Intan Sarafina Tidak Merajuk

SEJAK kisah tersalah identiti apabila seorang wanita yang mempunyai nama hampir serupa dengannya dikejarkan ke hospital kerana cuba membunuh diri, nama penyanyi dan pelakon, Intan Sarafina sekali lagi bagaikan hilang daripada sebarang perkhabaran.

Ketika kes itu disiarkan di akhbar, banyak juga pihak yang menyangka, si malang itu ialah penyanyi wanita ini.

Intan sendiri kemudiannya memberikan penjelasan susulan, bahawa dia bukanlah wanita yang dikhabarkan cuba mengambil nyawanya sendiri itu. Tiada alasan buatnya untuk melanggar hukum Tuhan, dengan perbuatan yang sia-sia sedemikian.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Biarpun dirinya sudah bertahun-tahun tidak dinaungi mana-mana label syarikat rakaman atau diambil berlakon oleh sebarang rumah produksi, tetapi semua itu bukanlah alasan untuk dia berasa kecewa dengan dunia hiburan yang pernah dulu melonjakkan namanya sebaris artis popular lain.

Malah, dia tidak menghambakan dirinya pada cinta, sehingga sanggup mencederakan diri sendiri hanya kerana dikecewa.



Lagipun, bukan tiada tawaran yang diterima oleh wanita cantik berusia 26 tahun ini. Bahkan, dia kini masih menimbangkan tawaran yang diterima secara lisan oleh beberapa pihak yang berminat untuk terus menjadikannya penyanyi rakaman. Dengan bakat dan pengalaman yang dimilikinya, tidak mustahil namanya mampu digilap semula.

“Syukurlah masih ada pihak yang mengingati dan menghargai bakat Intan. Sekarang, Intan masih lagi memikirkan peluang terbaik untuk meneruskan kesinambungan karier dalam dunia seni suara.

“Semangat Intan sendiri masih cukup membara untuk terus bergelar anak seni. Maklum saja, pembabitan Intan dalam bidang ini pun sudah agak lama. Sudah hampir 10 tahun Intan menjadi penyanyi. Jadi, Intan tidak berasakan, minat dan kecenderungan Intan ini akan terhenti begitu saja,” kata wanita yang peramah ini.

Bersama syarikat rakaman terakhirnya, Warner Music, Intan sempat menghasilkan dua album. Di samping merakamkan lagu berentak dangdut yang menjadi kegilaan ramai sedikit masa lalu, Intan juga sempat merakamkan album pop, Selamanya.

“Intan sendiri amat menyenangi genre muzik pop. Lalu, jika diberikan peluang sekali lagi memasuki studio rakaman, Intan teringin sekali mengetengahkan konsep sebegini untuk album baru. Tetapi, biarlah kali ini lagu yang dimuatkan lebih rancak dan lebih segar rentaknya,” kata Intan yang popular dengan lagu Duhai Malam dan Selamanya.



Apatah lagi ketika ini kebanyakan lagu yang diminati ramai ialah daripada genre pop rock.

Ditanya ke mana dia menghilangkan diri sejak akhir-akhir ini, Intan berkata, dia sebenarnya tidak pernah menghilangkan diri daripada peminat. Jauh sekali untuk dia merajuk hati.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Sebaliknya, Intan masih lagi ke sana ke sini memenuhi undangan mengadakan persembahan. Alhamdulillah, walaupun tanpa sebarang album baru, masih ramai penganjur yang menjemput Intan menyanyi di majlis mereka. Majlis makan malam ialah antara acara yang sering mengisi jadual kerja Intan.

“Intan pun, bukannya boleh hendak meminta yang bukan-bukan atau demand. Intan sedar, Intan bukan lagi artis masyhur yang menduduki tempat teratas senarai penyanyi masa kini. Mungkin, kerana Intan tidak terlalu memilih, maka rezeki Intan terus datang. Intan amat bersyukur kerana bakat yang dianugerahkan Tuhan ini terus mendapat perhatian ramai,” katanya.

Jelas penyanyi yang kini tidak dimiliki cintanya oleh sesiapa ini, bukan dia enggan ditemubual wartawan atau muncul di media massa, tetapi menyedari tidak banyak perkembangan terbaru yang boleh dikongsi bersama peminat, dia mengambil keputusan menumpukan perhatian kepada undangan mengadakan persembahan, yang menjadi sumber pendapatan utamanya.



“Jika ada album baru atau projek besar, barulah seronok Intan hendak bercerita,” katanya yang bagaimanapun kurang berminat untuk beraksi sekali lagi di depan kamera, setelah muncul dalam filem Janji Diana, beberapa tahun lalu.

Katanya, berbeza dengan nyanyian, lakonan lebih banyak menuntut waktu.





Profil Intan Sarafina


Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya

Asal: Stulang Darat, Johor

Tarikh Lahir: 2 Julai 1981

Tinggi: 5 kaki 6 inci

Zodiak: Cancer

Profesion: Penyanyi

Lagu Popular: Duhai Malam, Selamanya, Kembali

Pencapaian: Naib Juara Pesta Lagu Kanak-kanak Asia di Tokyo, Artis Baru Popular ABPBH 2000.









Sumber : Berita Harian Edisi 25-06-2007




Tanya Izalsyah; "Apa cerita Shawn Bahrin plak?"





No comments: