Panas Dengar Azan

KUALA LUMPUR: “Saya tidak boleh mendengar azan, apatah lagi bacaan al-Quran. Semua itu membuatkan tubuh saya panas!” Itu pengakuan seorang wanita berusia lewat 20-an yang hampir dua tahun keluar daripada agama Islam.

Cuma mahu dikenali sebagai Sarah, wanita itu kini berusaha untuk kembali kepada Islam sejak dua bulan lalu selepas menghuni sebuah pusat perlindungan di pinggir Kuala Lumpur.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Dalam pertemuan eksklusif dengan Metro Ahad, Sarah bukan saja berkongsi kisah bagaimana dia keluar daripada Islam, tetapi turut mendedahkan ramai orang Melayu beribadat di rumah ibadat agama lain yang dianutinya.

Ikuti temubual TUAN ASRI TUAN HUSSEIN, FUAD HADINATA YAACOB dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN bersama Sarah.



Soalan (S): Kami diberitahu anda sudah keluar daripada agama Islam, betul?

Jawapan (J): Ya.

S: Sejak bila?

J: Mula mendekatkan diri pada hujung 2005 tapi secara serius pada pertengahan 2006.

S: Adakah anda kini ‘free thinker’ atau menganut agama lain?

J: Saya menganut agama lain, tapi sejak dua bulan lalu saya cuba kembali kepada Islam.

S: Maksudnya, sekarang anda sudah kembali Islam?

J: Belum lagi, saya masih mencuba.



S: Bila dan bagaimana anda mula mendekati agama itu?

J: Saya bekerja di sebuah hotel dengan majoriti rakan sekerja warga asing yang menganut agama itu. Pada penghujung 2005, saya mula mengikut rakan sekerja saya berkunjung ke rumah ibadat agama itu. Semua dilakukan untuk suka-suka. Bagaimanapun, ketika itu saya hanya di luar.

S: Ketika itu anda masih Islam, tidakkah anda berasa janggal atau bersalah berbuat begitu?

J: Tidak, kerana seperti saya katakan, saya tiada apa-apa perasaan mengikuti aktiviti ibadat mereka. Semua untuk tujuan berseronok saja.

S: Anda tidak dipengaruhi sesiapa?

J: Tidak.

S: Selepas itu apa berlaku?

J: Lama-kelamaan saya menjejakkan kaki ke dalam rumah ibadat agama itu. Ia berlaku pada pertengahan 2006. Saya rasa seronok dan selesa dengan agama itu.



S: Mesti ada sebab kenapa anda tergamak membuat perubahan begitu berani dengan meninggalkan Islam dan menganut agama lain. Adakah anda menghadapi apa-apa masalah seperti dengan keluarga atau teman lelaki?

J: Saya tidak berdepan masalah besar. Jika ada pun, cuma bebanan kerja, tetapi tidak terlalu serius. Seperti saya katakan tadi, saya melakukan ini hanya kerana suka-suka.

S: Jadi anda menganggap soal agama ini seperti mainan, boleh keluar agama hanya kerana suka-suka?

J: Tak tahulah.

S: Ceritakan aktiviti anda seterusnya.

J: Selepas pertama kali memasuki rumah ibadat agama itu dan berasa selesa dengannya, saya semakin kerap ke sana. Sepatutnya, saya kena pergi setiap minggu tapi disebabkan masalah jadual kerja, saya hanya boleh pergi dua kali dalam sebulan.

Saya juga mula mengikuti aktiviti ibadat mereka. Akibat perasaan ingin tahu yang semakin menebal, saya juga minum ‘air suci’ mereka.

S: Anda disuruh oleh sesiapa atau anda sendiri yang ingin minum?

J: Tak ada orang suruh atau paksa, saya sendiri yang nak minum.



S: Tak rasa takut atau bersalah ke?

J: Tak adalah, biasa saja.

S: Berapa kali anda meminum air itu?

J: Sekali saja.

S: Apa yang anda rasa selepas meminum air itu?

J: Ketika itu saya semakin pasti saya sudah meninggalkan Islam. Saya tahu ungkapan kalimah syahadah, tetapi entah mengapa saya tidak boleh melafazkannya. Saya tidak boleh mendengar azan, apatah lagi bacaan al-Quran.

Semua itu membuatkan tubuh saya panas. Bila dengar azan di televisyen, saya cepat-cepat matikan televisyen. Kalau dengar azan dari masjid atau surau, saya lari masuk ke dalam tandas.

S: Kenapa?

J: Saya tak boleh dengar, kepala saya rasa sakit dan badan rasa panas. Sejak itu juga saya meninggalkan semua ajaran Islam. Tidak sembahyang... tidak puasa.



S: Selepas keluar daripada Islam, apa perbezaan yang anda rasakan?

J: Tidak ada apa-apa. Sama saja.

S: Sepanjang menganut Islam sebelum itu, adakah anda tidak merasai kenikmatan dan keindahan Islam?

J: Ada.

S: Jadi, kenapa pilih untuk mendekati agama lain?

J: Suka-suka saja.

S: Setuju jika kami katakan, sebab utama anda keluar Islam dan menganut agama itu ialah disebabkan anda berkawan rapat dengan rakan yang menganut agama itu?

J: Ya, saya setuju.


S: Selepas keluar Islam, bagaimana kehidupan anda?

J: Saya menjalani kehidupan seperti biasa. Saya rahsiakan apa yang saya lakukan daripada ibu bapa dan keluarga. Saya juga berkunjung ke rumah ibadat agama itu sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

S: Sepanjang berkunjung ke rumah ibadat itu, anda ada melihat orang Melayu lain di situ?

J: Ada. Saya tidak pasti jumlahnya, tetapi ramailah juga. Saya yakin mereka baru bertukar agama kerana mereka kelihatan kekok melakukan ritual agama itu.

S: Apa menyebabkan anda ada di rumah perlindungan ini? Adakah disebabkan anda ingin kembali kepada Islam?

J: Saya di sini atas sebab lain, biarlah ia saya rahsiakan. Namun, selepas ada di sini, semua aktivitinya berteraskan ajaran Islam. Pada mulanya saya cuba mengelak dan merahsiakan status agama saya.

Apabila penghuni lain menunaikan solat beramai-ramai, saya berasa sangat rimas dan tubuh menjadi panas. Saya sanggup berkurung di dalam tandas untuk mengelak berdepan situasi itu.

Jadi, lama-kelamaan pihak pengurusan berjaya mengesannya. Nak tak nak, saya terpaksa berterus terang. Mereka terkejut, tapi tidak terus memaksa saya bersembahyang, baca Yasin dan sebagainya kerana mereka tahu saya tidak boleh berbuat demikian. Selepas beberapa sesi kaunseling, hati saya kembali terbuka untuk kembali kepada Islam dan mereka membantu saya.

S: Bagaimana sekarang?

J: Sedikit demi sedikit saya beroleh kesedaran. Saya sudah boleh mengucap dan sembahyang, tapi belum pulih sepenuhnya. Ada kalanya masih mengingati agama itu. Bukan senang nak lupakan.





Umpan wang, cinta

GOMBAK: Tujuh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) murtad dalam tempoh dua tahun! Itu pengalaman dilalui Pengerusi Yayasan Sahabat Iman dan Insan Malaysia (Sidim), Hanafi Malek yang aktif dalam aktiviti menarik semula orang Islam yang murtad kembali kepada ajaran Islam.

Hanafi berkata, kebanyakan yang murtad itu penuntut wanita yang didakwanya menjadi mangsa pergerakan tersusun satu agama lain yang matlamat utamanya menarik pelajar Islam menyertai agama itu.

“Ketujuh-tujuh penuntut yang saya cuba pulihkan memberikan cerita hampir sama. Mereka aktif dalam kegiatan ko-kurikulum dan ada bakat kepemimpinan. Golongan pelajar seperti ini sangat diminati kerana mereka diharapkan mampu menarik lebih ramai pelajar lain keluar Islam dan menganut agama itu.

“Modus operandi mereka ialah berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya terbabit dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Melalui aktiviti sebegitu, mereka menghulurkan bantuan dan memberi kerjasama untuk mendekati pelajar IPT,” katanya.

Hanafi mendakwa, selepas pelajar IPT yang mereka sasarkan berjaya didekati, NGO berkenaan seterusnya mula menjalankan taktik lebih halus iaitu memberi wang tunai dan kemewahan atau menjalin hubungan cinta.



“Apabila penuntut itu termakan budi, baru mereka disuntik secara perlahan-lahan sehingga sampai satu tahap buat keputusan tukar agama. Tujuh penuntut terbabit juga mengaku mereka dengan rela hati keluar Islam.

“Mereka juga berani mengaku kepada rakan bahawa mereka sudah murtad, meskipun nama pada kad pengenalan masih tertera nama Islam,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai taktik cinta dan wang, Hanafi yang juga pakar motivasi berkata, dua masalah itu sering membelenggu penuntut universiti negara ini sehingga mereka menjadi sasaran golongan terbabit.

“Penuntut universiti memang memerlukan wang, bila dapat pinjaman mereka beli motosikal kerana lokasi jauh antara asrama atau rumah sewa dengan dewan kuliah. Selain itu, wang yang ada digunakan untuk perbelanjaan harian, termasuk proses pembelajaran.

“Malah, mereka mengaku disebabkan tiada wang, makan mi segera menjadi perkara biasa. Kesempatan ini digunakan musuh Islam untuk memanipulasi mereka.



“Penuntut perempuan pula, mereka ‘dipikat’ lelaki agama lain. Memang pertama kali ada menolak, namun selepas ditaburkan dengan kata-kata manis, terutama dengan taktik kononnya mahu ‘mendekati’ Islam, siswi kita mudah terpedaya,” katanya.

Selain cinta dan wang, Hanafi mendakwa aktiviti jualan langsung yang membabitkan pergaulan bebas kononnya atas nama motivasi turut menjadi taktik musuh Islam untuk mempengarui umat Islam negara supaya murtad.

Hanafi kemudian memberi contoh R (penuntut yang menemuinya) yang murtad hanya kerana keluarganya tiada wang untuk membayar sewa rumah.

Katanya, R yang menuntut di sebuah universiti di Lembah Klang dan berusia pertengahan 20-an termakan budi selepas menerima sejumlah wang daripada sebuah NGO berteraskan kebajikan untuk menampung pengajian serta menyelesaikan hutang rumahnya.

“Orang tuanya tidak mampu membayar sewa rumah sehingga dipaksa keluar. R menangis dan tidak tahu nak buat apa. Dalam keadaan terdesak itu, NGO berkenaan menghulurkan bantuan wang RM3,000.



“Dia gembira kerana dapat bantu keluarga dan tampung perbelanjaan universiti. Bukan itu saja, R turut diberi duit untuk membiayai pelajarannya, termasuk membuat tesis dan jalani latihan praktikal.

“Malah, setiap hujung minggu dia diajak menyertai aktiviti ‘kebajikan’ dan mendapat upah RM100 sehari,” katanya.

Hanafi berkata, sebagai usaha menjejaskan akidah R, pengurusan NGO itu kemudian menggunakan logik akal untuk menimbulkan beberapa persoalan mengelirukan mengenai Islam.

“R tidak mampu berkata-kata meskipun ketika itu Islam dipersenda dan kerana dia banyak terhutang budi. R kemudian terpengaruh, sekali gus membuat keputusan untuk keluar Islam.

“Selepas murtad, R memberitahu dia ditugaskan mengedar risalah keagamaan di Dataran Merdeka.



“Sejak itu, hidupnya bukan lagi seorang Islam dan selama dua tahun R berkeadaan sedemikian hinggalah dia datang kepada saya untuk meminjam duit. Puncanya R bergaduh dengan pengurusan NGO itu, menyebabkan bantuan kewangannya dihentikan,” kata Hanafi.

“Ketika berjumpa saya, R mengaku sudah keluar Islam. Apabila saya minta dia melafazkan syahadah, dia langsung tak boleh, lidahnya kelu. Hampir tiga bulan saya mengubatinya dan kini syukur dia sudah pulih,” katanya.

Sehubungan itu, Hanafi yang bimbang dengan gejala murtad yang didakwanya semakin berleluasa pada masa ini berharap semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Selain penguatkuasaan undang-undang, orang Islam perlu diberi pendedahan mengenai agama lain supaya mereka memahami, sekali gus dapat membezakan antara Islam dan agama lain,” katanya.







No comments: