Yusry Bersyarah di Universiti Oxford

KEJAYAAN filem Cicak-Man menyebabkan pengarahnya, Yusry Abdul Halim diminta memberikan syarahan di hadapan penuntut lepasan ijazah di Oxford University, United Kingdom pada 3 September depan.

Syarahan itu adalah berkaitan dengan kecemerlangannya dalam mengarahkan dan menerbitkan filem Cicak-Man daripada peringkat awal hingga ia ditayangkan.

Yusry mengakui berasa agak janggal dan sedikit menggelabah juga kerana tidak sangka akan bersyarah di hadapan penuntut asing dan di sebuah pusat pengajian tinggi terkenal dunia.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
GEMBIRA: Yusry (kiri)bersama anugerah khas yang diterimanya.



“Saya masih belum tetapkan topik yang hendak dibentangkan di sana. Memberikan ceramah atau syarahan di universiti tidak menjadi masalah.

"Sepanjang promosi Cicak-Man, saya diundang memberikan syarahan untuk 16 universiti seluruh negara. Tapi saya rasa agak janggal juga apabila diminta memberi syarahan di Oxford,” katanya lagi.



Bagaimanapun, kata Yusry, beliau tetap berasa teruja untuk membuat syarahan di sana kerana ia adalah satu penghargaan luar biasa kepada anak muda dari Malaysia.

"Saya sangat bangga dan teruja. Saya tidak tahu apa jangkaan dan harapan orang, tetapi saya memang tidak sabar pergi ke Oxford.

"Memang saya bukanlah orang yang pandai bercakap. Namun, apabila kita hendak bercakap soal kepimpinan, ia mungkin boleh datang dengan spontan dan semula jadi," jelasnya.

Yusry ditemui selepas menerima Diploma Dalam Penerbitan Video & Pengurusan Media dari Oxford Centre for Leadership, sebuah institusi pengajian tinggi yang bersekutu dengan Universiti Oxford, London di majlis penyampaian Anugerah Oxford di Subang, Sabtu lalu.

Dia turut dipilih menerima Anugerah Kreativiti Muda Oxford di atas pencapaiannya dalam mempromosikan dan menyerlahkan kreativitinya menerusi pelbagai media di Malaysia seperti muzik, televisyen, filem dan media.



Ia adalah di atas usahanya yang cemerlang, iaitu filem Cicak-Man memperkenalkan peminat filem di Malaysia kepada kesan visual 3D berteknologi tinggi, yang dianggap sebagai satu pencapaian tersendiri kepada industri filem tempatan.

Sepanjang menyiapkan filem itu, Yusry juga turut menampilkan ciri kepimpinannya apabila dia memberi panduan kepada pelakon yang belum dapat membiasakan diri dengan aspek perfileman 3D dan mengatasi masalah cepat putus asa di kalangan krew sepanjang Cicak-Man disiapkan.

Filem Cicak-Man yang ditayangkan pada Disember 2006 memang membuka dimensi baru dalam genre dan teknik serta teknologi pembikinan filem tempatan.

Walaupun teknologi CGI dan 3D yang digunakan masih terhad kerana kekangan bajet, filem itu mendapat perhatian daripada pengkritik selain menerima sambutan sangat menggalakkan dari penonton sehingga kutipannya mencapai lebih RM5 juta.

Yusry menerima kedua-dua anugerah itu daripada Pengarah Pusat Oxcel, Profesor Marshall Glenn Hall.



Selain Yusry, penerima anugerah khas lain ialah David Taylor dari Amerika Syarikat (Anugerah Inovasi Muda) dan Ralf Kohlstrunk dari Jerman (Anugerah Kecemerlangan).

Yusry berkata, dia tidak memperoleh semuanya itu dengan mudah kerana segala-galanya memerlukan minat yang mendalam, komitmen, kegigihan dan pengorbanan.

“Saya belajar setiap hari. Apa yang saya lalui juga adalah pengalaman dan pelajaran yang kadang-kadang tidak boleh didapati di mana-mana. Cuma, sama ada ia secara formal atau tidak. Hari ini, saya mendapat pengiktirafan akademi secara formal,” katanya yang ditemani ibu bapanya, Zarina FW Fenner dan Abdul Halim Kamal.

Katanya, pada masa akan datang penggunaan teknologi CGI dan 3D tidak saja terhad kepada penerbitan filem tetapi juga membabitkan program televisyen.

“Di luar negara, seperti Hollywood, mereka sudah biasa menggunakan 3D untuk siri televisyen. Kita saja belum memulakannya. Tapi kita akan menghadapi dan menggunakan teknologi ini juga. Ini
termasuklah program TV tempatan yang disiarkan di stesen TV negara kita,” katanya lagi.


Sementara itu, Zarina berkata, dia bangga melihat pencapaian Yusry yang bukan saja berjaya dalam kariernya tetapi juga dalam akademik.

Sebagai ibu, sudah tentu turut kagum dengan ketabahan Yusry kerana dia melalui kehidupan peribadi yang tidak menggembirakan tetapi tetap cekal sehingga berjaya dalam kerjaya dan akademi.

“Sebenarnya sebelum menjadi penyanyi, dia sudah mendapat tawaran meneruskan pengajian di ITM dalam kursus arkitek. Pada waktu itu, dia bersama Norman dan Edry turut menerima tawaran daripada EMI.

“Yusry menolak tawaran ITM kerana mahu memenuhi impiannya menjadi penyanyi. Dia memang melakukan bersungguh-sungguh hingga kita boleh lihat sekarang. Tapi pada masa dia sentiasa belajar. Setiap masa terluang, dia membaca buku, terutama berkaitan dengan muzik, filem dan teknologi terkini yang berkaitan dengan kerjayanya.

“Kalau orang lain habiskan duit beli baju, Yusry pula habiskan duit membeli buku. Dan, dia baca semua buku yang dibelinya,” katanya.
Tambah Zarina, beliau dan suaminya, Abdul Halim memang akan menemani Yusry untuk menghadiri majlis penganugerahan diploma anaknya di University Oxford, di London pada September nanti.



Selain itu, kehadirannya nanti diharap dapat memberikan semangat kepada Yusry ketika membuat syarahan di universiti itu nanti.

"Sepatutnya, abangnya, Norman yang hendak menemaninya tetapi Norman membuat syarahan di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara). Jadi, kami yang datang menemaninya. Saya nampak dia sangat gembira dengan anugerah yang diterimanya," kata Zarina.

Selain Yusry, beberapa personaliti TV turut menerima diploma kepimpinan dari Oxcel iaitu Nizal Mohamad, Chef Ismail Ahmad dan pelakon dan model, Ashraf Sinclair.



No comments: