Kurus Makan Racun

KUALA LUMPUR: NP Trimz, sejenis produk makanan kesihatan yang didakwa mampu merampingkan badan dalam tempoh 10 hari sebenarnya membuat ‘janji maut’ apabila disahkan bercampur dengan racun sibutramin yang pernah meragut tiga nyawa pengguna wanita, sebelum ini.

Produk itu yang banyak dijual di negara ini, Singapura dan Brunei didapati dicampur sibutramin secara haram oleh pengilang di Sungai Lalang, Semenyih tanpa pengetahuan pembekal dan pengguna.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Lebih mengejutkan apabila pengilang sengaja mengaburi pengguna dengan mendakwa produk itu hanya diperbuat daripada kandungan protein soya, beta karotin, vitamin B komplek, asid folik dan kalsium.

Tindakan pengilang itu terbongkar selepas Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan melakukan lebih tiga ujian makmal bagi mengesahkan produk terbabit mengandungi bahan beracun.

Berdasarkan ujian makmal Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), produk terbabit dikesan positif mengandungi bahan racun berjadual, sibutramin yang pernah membunuh tiga pengguna.



Pagi semalam, serbuan besar-besaran dilakukan di seluruh negara membabitkan kilang, syarikat pengedar, rumah milik pengilang dan stokis produk terbabit oleh bahagian berkenaan.

Operasi turut disertai Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Eisah Abdul Rahman.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Datuk Che Mohd Zin Che Awang, berkata pihaknya terpaksa mengambil tindakan itu untuk kepentingan orang ramai selepas mendapat pengesahan BPFK.

Beliau yang ditemui Harian Metro selepas operasi semalam, berkata operasi lebih 100 pegawai penguat kuasa farmasi merampas ratusan kotak produk itu yang dianggarkan bernilai hampir RM6 juta.

“Malah, kami turut menemui 14 tong berisi sibutramin di kilang di Semenyih, dianggarkan seberat lebih 100 kilogram. Kimia berbahaya itu disyaki diseludup dari China atau India,” katanya.



Hasil pemeriksaan mendapati setiap tong putih terbabit mempunyai pelekat khas dengan tulisan serbuk perisa jagung, kopi dan vanila, dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa.

Siasatan mendapati produk yang didakwa dihasilkan melalui bio teknologi itu dijual meluas melalui salun kecantikan.

Biasanya ia dijual sekali bersama kapsul pemecah lemak, namun hanya produk berbentuk serbuk dalam paket yang didapati mengandungi kimia sibutramin.

Che Mohd Zin berkata produk itu yang diiklankan secara agresif melalui media mendapat permintaan tinggi di kalangan pengguna.

“Ia dijual secara berkembar pada harga RM70. Biasanya pengguna yang ingin mengurus atau mengawal berat badan diminta mencampurkan serbuk terbabit bersama air sebelum diminum selepas sarapan pagi.



“Apa yang pasti tindakan pengilang mencampurkan bahan kimia itu dengan bahan asing lain sebelum dijual sebagai makanan kesihatan adalah melampau dan keterlaluan. Tindakan itu jelas boleh mengancam nyawa pengguna yang naif berhubung perkara ini,” katanya.

Sementara itu, wartawan Harian Metro yang menyertai operasi pegawai penguat kuasa farmasi Cawangan Wilayah Persekutuan itui turut menyerbu sebuah premis di Jalan Bandar di sini, yang dijadikan pusat pengedaran produk berkenaan.

Dalam serbuan itu, 10 pegawai farmasi menemui lebih 157 kotak produk terbabit yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

“Apa yang terkandung di dalam serbuk produk menguruskan badan itu tidak jauh bezanya dengan pil pelangsing Kintop dari China yang diharamkan awal tahun ini.

“Sehubungan itu, orang ramai perlu berhenti menggunakan produk menguruskan badan itu kerana ia terbukti mengandungi racun.



“Dengan bukti ini, kami akan mendakwa syarikat dan pengilang produk terbabit mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Mengikut akta itu, mereka yang bersalah boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya manakala Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 memperuntukkan denda tidak lebih RM25,000 dan tiga tahun penjara atau kedua-dua untuk kesalahan pertama.

Mohd Zin berkata, mereka yang mengalami komplikasi akibat pengambilan ubat itu perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin serta menyerahkan baki sampel kepada doktor yang merawat mereka.

Katanya, penggunaan sibutramin tidak dibenarkan dalam ubat tradisional kerana boleh membawa kesan sampingan jika digunakan tanpa nasihat doktor.

Menurutnya, kebanyakan kapsul pelangsing mengandungi bahan kimia seperti phentermine, amphetamine, sibutramin, fenfluramine yang diakui boleh mengurangkan berat badan tetapi memberi kesan sampingan seperti kemurungan, psikosis dan halusinasi, risiko tekanan darah tinggi, sakit jantung dan sakit kepala.










No comments: