semalam.

Difahamkan, pelajar lelaki berusia 22 tahun berasal dari Selangor, ditahan di tempat kejadian oleh jiran mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.



Menurut jurucakap itu, ibu bapa mangsa di Terengganu dan keluarga suspek sudah dimaklumkan mengenainya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu perkembangan siasatan kes bagi mengenal pasti motif kejadian.

Katanya, urusan menghantar pulang jenazah ke tanah air dirujuk kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, selain prosedur ditetapkan pihak berkuasa tempatan kerana kes itu berunsur jenayah.

Duta Besar Malaysia di Mesir, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, pula gagal dihubungi kerana dikatakan bergegas ke tempat kejadian bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai kes pembunuhan itu selain menguruskan keperluan berkaitan.

Seorang pelajar Malaysia di Mansourah ketika dihubungi malam tadi memberitahu, Mohamad dan suspek saling mengenali, malah penyerang terbabit sering berkunjung ke rumah sewa mangsa.



“Semua pelajar di Mesir terkejut dengan berita kematian Mohamad dan tidak dapat dipastikan puncanya.

“Kami difahamkan, sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah sempat memberitahu suspek gila dan cuba membunuhnya,” katanya yang enggan namanya disiarkan.










No comments: