Allah Maha Adil

Kemusykilan;

Semasa di pasar malam, saya singgah di gerai cakera padat (CD) & kaset-kaset agama. Pemilik gerai itu memasang CD ceramah dan penceramahnya bukan orang Islam.

Dalam ceramah itu dia kata, kalau Allah ini adil, Allah akan jadikan semua manusia menganut Islam barulah dapat menilai setiap individu itu. Dia mempertikaikan kenapa Allah jadikan manusia ini pelbagai kaum dan agama. Bagaimana hendak menangkis dakwaan begini?




Jawapan;

Dalam bercakap juga dituntut berlaku adil. Apa yang jelas dalam hal ini, orang yang berceramah itu tidak adil dalam kata-katanya.

Persoalan sebegini pernah ditimbulkan oleh golongan muktazilah dan persoalan sebegini juga menjadi pertikaian golongan zanadiqah. Persoalan-persoalan sebegini timbul kerana gagalnya manusia mengenal Allah sebagai Tuhan yang menjadikan dan mentadbir manusia.

Allah s.w.t. tetap adil biarpun ada di antara manusia yang kafir dan ada yang beriman kepada Allah.

Di antara keadilan Allah, adanya orang beriman dan orang yang kafir. Allah s.w.t. yang menjadikan manusia, maka di antara keadilan Allah ialah kita dijadikan sebagai manusia, bayangkan sahaja kalau kita dijadikan sebagai binatang. Bukankah menjadi manusia sudah hebat berbanding dengan makhluk yang lain?

Kekurangan dan kelemahan yang dimiliki oleh manusia bukan alasan untuk mempertikai keadilan Allah. Kalau begitu kucing, ayam, kambing, lembu dan semua binatang akan mempertikaikan keadilan Allah dengan persoalan kenapa mereka dijadikan binatang. Adakah Allah tidak adil kerana menjadikan mereka binatang?



Kita harus bersyukur kerana kita menyandang status sebaik-baik makhluk. Dan jika gagal berperanan sebagai manusia yang tinggi darjatnya maka kita bakal dihina lebih rendah daripada binatang yang berkaki empat.

Di antara kesempurnaan manusia ialah sempurnanya akal manusia berbanding makhluk lain. Kenapa harus Allah s.w.t. sempurnakan akal manusia dan tidak makhluk yang lain?

Jawapannya, manusia perlu berfikir secara kritis dan logik manakala makhluk lain tidak dituntut sedemikian. Jika diselami lembaran-lembaran al-Quran kita akan dapati Allah menempelak dengan firman-Nya: Kebanyakan mereka tidak berakal”, adakah kamu tidak memikirkan, wahai orang yang mempunyai akal.

Ini bermaksud al-Quran bertanyakan di manakah peranan akal yang waras kenapa tidak digunakan untuk berfikir. Melalui berfikir inilah manusia akan dapat lihat perbezaan antara keimanan (beriman kepada Allah ) dan kekal dalam kekufuran.

Bagi Allah, jalan yang membawa kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat sudah dijelaskan di dalam al-Quran, oleh Rasulullah s.a.w. dan kesinambungannya diteruskan oleh para ulama.



Kesimpulannya, manusia mesti berfikir mencari Pencipta yang sebenarnya dan Tuhan yang sebenarnya untuk mengabdikan diri kepadanya.

Berapa ramai yang dilahirkan sebagai kafir tetapi tinggal dia kembali kepada Allah sebagai seorang Muslim. Ramai juga yang ketika lahirnya sebagai seorang Muslim dan ketika dia meninggalkan dunia ini sebagai seorang kafir.

Orang yang masuk syurga kerana hidayah dan usahanya mencari kebenaran, yang masuk neraka walaupun pada asalnya beriman kerana atas kehendaknya sendiri.

Adilnya Allah tidak memaksa sesiapapun untuk menganut agama Islam. Namun Allah telah menjelaskan tiada agama yang diterima di sisi-Nya melainkan agama Islam.

Akhirnya, bagi saya hidayah Allah dapat dilihat oleh semua penduduk bumi ini tetapi disebabkan bongkak dan sombongnya manusia tidak mahu memperakui kebenaran agama Islam. Allah s.w.t tetap adil yang tidak adalah manusia.



Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui e-mel

ke agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 46M, Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur. Faks: 03-9222 4967.











No comments: