Jin Mat Salih

KLANG: Jin ‘Mat Salih’ bernama ‘Mr Programmer’ yang digunakan kumpulan ajaran sesat Bahtera Nabi Nuh untuk mencapai angan-angan anggotanya menjadi kaya-raya dikatakan sudah diwariskan kepada seorang wanita.

Wanita itu isteri kepada pengasas kumpulan ajaran sesat itu, Sulaiman Mohd Said yang meninggal dunia pada 1995.

Jin ‘Mr Programmer’ itu kini menjadi milik Hawa Hasan dan kononnya dapat membantu pengikut mengumpulkan berbilion ringgit hasil keuntungan perniagaan berasaskan tempurung kelapa, tunggul kayu, bantal dan minyak wangi di seluruh dunia.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Selain menggunakan jin ‘Mat Salih’ itu, Sulaiman turut memfatwakan pengikutnya yang mengacau dodol boleh dikecualikan daripada solat.

Difahamkan, dengan memperkenalkan ‘Mr Programmer’, Sulaiman mahu ajaran sesatnya dilihat lebih maju daripada kumpulan lain kerana mereka mempunyai jin Inggeris.



Bagaimanapun, impian menggunung Sulaiman mahu menarik lebih ramai pengikut dengan umpan mereka boleh menjadi jutawan terbantut selepas kira-kira 450 pengikutnya keluar daripada kumpulan itu apabila menyedari mereka diperdaya.

Bagi mengelak kumpulan ajaran sesat itu kembali aktif, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan dibantu kira-kira 50 penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan polis bersenjata gas pemedih mata menyerbu bekas markasnya di sebuah kampung di Meru, semalam.

Operasi itu diketuai Exco Hal Ehwal Agama dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil.

Menurut Abdul Rahman, Sulaiman sempat membina sebuah kediaman berbentuk bahtera dilengkapi 52 bilik di kampung itu.

“Dia memperdaya pengikut kononnya Klang akan dilanda banjir besar dan hanya pengikutnya akan terselamat dengan berlindung dalam bahtera terbabit.



“Bagaimanapun, individu yang mahu menyertai kumpulan itu perlu membayar RM2,000 dan wang itu digunakan untuk kepentingan Sulaiman. Ini menyebabkan pengikut mula mengesyaki sesuatu dan akhirnya meninggalkan kumpulan ajaran sesat itu,” katanya ketika ditemui selepas operasi terbabit.

Dalam operasi itu, Jais merampas pelbagai barangan digunakan pengikut yang cuba mengaktifkan kembali ajaran sesat itu.

Walaupun sudah ditinggalkan dan berselerak dengan pelbagai barangan, kediaman berkenaan masih utuh kerana diperbuat daripada batu bata dan mempunyai pondok pengawal.

Pekarangan bahtera seluas 1.2 hektar itu dipercayai digunakan beberapa individu dipercayai pengikut ajaran sesat itu untuk membina kembali empayar sesat Sulaiman dengan melakukan kerja penghasilan kraftangan.

“Antara yang dirampas ialah tongkat dipercayai digunakan Sulaiman, ayat suci al-Quran yang ditinggal berhabuk dan tercemar, bahan menghasilkan kraftangan dan pelbagai lagi.



“Walaupun ajaran sesat itu boleh dianggap sudah berkubur, Jais masih meneruskan pemantauan terhadap kegiatan segelintir individu yang masih cenderung untuk mengaktifkannya semula.

“Ia sangat bahaya dan kami tidak akan membiarkan perkara itu berlaku,” katanya.

Menurut Rahman, memang sukar untuk membanteras kegiatan ajaran sesat itu kerana pengikut seboleh-bolehnya mahu berselindung di sebalik pelbagai kegiatan untuk memastikan tembelang mereka tidak pecah.

Bagaimanapun, Jais dengan bantuan orang awam sentiasa bekerjasama dalam menangani kegiatan yang boleh menghancurkan ummah.

“Risikan sering dilakukan Jais untuk memantau kegiatan kumpulan ajaran sesat dengan bantuan orang awam,” katanya.

Setakat ini, katanya, kegiatan ajaran sesat di Selangor dapat dikawal tetapi tidak bermakna pihaknya berdiam diri, sebaliknya masih lagi meneruskan pemantauan dan melakukan serbuan dari semasa ke semasa.










No comments: