Penyanyi Belasah Isteri

SHAH ALAM: Penyanyi yang sebelum ini pernah mencetuskan keributan dalam industri hiburan selepas ditahan beberapa kali berkaitan kes penyalahgunaan dadah, sekali lagi dibawa ke balai polis dan diambil keterangan malam kelmarin, berhubung dakwaan menampar isterinya.

Penyanyi bersuara emas berusia 48 tahun itu ditahan sejurus selesai mengadakan rakaman persembahan nyanyian di Angkasapuri di Kuala Lumpur, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Kamaruddin Ismail, berkata penyanyi terbabit ditahan kira-kira jam 9 malam untuk diambil keterangan selepas isterinya membuat aduan dia dicederakan lelaki itu.

“Isteri penyanyi terbabit membuat laporan polis di IPD Shah Alam seminggu lalu kerana mendakwa dicederakan lelaki terbabit.

“Malam kelmarin, sepasukan polis membawa penyanyi itu (ke IPD Shah Alam) sejurus dia selesai membuat persembahan nyanyian untuk direkodkan keterangan berkaitan laporan polis dibuat isterinya,” katanya di sini, semalam.



Menurut Kamaruddin, penyanyi itu dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 2 pagi tetapi akan dipanggil untuk membantu siasatan pada bila-bila masa jika diperlukan.

Dipercayai, isteri penyanyi terbabit cedera dan lebam di beberapa bahagian tubuh akibat dipukul suami yang dikahwininya pada tahun lalu.

“Kes membabitkan penyanyi itu akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Siasatan sudah dijalankan dan polis sedang mengumpulkan bukti lanjut berkaitan kes dan tindakan akan segera diambil selepas siasatan selesai,” katanya.

Difahamkan, pernikahan penyanyi terbabit dengan wanita awal 20-an itu adalah perkahwinan ketiganya selepas dua perkahwinan sebelum itu berakhir dengan perceraian.



Hasil perkongsian hidup selepas mendirikan rumah tangga pada 2006, mereka dikurniakan seorang anak lelaki.

Sebelum ini, dia pernah mendirikan rumah tangga tetapi berakhir dengan perceraian. Hasil perkahwinan yang gagal itu, dia dikurniakan seorang anak lelaki.

Perkahwinan pertama penyanyi terbabit juga berakhir dengan perceraian dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Dia yang sudah terbabit dalam industri hiburan sejak lebih 20 tahun lalu pernah ditahan kerana kesalahan dadah dan dihantar ke pusat pemulihan dadah.

Penyanyi terbabit juga sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah selepas ditahan bersama seorang saudaranya kerana memiliki dadah, baru-baru ini.


Walaupun mendapat sokongan peminat, penyanyi terbabit dikatakan masih gagal menangani masalah dadah yang menghantuinya sejak sekian lama.

Sementara itu, pegawai perhubungan awam syarikat rakaman yang menaungi penyanyi itu, yang ditemui ketika menghadiri rakaman persembahan di Angkasapuri, memberitahu penyanyi itu enggan ditemubual pemberita kerana dia tidak mahu diganggu buat masa ini.

“Dia tidak mahu menemui pemberita buat masa ini. Bagaimanapun, dia akan membuat sidang media dalam masa terdekat,” katanya.



No comments: