"Saya tak cerai!" - Fiza Elite

KUALA LUMPUR: “Saya tertekan berikutan laporan sebuah akhbar mengatakan saya dan suami sudah bercerai baru-baru ini,” kata Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 26, atau Fiza Elite yang ditemui ketika membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), dekat sini, semalam.

Menurut pelakon siri Natasha 2 itu, dia menerima banyak panggilan termasuk daripada keluarganya serta mentua, rakan dan saudara-mara yang ingin mengetahui perkara sebenar selepas satu artikel sebuah akhbar tabloid (bukan kumpulan NSTP) 29 April lalu yang mengatakan dia sudah bercerai.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Fiza berkata, dia hidup bahagia bersama suami, seorang ahli perniagaan, Ahmad Farriq Zainol Abidin, 27, sejak mendirikan rumah tangga 8 September tahun lalu.

“Kami masih tinggal sebumbung dan hidup bahagia. Saya hairan bagaimana mereka (akhbar berkenaan) mengeluarkan laporan yang saya dan suami sudah bercerai.

“Kalau ada perselisihan faham pun, takkan saya nak hebohkan kepada orang ramai kerana ia perkara biasa dalam kehidupan berumahtangga,” katanya.



Katanya, buat masa ini dia ingin berehat sementara daripada kegiatan seninya kerana ingin menyelesaikan kes berkenaan.

“Saya akan berehat lebih kurang 4 hingga 5 bulan buat sementara waktu bagi menyelesaikan kes ini,” katanya.

Fiza tiba di Balai Polis TTDI kira-kira jam 4.35 petang dengan memandu berseorangan kerana suaminya dikatakan mempunyai urusan perniagaan sebelum membuat laporan polis ditemani peguamnya.

Dia meninggalkan pekarangan balai polis sejam kemudian dengan kereta BMW ditemani peguamnya.

Fiza menafikan dia sering kelihatan ke pejabat agama bagi menghadiri sesi kaunseling kerana rumah tangganya bermasalah.



“Saya ke pejabat agama kerana ingin mengambil kad perakuan perkahwinan yang belum siap,” katanya.

Mengulas mengenai pihak media yang dikatakan gagal menghubunginya untuk memberi penjelasan, Fiza berkata dia tidak menerima sebarang panggilan dari mana-mana wartawan sebelum artikel itu keluar.

“Saya hairan kerana banyak panggilan daripada saudara-mara dan rakan yang terkejut dan bertanyakan mengenai kes perceraian saya hari itu sedangkan saya tidak langsung mengetahuinya.

“Selepas membaca akhbar tabloid berkenaan, barulah saya mengetahui artikel itu yang mengatakan saya sudah berpisah dengan suami lengkap disiarkan gambar perkahwinan kami. Ini membuatkan hidup saya tertekan,” katanya.

Menurutnya, dia kecewa dengan tindakan akhbar berkenaan yang menyiarkan laporan itu kerana ia sama sekali tidak benar.



Katanya, disebabkan cerita perceraiannya itu tersebar, dia berasa malu kerana sering disoal dengan pelbagai pertanyaan oleh ahli keluarga dan teman-teman.

Sementara itu, peguamnya, Mohd Iskandar Ismail, berkata selain laporan polis anak guamnya akan mengambil tindakan saman fitnah bagi membersihkan nama Fiza.

“Kami akan menghantar satu notis tuntutan dalam masa sehari dua lagi kepada kumpulan akhbar berkenaan untuk memberitahu mengenai saman itu,” katanya.

Fiza yang berasal dari Pulau Pinang menganggotai kumpulan Elite pada 2002 kerana menggantikan Hana yang ketika itu mengikut suaminya ke London.

Namun dia tidak sempat merakamkan album bersama kumpulan Elite yang ketika itu menghadapi beberapa masalah pertukaran dan pengunduran anggota kumpulan berkenaan.


Dia kemudian lebih mencipta nama sebagai pelakon dalam beberapa filem antaranya Iskandar bersama Awie dan aktif berlakon beberapa drama termasuk Natasha 2 yang kini ditayangkan di TV3.





No comments: