Tuah Gadis Bunga

WATAK sebagai ‘gadis bunga’ kepada aktres China, Bai Ling dalam filem Anna & The King pada 1999, masih segar di ingatan Estelle Looi Mei Lin (Estelle) sehingga saat ini.

Apatah lagi, kata Estelle, 27, pemenang tempat ketiga Miss Malaysia Universe 2004/2005, sekalipun hanya terbabit dalam dua babak, ia satu pendedahan cukup baik buat kerjaya seninya kerana dapat menimba pengalaman bekerja dengan produksi hebat Hollywood.

“Saya hanya berusia 17 tahun ketika beraksi dalam filem lakonan Jodie Foster (Anna Leonowens) dan Chow Yuen Fatt (Raja Mongkut) yang mengisahkan kerajaan Siam pada abad ke-19 itu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Sejak awal lagi saya sudah teruja dengan cara mereka bekerja yang begitu profesional. Bukan sedikit pelakon tambahan yang juga rakyat tempatan terbabit dalam filem itu, malah ribuan orang. Saya pula antara yang bertuah terpilih untuk beraksi dalam filem hebat terbitan syarikat perfileman 20th Century Fox dan dibuat sepenuhnya di Malaysia itu,” katanya.

Namun, kata gadis kacukan Cina-Greek yang cukup dikenali dalam drama bersiri Gerimis Kasih, sejak beraksi dalam filem itu, tawaran berlakon drama pula yang mencurah datang berbanding filem.



“Apapun, saya akur pengalaman berlakon drama juga tidak kurang menariknya. Bagi saya berlakon drama ini seperti mengasah bakat sebelum saya melebarkan sayap ke layar perak. Watak yang ditawarkan pula kebanyakannya watak utama dan bukan sekadar tempelan,” katanya.

Justeru, kata Estelle, kini, dia yakin sudah sampai masanya dia meneroka dunia layar perak pula.

“Tanyalah mana-mana pelakonpun, sudah pasti mereka juga memiliki impian sama. Saya yakin pada usia ini belum terlambat untuk meneroka dunia layar perak ketika ini,” katanya.

Secara peribadi, Estelle mengakui dia begitu meminati filem epik dan sejarah sejak dulu.

“Saya juga memang minat mata pelajaran sejarah sejak di bangku sekolah lagi. Justeru, sudah lama saya memendam hasrat beraksi dalam filem sejarah atau period tahun ini. Cuma mungkin belum ada rezeki lagi.



“Sebenarnya, saya tidak kisah dengan watak yang ditawarkan sama ada watak utama atau sekadar pembantu dalam filem. Jika watak pembantu pun, biarlah ia ada karakter dan mampu meninggalkan kesan mendalam pada penonton,” katanya.

Tambahnya, antara pengarah filem tempatan yang dikaguminya ialah Osman Ali dan Yasmin Ahmad.

“Saya meminati karya mereka dan jika ada rezeki teringin untuk bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Estelle juga baru selesai penggambaran program doku-drama Hunterz (seperti Seekers) bergandingan sebagai hos dengan pelakon Dharma Harun Al-Rashid.

“Saya terima tawaran buat program ini kerana ia meninjau tempat bersejarah dan kesan peninggalannya di negara ini seperti Makam Ngah Ibrahim dan Muzium Beruas, Perak yang kami paparkan dalam program ini.



“Program ini dijangka menemui penonton saluran Astro Ria pada penghujung tahun ini,” katanya.

Selain itu, Estelle juga menjadi artis undangan dalam program Fine Dine yang juga projek terbitan syarikat milik Nancie Foo, baru-baru ini.

Tidak ketinggalan, Estelle juga muncul dalam sitkom Petaling Street bersama pelakon Angeline Tan untuk saluran TV2. Sementara itu, Estelle tidak keberatan berkongsi kisah cintanya dengan jejaka yang baru dikenalinya beberapa bulan lalu.

“Buat masa ini kami dalam tempoh mengenali hati budi masing-masing. Saya juga perlu berfikir secara mendalam sebelum memutuskan untuk berumah tangga kerana inginkan perkahwinan yang kekal hingga ke akhir hayat.

“Sebenarnya, saya bertuah kerana keluarga cukup memahami dan menerima siapa pun calon suami saya. Bagi mereka, apa yang penting adalah kebahagian hidup saya pada masa depan,” katanya.





Profil

NAMA SEBENAR: Estelle Looi Mei Lin

USIA: 27 tahun

TEMPAT LAHIR: Roehampton, London

KERJAYA: Model, pelakon, pengacara dan pemilik Beaucalibre Sdn Bhd

STATUS: Bujang

PENCAPAIAN: Peringkat Top 5 pertandingan Dewi Remaja, pemenang tempat ketiga Miss Malaysia Universe 2004/2005

PENDIDIKAN: Graduan Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Sains Malaysia

DRAMA: Mahligai Gading, Gerimis Di Hati, Rumah Itu Dunia Ku, Sutera Bintang Yang Seribu dan Maria

IKLAN: Petronas, KFC, Fabuloso, Pond's, Chipsmore, Dumex dan Dentine








No comments: