Bawa Ibu Pulang

KOTA TINGGI: “Selepas 64 tahun menunggu akhirnya doa kami dimakbulkan dan sangat berharap ibu dapat pulang segera,” kata Jalani Sonni, 70, anak lelaki Mariam Johari, 86, yang meninggalkan tiga anaknya kerana mengikut teman lelaki ke Korea Selatan pada 1943 dan kini mencari mereka dari sana.

Jalani, yang berniaga kuih di Medan Selera Taman Kota Jaya di sini, sejak 30 tahun lalu berkata, hati kecilnya sentiasa berasakan Mariam masih hidup walaupun mereka adik-beradik terpaksa menganggapnya sudah meninggal dunia kerana hilang begitu lama dan dikatakan dilarikan tentera Jepun pada 1943.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Kami sentiasa mengingati ibu dan sering kali mengadakan majlis tahlil untuknya. Selain itu, sebagai anak saya hanya mampu mengirim doa kepadanya terutama setiap kali selepas solat kerana hati saya tetap berasakan dia masih hidup...cuma belum ada rezeki untuk bertemunya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Jaya di sini, petang semalam.

Jalani berkata, dia bersama kakak, Ramlah, 72, dan adiknya, Jamnah, 65, berharap dapat membawa ibunya itu pulang secepat mungkin.

Ramlah berkata, dia terkejut apabila diberitahu seorang anaknya bahawa ibunya masih hidup dan kini, berusaha mencari mereka dari Korea Selatan sedangkan selama ini mereka cuba mencarinya tetapi gagal.



Katanya, mereka sekeluarga sebelum ini menganggap ibunya sudah meninggal dunia selepas dipercayai dilarikan tentera Jepun, ketika Perang Dunia Kedua pada 1943 dan sering mengadakan majlis tahlil termasuk kali terakhir pada bulan lalu.

“Selepas kami mengetahui ibu masih hidup, kami kini mahu dia kembali ke pangkuan keluarga. Tak kira macam mana sekalipun keadaannya, dia tetap ibu kami. Saya yakin wanita dalam gambar ini ibu saya. Kami boleh menyediakan apa saja untuknya,” katanya.

Malah, anak bongsu, Jamnah tetap ceria dalam pertemuan petang semalam walaupun dikatakan kurang sihat selepas terjatuh ketika Aidilfitri tahun lalu, yang menyebabkan besi terpaksa dimasukkan ke bahagian pinggulnya.

Menceritakan detik kehilangan ibunya itu, Ramlah berkata, mereka terkejut apabila mendapati ibunya yang ketika itu menjual buah-buahan di sebuah pasar berhampiran rumahnya di Plentong, tiba-tiba tidak pulang dan diberitahu dilarikan tentera Jepun pada 1943.

“Hidup kami selepas itu bergantung pada datuk dan nenek kerana sebelum kehilangan ibu, bapa kami yang juga anggota polis, Sonni Abdul Rahman, hilang ketika bertugas menentang tentera Jepun.



“Kali terakhir saya bertemu ibu ketika berusia sembilan tahun dan selepas itu, kami sering tertanya-tanya mengenai nasib ibu. Selepas perang tamat pada 1946, saya terpaksa bekerja menoreh getah bagi menampung keperluan adik-beradik kerana tidak mahu terlalu membebankan datuk dan nenek,” katanya.

Menurutnya, sebelum dia mendirikan rumah tangga pada 1950, Sonni pulang ke Plentong dan apabila diberitahu mengenai nasib ibu yang ditahan tentera Jepun, bapanya sering mencari Mariam dan tidak pernah bernikah lain, selain meneruskan tugas sebagai anggota polis.

Katanya, Allahyarham bapanya itu bukan saja mencari ibunya di sekitar Johor, malah seluruh negara hingga meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Tanah Suci pada 1972.

“Apabila saya diberitahu ibu sudah dijumpai menerusi laporan akhbar, saya terkejut dan seolah-olah tidak percaya. Mana tidak, sebelum ini puas kami mencarinya, tiba-tiba ada berita mengenainya pula.

“Selepas menatap gambar yang ditunjukkan dan membaca laporan akhbar, saya yakin wanita itu adalah ibu saya dan kini, tidak sabar untuk berjumpanya selepas terpisah selama 64 tahun.



“Perkara pertama yang ingin saya lakukan padanya selepas berjumpa ialah peluk dan ciumnya kerana terlalu rindukan ibu. Saya diberitahu ibu ingin makan buah mangga dan durian dan jika dia pulang, kami akan menyediakan juadah diingininya.

“Selain itu, saya harap dia dapat pulang ke Malaysia dan tinggal bersama kami secepat mungkin. Insya-Allah kami mampu menyediakan makan minum dan tempat tinggal kepadanya,” katanya.

Katanya, dia dan dua adiknya kehilangan belaian kasih sayang sejak kecil dan tersentuh apabila melihat seseorang anak mendapat belaian ibu dan bapa.

“Saya berharap dapat bertemu ibu secepat mungkin, perasaan rindu ini sudah lama dipendamkan dan kami tidak kisah apa yang pernah berlaku ke atasnya sebelum ini. Saya tidak pernah menyimpan sebarang dendam kerana tahu ibu dilarikan tentera Jepun.

“Jika perlu ke Korea Selatan untuk bertemunya, saya sanggup ke sana. Bagaimanapun, saya tetap mahu membawanya pulang ke Malaysia untuk meneruskan kehidupan di sini,” katanya.



Pagi kelmarin, seorang wartawan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), menghubungi Mariam yang kini berada di sebuah pusat perubatan warga emas bagi menjalani pemeriksaan bulanan, menerusi perbualan telefon.

Ketika perbualan itu, Mariam masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan menjawab salam walaupun sekian lama tidak bertutur dalam bahasa berkenaan.

Bagaimanapun selepas beberapa patah bertutur dalam bahasa Melayu, Mariam bertukar kepada bahasa Korea menyebabkan wartawan terpaksa mendapatkan bantuan Produser Televisyen Korea Broadcasting System (KBS), Park Keon Young, untuk menterjemahkan percakapan Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae.

Dalam perbualan selama 10 minit itu, Mariam masih boleh menjawab salam dengan lancar dan mengatakan teringin menikmati buah mangga dan durian dalam bahasa Melayu.

Sebelum perbualan selama kira-kira 10 minit itu berakhir, kata Park, Mariam mendakwa dia masih ingat janjinya kepada anak terutama ingin membawa biskut dan buah tangan kepada Jamnah dalam keadaan teresak-esak sebelum menamatkan perbualan.



Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan Mariam ingin pulang dan bertemu tiga anak yang ditinggalkannya, selepas mengikut seorang lelaki Korea Selatan pulang ke negara itu untuk mendapat restu berkahwin pada 1946, sebaik perang Dunia Kedua berakhir.

Bagaimanapun, lelaki itu, Cho Se Won, tidak menunaikan janjinya membawa Mariam pulang ke Tanah Melayu kerana sebelum itu mendakwa hanya akan berada di Korea Selatan selama sebulan.

Sebaliknya, Mariam terpaksa tinggal di rumah keluarga Cho selama tiga tahun sebelum mereka berkahwin pada 1949. Malangnya, pada 1950, perang Korea tercetus menyebabkan Cho terpaksa dikerah menyertai tentera dan berkhidmat di Pohang, kira-kira 200 kilometer dari kampungnya di Hampyong, Jeonnanamdo.

Mariam terus tinggal di Korea Selatan dan berhijrah ke Seoul untuk mencari pekerjaan bagi mengumpul duit untuk pulang, bagaimanapun usahanya gagal sebelum berkahwin dengan seorang lagi lelaki Korea Selatan bernama Ji.

Mariam dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921 dan dipercayai dibesarkan keluarganya yang bekerja di ladang getah di situ.



Dia kemudian dikahwinkan dengan seorang jiran ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan dikurniakan empat anak, dua lelaki dan dua perempuan.

Bagaimanapun anak bongsu yang juga lelaki, meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan, manakala suaminya hilang ketika perang sebelum Mariam sendiri dikerah bekerja sebagai buruh membuat landasan lapangan terbang di Senai pada 1943.

Sebelum meninggalkan ketiga-tiga anaknya iaitu Jamnah yang kini dipercayai berusia 65 tahun, Jailani, 70 dan Ramlah, 72, ketika mereka masih kecil, Mariam pernah berjanji dengan mereka terutama anak bongsunya, Jamnah yang berusia lima tahun akan membawa balik banyak biskut dan buah tangan apabila pulang semula ke kampung terbabit.

Bagaimanapun, sejak memasuki Korea Selatan melalui Pelabuhan Busan pada 10 Mei 1946 dan kira-kira sembilan bulan selepas tamat Perang Dunia Kedua, beliau gagal pulang ke tanah air kerana tidak mempunyai dokumen peribadi untuk mengesahkannya seorang warga Malaysia atau warga Korea Selatan.

Dalam tempoh itu, beliau cuba berhubung dengan anaknya dengan mengutus surat berulang-kali, namun berikutan alamat tidak lengkap, semua surat dikembalikan kepadanya menyebabkan Mariam terus bersedih mengenangkan anak yang ditinggalkan ketika masih kecil.








1 comment:

Anonymous said...

Bawalah pulang ibu..bimbing ibu selagi hayat masih ada. Isyaalah.