Wanita Usia 2 Juta Tahun!

JOHOR BAHRU: Mungkin ramai tidak menyedari seorang rakyat negara ini pernah mencatat rekod sebagai manusia paling tua di dunia dan meninggal dunia pada 1998 ketika berusia 1,996,964 tahun.

Bagaimanapun, kesahihan fakta pada sijil kematian wanita itu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) agak meragukan, malah kesilapan maklumat pada `surat mati’ turut dikesan membabitkan seorang lagi wanita yang dilahirkan pada 1976 tetapi sijil kematiannya mencatatkan dia meninggal dunia 10 tahun sebelum itu ketika berusia 90 tahun.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Fakta pelik pada sijil kematian beberapa individu menimbulkan kekeliruan di kalangan keluarga si mati sehingga mengundang pelbagai masalah terutama ketika cuba menguruskan pembahagian harta pusaka.

Lebih mengecewakan, kesilapan fakta pada sijil kematian yang ditandatangani Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian Malaysia agak serius kerana membabitkan identiti si mati seperti tarikh lahir, usia dan nombor dokumen pengenalan diri.

Perkara berkenaan didedahkan seorang pesuruhjaya sumpah di Kota Tinggi yang menemui beberapa maklumat bukan saja pelik, malah tidak masuk akal pada sijil kematian milik beberapa individu di negeri ini.



Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai N Mohan, 60, berkata kesilapan fakta berkenaan secara tidak langsung menimbulkan masalah kepada keluarga si mati apabila terpaksa membuat akuan bersumpah sebagai dokumen sokongan dalam sesuatu urusan.

Menurutnya, antara fakta pelik pada sijil kematian - mungkin disebabkan kesilapan manusia ketika mengisinya - yang pernah ditemuinya sebelum ini adalah milik seorang wanita yang tinggal di Kampung Batu 25, Kota Tinggi.

Katanya, mengikut fakta pada sijil kematian berkenaan, wanita Bumiputera itu yang meninggal dunia akibat sakit tua dicatatkan lahir pada 1976. Tetapi apa yang mengejutkan, sijil kematian itu melaporkan arwah yang menghembus nafas pada usia 90 tahun meninggal dunia 10 tahun sebelum dilahirkan, iaitu pada 8 Oktober 1966.

“Bagaimana seorang individu boleh mati 10 tahun sebelum dilahirkan dan jika dikira usia arwah mengikut nombor kad pengenalan yang tertera pada sijil kematian itu, dia hanya berusia 31 tahun.

“Saya melihat sijil kematian wanita itu yang dibawa seorang ahli keluarganya beberapa bulan lalu dan terkejut apabila mendapati ada beberapa kesilapan fakta termasuk nombor kad pengenalan si mati ‘760918 -61-0016’, tahun kelahirannya dan usianya.



“Keluarganya mendakwa kesilapan itu mengundang pelbagai masalah termasuk menyulitkan mereka melakukan beberapa urusan harta peninggalan arwah,” katanya yang menghubungi Harian Metro (HM), semalam.

Mohan berkata, satu lagi kesilapan fakta pada sijil kelahiran yang mengejutkannya adalah umur seorang wanita bukan Islam menjangkau lebih sejuta tahun ketika meninggal dunia.

Beliau berkata, maklumat itu bukan sahaja pelik, malah melucukan kerana belum ada rekod di dunia mencatatkan mana-mana insan pernah hidup sehingga mencecah usia lebih 10,000 abad itu.

Menurutnya, wanita yang berasal dari Perak itu ketika meninggal dunia dicatatkan berusia 1,996,964 tahun, manakala nombor kad pengenalan yang terkandung dalam sijil kematian itu adalah 590803086390 (8250903) dan tarikh kematiannya pada 23 September 1998.

“Sepatutnya, wanita berkenaan hanya berusia 39 tahun ketika meninggal dunia akibat demam kuning. Ahli keluarga wanita itu menyesali kesilapan yang berlaku kerana mereka diminta membuat permohonan sijil kematian baru, selain dikehendaki ke kaunter JPN dengan membawa dokumen sokongan.



“Prosedur membuat permohonan pembetulan lebih rumit bagi umat Islam kerana mereka bukan sahaja perlu membawa kad pengenalan pemaklum, malah perlu mengemukakan dokumen bukti kematian yang ditetapkan.

“Kecuaian seumpama ini tidak seharusnya berlaku kerana ia mengakibatkan keluarga si mati berdepan kesukaran untuk membuat tuntutan harta, pencen selain boleh menimbulkan kekeliruan pada masa depan,” katanya.



No comments: